Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah’

bekki biar bbetul … jangang duk mmunoh pitis pulak.

KUALA TERENGGANU 23 Sept. (Utusan Malaysia) – Kerajaan negeri berharap masalah bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini yang runtuh dalam kejadian awal Jun lalu dapat diselesaikan selewat-lewatnya Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, masalah itu perlu ditangani secepat mungkin terutama menjelang Liga Malaysia musim depan selain persiapan latihan atlet Terengganu bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka nanti.

Beliau juga berharap supaya jawatankuasa penyiasat mengenai bumbung stadium runtuh itu dapat menyerahkan laporan kepada Kabinet atau kerajaan negeri awal November ini bagi membolehkan stadium berkenaan diguna pakai untuk kontinjen Terengganu dan skuad bola sepak T-Team.

Ini kerana, jelasnya, stadium tersebut turut menempatkan beberapa venue sukan lain terutama boling dan skuasy yang akan membantu Terengganu mengekalkan kejuaraan Sukma di Melaka tahun depan.

“Kami amat berharap agar kemudahan yang ada di stadium ini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) dapat digunakan sebaik mungkin, jadi kami harap jawatankuasa penyiasat sudah di peringkat akhir untuk siapkan laporan mengenainya.

“Kita hanya ada dua stadium yang boleh diguna pakai dengan stadium yang bumbungnya runtuh ini hanya sebahagian saja infrastruktur tak boleh guna, jika ia (bumbung runtuh) dapat dibuang dan dibersihkan, saya percaya kita dapat guna stadium ini,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Kelab Bola Sepak T-Team menyatakan demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri di kediamannya di Kampung Jeram di sini hari ini.

Pada 2 Jun lalu, negara digemparkan dengan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang menjadi venue utama Sukma 2008 sehingga menyebabkan kira-kira separuh daripada strukturnya musnah.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Rahin seterusnya yakin stadium utama itu selamat digunakan sebaik kerja pembersihan bumbung runtuh siap dilakukan memandangkan struktur asal di bahagian bawahnya cukup kuat bagi menampung kapasiti 10,000 hingga 15,000 penonton.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut mengesahkan yang Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Buruk yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah resapan air kini sudah siap dibaik pulih.

_________________________________________

Advertisements

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 8 Jun (Bernama) — Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini sedang dibaik pulih bagi membolehkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia musim ini di Terengganu diadakan di stadium itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong berkata kerja baik pulih di stadium berusia lebih 40 tahun itu dijangka siap sebelum pertandingan Liga Super disambung semula 16 Jun ini melibatkan pasukan Terengganu menentang KL Plus di sini.

“Stadium Sultan Mizan belum lagi dibaiki, jadi kita boleh guna stadium ini (SSINS) untuk pertandingan Liga Malaysia musim ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Stadium utama, Stadium Sultan Mizan di Gong Badak di sini tidak boleh digunakan ekoran kejadian bumbung runtuh pada Selasa lepas.

Mokhtar berkata wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut meninjau keadaan di SSINS semalam.

“Mereka membuat lawatan untuk meninjau daripada segi lampu limpah, padang dan juga pagar keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata pertandingan bola sepak Piala Presiden di antara Terengganu dan Kuala Lumpur yang dijadualkan di SSINS pada 11 Jun ini terpaksa dipindah ke padang P, Kompleks Sukan Gong Badak.

Beliau berkata bagaimanapun tarikh dan masa perlawanan tidak berubah.

— BERNAMA

Read Full Post »


STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Bolehkan acara sukan diadakan selepas bumbung SSMZA runtuh

KUALA TERENGGANU: Kerja merobohkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) untuk dijadikan dataran dan tempat letak kereta di tengah bandar raya ini ditangguhkan bagi membolehkan prasarana itu digunakan untuk penganjuran pelbagai acara sukan, selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak ditutup.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Razali Kassim, berkata walaupun stadium berusia 42 tahun itu kelihatan usang, ia masih utuh dan boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di SSMZA.
Beliau berkata, struktur stadium itu masih dalam keadaan baik walaupun cat kelihatan terhakis dan tiang besi serta kipas berkarat kerana keseluruhan binaan itu menggunakan konkrit, batu, simen dan besi yang masih kuat dan kukuh.

“Bagi aktiviti sukan dalaman yang sesuai diadakan di Stadium Tertutup, tetapi bagi perlawanan bola sepak dan beberapa aktiviti sukan terbuka yang dirancang di SSMZA, kita akan pindahkan ke SSINS.

“Kita terpaksa tangguhkan projek merobohkan SSINS untuk dijadikan dataran dan taman dalam bandar serta tempat letak kereta yang pada mulanya dijangka bermula tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

SSINS yang dibina di tengah bandar raya Kuala Terengganu dan dirasmikan bekas Pemangku Raja, Tengku Mahmud Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 27 Ogos 1967 pernah melakar sejarah apabila Terengganu buat julung kali menjuarai Piala FAM pada 1969.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa lalu, sebahagian bumbung di bahagian timur SSMZA yang baru setahun siap dibina runtuh, menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM25 juta. Bumbung stadium yang keseluruhannya bernilai RM38 juta itu dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’ rekaan dan binaan kontraktor dari Korea Selatan.

Razali berkata, atas faktor keselamatan, jeriji besi yang dipasang MBKT sebelum ini di bahagian atas tempat duduk penonton di SSINS dibuka selepas mengesan kekurangan dan kelemahan pemasangan alatan itu, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama apabila stadium itu dipenuhi pengunjung.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di SSINS mendapati, beberapa pekerja sebuah syarikat pembinaan tempatan sibuk melakukan kerja pembersihan dan mengecat sebahagian struktur stadium merangkumi tempat duduk utama, tiang, tembok dan bumbung.

Tinjauan juga mendapati, sebahagian besar komponen stadium itu iaitu tempat duduk, bumbung, tiang dan tembok sedia ada masih kukuh, bagaimanapun, beberapa kerosakan seperti penutup longkang dan jalan yang memisahkan tempat duduk utama dengan padang retak dan pecah.

Razali berkata, kerja pembersihan dan mengecat itu dilakukan berikutan beberapa acara membabitkan istana termasuk Piala Sultan Terengganu Cabaran Endurance 2009 kelmarin dan pertunjukan tatu sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang akan diadakan pada 20 Julai depan.

Mengulas mengenai tahap keselamatan Pusat Akuatik MBKT di Batu Burok di sini, Razali berkata, selepas pengurusannya diserahkan kepada MBKT kira-kira sebulan lalu, pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membaiki kelemahan dan kerosakan yang ada.

Katanya, walaupun beberapa kecacatan ketara dikesan di pusat akuatik itu, ia tetap dibuka kepada orang awam, bagaimanapun, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan kapasiti pengguna yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan.

“Kita akui memang banyak kelemahan pada kolam renang itu, tetapi kita tidak boleh menutupnya daripada digunakan orang awam kerana sudah terima banyak tempahan terutama untuk atlit kita mengadakan latihan renang sempena Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di Melaka nanti,” katanya sambil menambah prasarana itu dipantau dan akan dibaiki oleh JKR secara berperingkat.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) — Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membuat pemeriksaan terhadap semua bangunan dan struktur baru yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mengelak sebarang kemalangan.

Beliau berkata PBT perlu memastikan bangunan seperti sekolah dan dewan menepati spesifikasi binaan dan selamat untuk digunakan.

“Segala kecacatan kepada bangunan hendaklah dilaporkan dan langkah-langkah membaikpulih perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengarahkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim supaya membuat pemeriksaan segera terhadap tiang struktur menara lampu limbah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana binaan di stadium berkenaan sudah terlalu lama dan ia bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

“Begitu juga dengan struktur atap grand stand Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan binaan lain dalam kawasan bandar raya yang agak sensitif dan menjadi tumpuan ramai (perlu dibuat pemeriksaan segera),” katanya.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kini kembali menjadi gelanggang untuk pelbagai acara atau kejohanan berikutan Stadium Sultan Mizan Zainail Abidin di Gong Badak runtuh tiga hari lepas (Selasa).

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

— BERNAMA

Read Full Post »