Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘SPM’

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) — Kolej Islam Sains dan Teknologi(Kist) cawangan Terengganu akan memilih 16 pelatih bagi mengikuti pengajian sulung di Akademi Penerbangan KIST di sini yang akan dibuka September ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Kist, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata akademi itu yang pertama seumpamanya di Terengganu dan kelapan dalam negara akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Beliau berkata pihaknya yang melabur RM20 juta bagi membuka akademi itu, menyediakan tiga pesawat latihan buatan Itali kepada pelatih-pelatih yang mengikuti pengajian itu.

“Kami akan ambil pelatih dua kali setahun. Pada peringkat permulaan, 16 pelatih yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains akan mengikuti latihan selama 18 bulan sebelum mendapat sijil.

“Bagi melatih pelajar, kami menyediakan lapan tenaga pengajar yang mahir dalam bidang penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Tengku Putera berkata penubuhan akademi itu antara lain bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam industri penerbangan yang kini semakin diperlukan oleh syarikat-syarikat penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.

KIST mula bertapak di Bachok, Kelantan sejak 2005, sebelum membuka cawangan Terengganu di Kuala Berang pada awal tahun ini dan menyediakan kursus-kursus berkaitan Sains Kesihatan.

Sebanyak 12 kursus yang ditawarkan di KIST iaitu Kejururawatan, Pembantu Perubatan, X-Ray, Sains Senaman dan Sukan, Teknologi Makmal Perubatan, Kesihatan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Terapi Cara Kerja, Pembantu Farmasi, Fisioterapi, Pengajian Syariah dan Psykologi serta terbaru bidang Penerbangan.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

Penggunaan pesawat ringan Tacnam bagi program sijil penerbangan pada semester pengajian di kampus cawangan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Terengganu di Ajil, Hulu Terengganu. – GAMBAR KIST


Selain memperkenalkan program itu bagi memenuhi kehendak pasaran, KIST juga ingin memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam melahirkan juruterbang Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST Cawangan Terengganu, Zaidi Jusoh berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu memperkenalkan program-program kritikal yang menepati keperluan pasaran kerja di negara ini.

”Ketika pembukaan KIST di Kelantan, program syariah dan psikologi peringkat sijil dan syariah ditawarkan dan kemudian program sains kesihatan pada 2005.

”Kami tidak mahu menawarkan kursus pengajian yang tidak menepati keperluan pasaran kerja dan yang sudah banyak ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, KIST telah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 2 April lalu untuk menawarkan kelas berkenaan.

”Kami kini di peringkat akhir untuk pelaksanaan penawaran kelas penerbangan,” ujarnya.

Beliau menambah, Akademi Penerbangan KIST atau KISTAA kini dalam peringkat perbincangan akhir dengan pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu berhubung penggunaan kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu sebagai pusat latihan.

”Kita akan mendapatkan tapak di LTSM untuk mengadakan kelas penerbangan di sana selain pembinaan beberapa kemudahan termasuk hangar pesawat,” jelasnya.

Zaidi berkata, KIST telah memperuntukan kira-kira RM10 juta untuk pelaksanaan program itu.

”Peruntukan tersebut juga akan meliputi pembelian kira-kira lima pesawat ringan Tacnam dari Itali,” katanya.

KIST memilih pesawat Tacnam dalam melatih pelajar berbanding Cessna seperti pusat latihan penerbangan swasta lain kerana ia lebih tahan lasak.

”Pemilihan pesawat Tacnam juga dibuat kerana menggunakan minyak petrol jenis mogas. Ini semua diambil kerana selepas mendapat nasihat perunding dan tenaga pengajar KIST,” tambahnya.

Zaidi berkata, proses pembelian pesawat terdiri daripada satu enjin dan dua enjin itu kini dalam peringkat akhir.

”Pesawat Tacnam satu enjin mampu membawa dua penumpang manakala empat orang mampu menaiki pesawat dua enjin berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak empat tenaga pengajar telah dilantik untuk mengendalikan kelas penerbangan tersebut.

”Kita masih dalam proses melantik lebih ramai tenaga pengajar yang kebanyakannya terdiri daripada pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Beliau berkata, KISTAA dijangka beroperasi pada pertengahan September ini dan pengambilan pelajar akan bermula pada Oktober ini.

”Kita akan mengambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang terutama dalam pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk mengikuti kursus ini.

”KISTAA akan membuat pengumuman mengenai pengambilan pelajar dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kursus pengajian yang ditawarkan adalah mengikut silibus standard yang telah ditetapkan DCA.

”Ia akan terdiri daripada dua komponen utama iaitu latihan teori atau lebih dikenali sebagai ground school dan latihan penerbangan,” katanya.

Katanya, berbeza dengan sekolah latihan penerbangan lain, KISTAA akan menyelitkan kursus kerohanian dalam latihan penerbangan tersebut.

”Silibus kursus penerbangan ini masih dirancang dan kita merancang untuk menjadikan subjek kerohanian sebagai sebahagian daripada kursus penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, KIST Cawangan Terengganu turut menawarkan empat kursus pengajian sains kesihatan.

”KIST di sini yang mula beroperasi pada Januari lalu menawarkan empat program diploma iaitu Sains Senaman dan Sukan; Kesihatan Persekitaran; Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Psikologi,” katanya.

Beliau berkata, seramai 100 pelajar kini mengikuti keempat kursus berkenaan di kampus yang berkonsepkan resort tersebut.

”Kampus di kawasan seluas 42.3 hektar ini akan dinaik taraf dengan pembinaan sebuah kompleks 11 tingkat yang akan menempatkan makmal, dewan dan kelas.

”Kita akan dapat menampung lebih ramai kehadiran pelajar dengan pertambahan kemudahan tersebut,” jelasnya.

**********************

Keratan akhbar:

http://www.kist.edu.my/v2/akhbar/13mei2009.html

Maklumat lanjut KIST: Laman Web KIST http://www.kist.edu.my/v2/index.html

Read Full Post »