Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘tajaan’

5 penaja jayakan karnival memancing

Projek 2 hari anjuran bersama Bank Rakyat dan Joran diadakan di Batu Burok, 17 Julai

KUALA LUMPUR: Lima penaja menyerahkan tajaan masing-masing bagi memeriahkan lagi Karnival Memancing Bank Rakyat – Joran 2009 yang akan diadakan di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu pada 17 dan 18 Julai ini.

Antaranya ialah Adabi Consumer Industries (Adabi), Kumpulan Zulkifli Bhamadhaj (Petani), Nestle Products (Nescafe & Maggi), Titan Loyal Marketing Sdn Bhd (TLM) dan Outworld. Penaja lain ialah I’naz Design & Collection, iCage, TCE Tackles dan Superbest Power.

Semua penajaan diserahkan kepada Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Norhayati Md Said. Hadir sama, Eksekutif Jabatan Pemasaran dan Pengurusan Aktiviti Bank Rakyat, Mahathir Mohamed yang mewakili syarikat berkenaan.

Adabi yang diwakili Pengurus Promosi dan Perhubungan Awamnya, Chef Raman Abu Samah menyerahkan tajaan hamper dan produk rempah ratus syarikat itu. Petani yang menaja minuman asam jawa dan hamper diwakili eksekutif jualannya, Kamar Abu Bakar.

Manakala Nestle pula diwakili Eksekutif Acaranya, Hamidah Othman pula menaja 10 hamper Nescafe untuk pemenang pertandingan karaoke dan 10 hamper Maggi bagi pertandingan memancing. Sementara Outworld pula diwakili Pengarahnya, Haslil Razif menyerahkan penajaan perkakasan aktiviti luar.

Penaja baru, TLM pula menaja 15 botol minyak pelincir Titan Power Oil kepada pemenang yang diwakili Pengarahnya, Azman Ishak dan Haji Rahmat.

Karnival dua hari itu berkonsepkan santai keluarga dan pengunjung boleh menyertai pelbagai program serta sukaneka yang diaturkan penganjur.

Sementara bapa menyertai pertandingan memancing, ibu dan anak-anak boleh mendaftar untuk beberapa acara yang disediakan. Antaranya pertandingan mewarna, futsal, memasak, kuiz, permainan di Kelab Nuri, bermesra dengan maskot Nuri dan badut. Kanak-kanak juga akan diajak mengambil bahagian dalam tarian ayam dan poco-poco.

Beberapa acara sukaneka seperti makan epal, tiup gula-gula dalam tepung, teka silang kata, mengisi air dalam botol, membalut mumia dan mengupas limau dijangka menghangatkan lagi karnival berkenaan. Pengunjung yang datang pada karnival dijemput menyertainya.

Pengunjung juga dapat beramah mesra dengan Abang Ropie dari Kumpulan Cecupak yang juga Duta Kelab Nuri Bank Rakyat. Bagi menghangatkan lagi suasana karnival, penganjur turut mengadakan pertandingan karaoke khusus untuk pengunjung yang diadakan pada petang Jumaat, 17 Julai nanti.

Selain itu, sepanjang karnival dua hari berkenaan, orang ramai boleh mengunjungi pameran pembiayaan, perkhidmatan Bank Rakyat dan gerai yang menjual pelbagai produk usahawan.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (Bernama) — Yayasan Terengganu (YT) akan menaja 100 pelajar dari kalangan anak negeri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara tahun ini.

Pengarahnya Mohd Kamaru Al-Amin Ismail berkata pelajar-pelajar itu akan dihantar untuk mengikuti pengajian tersebut di Rusia dan Mesir Oktober ini.

“Proses memilih calon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di dua buah negara itu sudah selesai. Namun mereka perlu terlebih dahulu mengikuti kursus bahasa berkaitan dan tata negara,” katanya di sini Selasa.

Beliau berkata sehingga ini, Yayasan Terengganu menaja 261 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan di luar negara, dengan 78 darinya ke Rusia, Ukraine (38), Indonesia (65) dan Mesir (80).

Menurutnya pihak Yayasan membelanjakan RM30 juta bagi membiayai pengajian pelajar-pelajar berkenaan bagi tempoh enam tahun.

Mohd Kamaru Al-Amin berkata kerajaan negeri merancang untuk menghantar antara 100 dan 150 pelajar anak negeri untuk mengikuti pengajian perubatan sama ada di dalam dan luar negara setiap tahun.

“Matlamat kami ialah untuk memastikan jumlah pegawai perubatan dalam negara mencukupi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mulai tahun ini, Yayasan Terengganu sedang bekerjasama dengan syarikat Asia Pasific di Kota Bharu, Kelantan untuk melatih 20 anak Terengganu selama setahun untuk menjadi juruterbang.

— BERNAMA

Read Full Post »