Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Stesen Bas MBKT’

Kecewa aduan tidak diendahkan

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian)- Peniaga di premis Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkhidmatan dan layanan yang diberikan pihak yang bertanggungjawab di atas premis itu kerana didakwa tidak mesra pelanggan, selain mengabaikan kebajikan peniaga.

Peniaga kedai makan, Harun Ismail, 57, berkata, sepanjang 14 tahun berniaga di premis itu, pelbagai masalah terpaksa dihadapi terutama dari segi sistem perparitan.

“Masalah ini sering diajukan kepada pihak atasan tetapi tindakan yang diambil selalunya lambat dan kadang-kadang mereka buat tidak endah sahaja dengan aduan kami.

“Saya amat terkilan dengan sikap mereka, saya peniaga kedai makan di sini tetapi selalu sahaja berdepan masalah longkang tersumbat,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian.:

Menurut Harun, dia dan pekerjanya terpaksa mengambil inisiatif sendiri membersihkan longkang dua hari sekali kerana jika dibiarkan, ia akan tersumbat dan air longkang pula melimpah masuk ke dalam kedai, seterusnya menyebabkan pencemaran bau.

“Saya sering membuat aduan kepada pihak terbabit tetapi selalunya tindakan yang diambil sangat lambat.

“Kadang-kadang, selepas dua minggu aduan dibuat, baru mereka datang melihat tetapi sekadar datang menjenguk tanpa apa-apa tindakan,” katanya.

Menurut Harun, sikap mereka yang nampak tidak bertanggungjawab dan sambil lewa menyebabkan peniaga di premis Kompleks Stesen Bas MBKT kecewa dan tawar hati untuk mengadu sebarang masalah.

“Kadang-kadang kerana masalah ini, peniaga terpaksa menutup kedai sebab tidak boleh berniaga.:

“Longkang yang sentiasa tersumbat menyebabkan bau busuk dan keadaan ini tidak sesuai untuk menarik pelanggan datang kerana kami berniaga makanan, bukannya barangan keperluan,” katanya.

Menurut Harun, dari segi kemudahan pula, pihak berkaitan tidak pernah membaiki atau menukar kerusi dan meja yang disediakan di setiap kedai makan sejak awal pembukaan premis pada tahun 1995.

“Kami membayar harga sewa bulanan bergantung pada kedai yang disewa iaitu dalam lingkungan RM160 sehingga RM180.

“Sepatutnya pihak terbabit menjaga dan menyediakan kemudahan yang terbaik untuk keselesaan pelanggan kami,” katanya.

Menurut Harun, sepanjang Kompleks Stesen Bas MBKT dibuka sehingga kini, peniaga sendiri terpaksa menukar kerusi ataupun meja jika rosak demi memastikan keselesaan pelanggan terjamin.

Advertisements

Read Full Post »