Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Sultan Zainal Abidin’

BUKIT Keledang yang terletak di Kuala Terengganu menyimpan seribu cerita dan misteri sejarah kesultanan Terengganu.


KUALA TERENGGANU 15 April (Utusan Malaysia) – Jika diteliti lembaran sejarah tanah air, nama Bukit Keledang dan Bukit Puteri di sini sememangnya menyimpan seribu cerita dan misteri sejarah kesultanan Terengganu sejak hampir 300 tahun lalu.

Namun, entah mengapa kepentingan bukit itu dari segi sejarah seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja.

Menyedari hakikat itu, beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyarankan pihak berkuasa berusaha mendapatkan pengiktirafan terhadap dua bukit tersebut sebagai salah satu tapak warisan dunia.

Mereka yakin sekiranya dua bukit tersebut dijadikan salah satu tapak warisan dunia, ia bukan sahaja mengangkat nama bukit tersebut dalam sejarah dunia sekali gus mampu menjadi aset pelancongan.

Seorang pengkaji sejarah tempatan, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar menyarankan pihak berkuasa menjadikan Bukit Keledang dan Bukit Puteri sebagai salah satu tapak warisan bersejarah dunia.

Katanya, ini penting kerana Bukit Keledang misalnya pernah menjadi pangkalan kepada pedagang dari hulu Sungai Terengganu memunggah segala hasil dagangan pada abad ke-18.

”Menurut catatan sejarah, dua bukit tersebut juga pernah menjadi tapak asal istana Sultan Terengganu.

”Saya berharap pihak berkuasa mengkaji secara mendalam cadangan ini kerana ia bukan sahaja mampu mengangkat nama bandar raya bersejarah malah menarik lebih ramai pelancong,” ujarnya.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Masyarakat negeri, Datuk Tok Teng Sai pula berharap dua bukit tersebut diangkat menjadi tapak warisan dunia kerana kedudukannya setanding dengan tapak warisan dunia lain.

Katanya, Terengganu mempunyai banyak tapak warisan tetapi dipinggirkan begitu sahaja.

”Sejarah seharusnya dipelajari, direnungi dan dihayati kerana tanpa sejarah kita tidak mungkin ada arah dan tujuan hidup kerana kita tidak mengetahui di mana kewujudan kita sebenarnya,” katanya.

Menurut catatan sejarah, Bukit Keledang pernah menjadi lokasi awal pusat pemerintahan Sultan Terengganu pertama, Sultan Zainal Abidin I (1708 – 1733M) yang mendirikan istana dan sebuah kota yang dikenali sebagai Kota Lama.

Di sinilah Sultan Zainal Abidin 1 menjalankan urusan pentadbiran negeri sehingga baginda mangkat dan jenazahnya dimakamkan juga di atas bukit ini.

Di atas bukit ini jugalah dimakamkan jenazah Nang Zainab (Cik Puan Besar), isteri Sultan Zainal Abidin II dan pembesar serta kerabat diraja yang lain.

Sementara itu, Bukit Puteri yang terletak berhampiran Istana Maziah dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu sudah dikenali sebelum pemerintahan Sultan Zainal Abidin I.

Di atas bukit ini terdapat beberapa monumen dan artifak bersejarah antaranya genta, meriam beranak, tiang bendera, rumah api, kubur Syed Yasin dan kubu pertahanan.

Pada zaman dahulu, terdapat banyak meriam di atas bukit itu dan mempunyai pelbagai nama antaranya Seri Jamlor, Seri Bueh, Seri Johor dan Laila Majnun selain Meriam Beranak yang terdiri daripada meriam kecil (anak) dan meriam besar (ibu).

Meriam tersebut telah dibawa oleh tentera Jepun dan dipersembahkan kepada Raja Siam kecuali Meriam Beranak.

Sebuah genta iaitu loceng besar yang dibuat pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1908 turut ditempatkan di sini.

Genta tembaga kuning seberat kira-kira 175 kilogram itu dinamakan ‘Negara’ dibuat semasa pemerintahan Sultan Terengganu kesembilan iaitu Sultan Omar pada 17 Syaaban 1270 Hijrah bersamaan 15 Mei 1853.

Tujuan genta ini untuk memasyhurkan sesuatu ancaman yang melanda negeri seperti orang mengamuk, kebakaran atau musuh melanggar negeri.

Menurut adat negeri, apabila kedengaran bunyi genta yang tiada menentu dan pukulannya kencang maka sekalian penduduk bandar akan menutup pintu rumah dan kedai masing-masing.

Genta digunakan sebagai isyarat menyampaikan berita seperti musuh melanggar negeri, kebakaran, menandakan waktu bersahur dan waktu berbuka serta sultan berangkat ke masjid untuk mengerjakan solat.

Di atas bukit ini juga terdapat kubu yang pernah digunakan semasa berlakunya perang saudara antara Sultan Omar dengan Sultan Mansur Shah II dan Sultan Muhamad I kerana merebut takhta Kerajaan Terengganu.

Kubu yang dibina oleh Sultan Omar ini diperbuat daripada campuran madu, putih telur, batu bata dan kapur tohor sebagai plaster.

Pada bahagian dalam kubu ini terdapat sebuah pentas batu bertingkat (singgahsana) digunakan sebagai tempat sultan dan pembesar mengadakan mesyuarat bagi mengatur strategi perang.

Read Full Post »