
KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Badan Ukhuwah Darul Iman (Budi) Terengganu mengambil pendekatan menyalurkan ilmu dan pengetahuan keagamaan kepada masyarakat dalam usaha mengatasi masalah keruntuhan moral terutama dalam kalangan remaja yang kian serius pada waktu ini.
Pengerusinya, Zulfadzli Hasan berkata, Budi sebagai salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif mengadakan kelas fardu ain dan fardu kifayah kepada masyarakat, khususnya remaja untuk penyaluran pendidikan keagamaan secara terurus, agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian sekali gus menghindari aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja.
“Sebelum ini kelas fardu ain dan fardu kifayah hanya diadakan di sekolah rendah sahaja.
“Justeru, dengan usaha kami mengadakan kelas seumpama ini, diharap boleh memberi peluang kepada remaja, dewasa dan kanak-kanak untuk mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam,” katanya.
Menurutnya penerimaan masyarakat sekitar Kuala Terengganu terhadap kelas fardu ain dan fardu kifayah yang dijalankan juga cukup menggalakkan.
“Lebih 200 individu daripada pelbagai peringkat umur mendaftar untuk tahun ini.
“Lebih membanggakan, terdapat segelintir remaja dan kanak-kanak yang berminat menyertai kelas ini tanpa disuruh ibu bapa mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Peras-mian Mesyuarat Agung Budi dan Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Budi, di sini, semalam.
Menurutnya, pelajar yang dilahirkan mereka juga menjadi pelapis dan sering dijemput mengadakan persembahan nasyid, marhaban serta zikir munajat.
Sementara itu, beliau berkata, Budi turut menjalankan kerja penerbitan seperti buku, video cakera padat (VCD) dan cakera padat (CD) yang menjurus kepada dakwah dan tarbiah.
Katanya, selain mengadakan kelas fardu ain, Budi turut menjalankan aktiviti keagamaan lain seperti tahlil, maulidur rasul, marhaban, solat hajat, solat jenazah, majlis berbuka puasa, korban, akikah dan qiamullail.