Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘tanah terbiar’

KUALA TERENGGANU 31 Mei (Utusan Malaysia) – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta mengenal pasti tanah terbiar di kawasan masing-masing untuk dijalankan projek-projek tanaman.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tindakan itu bagi membolehkan penduduk kawasan berkenaan terutama daripada golongan miskin dapat menjana pendapatan tambahan.

Katanya, apabila tanah berkenaan dikenal pasti, tanaman yang bersesuaian seperti jagung dan kelapa sawit akan dipilih untuk tanaman di kawasan itu.

”Kita akan sediakan benih pokok dan baja untuk membantu penduduk memulakan projek tanaman tersebut.

”Ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk memastikan semua tanah terbiar di Terengganu diusahakan dan tidak terabai begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program memetik jagung tanaman berkelompok dan pengagihan anak pokok buah-buahan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di sini semalam.

Ahmad berkata, melalui projek berkenaan, penduduk yang terlibat dijangka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

”Projek seumpama ini yang dilaksanakan sebelum ini dilihat telah memberikan pendapatan tambahan yang baik kepada mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri tidak akan memberikan hak milik tanah kepada mereka yang mengusahakan tanah terbiar.

”Ini kerana sebelum ini berlaku mereka yang mendapat geran tanah berkenaan tidak lagi mengusahakan projek.

”Keadaan itu tidak memenuhi hasrat kerajaan negeri,” katanya.

Advertisements

Read Full Post »