Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘SPBT’

KUALA TERENGGANU, 26 Mei (Bernama) — Terengganu mencipta sejarah baru dalam bidang pendidikan negara apabila kerajaan negeri Selasa menukar sistem pendidikan yang selama ini menggunakan buku teks kepada buku elektronik yang dikenali sebagai e-Book.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri yakin prasarana yang kondusif adalah penting bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut membangunkan minda serta sahsiah pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran global.

“Sebagai langkah pertama, kerajaan menyediakan 25,000 unit e-Book iaitu mini laptop yang dilengkapi pelbagai perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa-doa dan amalan solat yang boleh digunakan oleh semua pelajar Tahun Lima di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan e-Book sekolah-sekolah negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini Selasa.

Ahmad berkata semua pelajar di negeri ini akan diberi e-Book secara percuma bermula dengan murid Tahun Lima dan akan diagihkan melalui Pejabat Pelajaran Daerah masing-masing, mulai hari ini.

“Ini bermakna murid Tahun lima akan dapat mengunakan e-Book apabila penggal persekolahan dibuka semula pada pertengahan bulan depan (Jun),” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan sebanyak 15,000 unit e-Book akan diagihkan secara berperingkat kepada murid-murid berkenaan.

Ahmad berkata kerajaan negeri membelanjakan lebih RM15 juta untuk menyediakan kesemua e-Book berkenaan.

“Walaupun kosnya tinggi, kami melihat program ini sebagai satu pelaburan jangka panjang dan hasilnya nanti akan melahirkan anak-anak Terengganu yang celik komputer dari seawal bangku sekolah lagi,” katanya.

Beliau berkata pemberian e-Book ini sama seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) iaitu murid-murid Tahun Lima akan memulangkannya semula kepada pihak sekolah pada penghujung tahun.

“Kita mahu mengagihkan e-Book secara berperingkat. Selepas murid Tahun lima, tahun depan kepada murid Tahun empat pula dan seterusnya sehingga murid Tahun satu pada tahun akan datang,” katanya.

— BERNAMA

****************

Artikel berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »