Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘syarat’


KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Parlimen Kuala Terengganu tidak bersetuju dengan syarat proses pelantikan JKKK 2009 yang menetapkan pengerusi JKKK haruslah Ketua UMNO Cawangan.

Pengerusi Bertindak Kebajikan JKKK Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Ali, berkata, proses pelantikan JKKK 2009 perlu mendahulukan imej ‘mesra rakyat’ tetapi apa yang dilihat hari ini, dasar pelantikan yang baru terlalu dipolitikkan.

“Saya sebagai Pengerusi Bertindak Kebajikan JKKK Parlimen Kuala Terengganu iaitu satu badan yang diasaskan Allahyarham Da­tuk Razali Ismail tidak berpuas hati dengan dasar pelantikan baru yang di-perkenalkan tahun ini. Ini kerana, dasar sebegini tidak dapat memberi keyakinan dan kebaikan kepada rakyat serta penduduk setempat.

“Seorang pengerusi JKKK perlu neutral dan tidak berpihak kepada sesiapa. Seorang pengerusi JKKK tidak harus terikat dengan parti politik kerana jika keadaan seperti ini berlaku, saya yakin penduduk tidak akan mempercayai dan memberi kerjasama sewajarnya. Selain itu, saya yakin seandainya pengerusi JKKK terikat dengan sesebuah parti politik, dia tidak mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat kerana akan wujud sikap pilih kasih antara mereka” katanya .

Menurut Mohd, dasar pelantikan baru ini lebih menyukarkan kerajaan Ba­risan Nasional (BN) dalam usaha mendekati dan meraih undi pada pilihan raya akan datang.

Ini kerana, penduduk pasti memandang negatif terhadap pentadbiran BN berikutan pemimpin JKKK yang dilantik tidak memenuhi kehendak mereka.

Katanya, pelantikan pengerusi JKKK juga harus mementingkan kehendak setempat kerana tanggungjawab yang dipikul meliputi seluruh kawasan di bawah pemantauannya.

“Bagi saya, seorang pengerusi JKKK tidak boleh dipengaruhi parti politik tertentu berikutan tanggungjawab yang dipikulnya sangat besar. Oleh itu, biarlah pengerusi itu diterima penduduk supaya dapat memudahkan setiap urusan dirancang.

“Saya juga tidak bersetuju dasar pelantikan yang baru ini. Bagi saya, dasar ini mewujudkan masalah dalam perkhid­matan yang akan diberikan terutama membasmi kemiskinan dan menjayakan aktiviti membabitkan penduduk. Saya risau sekiranya wujud pembahagian dana tidak adil atas dasar kepentingan politik semata-mata dan ia pernah wujud sebelum ini,” katanya.

Menurut Mohd, jika dilihat dari segi tradisi, individu yang mahu menjadi pemimpin perlu serba boleh bukan hanya dari segi politik tetapi juga agama, pergaulan dan sebagainya.

Justeru, dia berharap pelantikan pemimpin harus telus dan tidak wujud kepentingan politik.
“Pemimpin baik adalah pemimpin yang disukai rakyat,” katanya.

Wakil Pengerusi JKKK Kampung Kolam, Kuala Ibai, Mustafa Ismail pula berkata, dasar baru yang mengehadkan umur pengerusi JKKK iaitu sehingga 65 tahun sahaja tidak relevan kerana mereka harus menekankan kesihatan bukan umur pemimpin.

“Dasar mengehadkan umur ini tidak relevan kerana tidak semestinya individu melebihi 65 tahun tidak boleh memimpin dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Read Full Post »