Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘snorkelling’

LONGGOKAN sampah yang dikumpulkan di atas pelantar sebelum dikutip oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. – utusan / Irman Hashim

BESUT 27 Mei (Utusan Malaysia)- Pulau Perhentian merupakan salah satu ‘syurga’ pelancongan buat para penyelam menikmati keindahan alam di dasar laut negara ini.

Bagaimanapun, keindahan dasar laut semakin tercemar ekoran sistem pembuangan sampah yang dilaksanakan di pulau berkenaan.

Ini kerana proses pembuangan sampah tersebut melibatkan pengumpulan sampah di atas beberapa pelantar yang ditempatkan di laut sebelum dikutip oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengurus Projek Kesedaran Pemuliharaan Pulau (PIPA), Steven Lim berkata, kutipan yang dilakukan adakalanya tidak tepat pada waktunya sehingga sampah bertimbun di atas pelantar tersebut.

”Apabila hujan atau laut bergelora, sampah tersebut akan jatuh ke dalam laut dan mencemari dasarnya.

”Bayangkan betapa banyak sampah akan masuk ke dalam laut jika ia tidak dikutip lebih daripada dua atau tiga hari,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja mencemarkan keindahan alam semulajadi di Pulau Perhentian malah boleh menjadi ancaman pada hidupan laut.

Jelasnya, setiap kali beliau mengendalikan beberapa program membersihkan dasar laut anjuran pelbagai agensi dan syarikat swasta, kesan pencemaran sampah itu boleh dilihat.

”Selepas dianjurkan satu aktiviti pembersihan dasar laut, kita akan lihat sampah yang sama apabila aktiviti berkenaan diadakan sekali lagi.

”Sampah-sampah itu merupakan sampah yang ditempatkan di atas pelantar tersebut,” ujarnya.

Justeru, Steven meminta PBT berkaitan mencari pendekatan baru untuk memastikan keadaan itu tidak berlarutan.

Seorang penyelam, Haris Awang, 40, ketika ditemui berkata, sampah sarap di dasar laut mencemar persekitaran yang indah di pulau berkenaan.

”Lebih buruk pelantar tersebut ditempatkan kira-kira 20 meter dari tempat orang ramai melakukan aktiviti snorkeling.

”Ini akan memberi gambaran buruk kepada pengunjung terutama pelancong asing,” katanya.

****************************************
Berita berhubung Pulau Perhentian sebelum ini:

Read Full Post »