Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘SK Pusat Chanbang Tiga’


PEMENANG pertama Spell It Right, Aaron (tengah), tempat kedua Nurul Naazira (kiri) dan tempat ketiga, Syed Ahmad Hisham.

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I (SK Sultan Sulaiman), Aaron Khor Ghaik Neng muncul johan kategori individu pertandingan Cabaran Spell-It-Right (SIR) anjuran bersama akhbar New Straits Times (NST) dan Kumpulan Bank RHB (RHB).

Dengan kemenangan itu, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan akan mewakili Terengganu ke SIR Peringkat Kebangsaan pada 8 Ogos depan di Kuala Lumpur.

Aaron menewaskan tiga pesaing, Nurul Naazira Che Azemin, 11, dari SK Tengku Mahmud II; Syed Ahmad Hisyam Engku Taufiq, 12, (SK Pusat Chabang Tiga) dan Noor Ezzah Hayati Nawawi, 12, dari SK Rengas Bekah melalui tiga pusingan yang memerlukan beliau mengeja perkataan ‘restive’, ‘resonance’ dan ‘villainous’.

Nurul Naazira yang mendapat tempat kedua meraih hadiah wang tunai RM800 dan Syed Ahmad Hisyam menerima RM500 selaku pemenang tempat ketiga dalam pertandingan diadakan di Pusat Dagangan Terengganu itu.

Bagi kategori sekolah, juara diraih SK Sultan Sulaiman, Sekolah Jenis Kebangsaan China Chung Hwa Wei Sin di tempat kedua dan SK Pusat Chabang Tiga menduduki tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM800 dan RM500.

Aaron yang pertama kali menyertai SIR berkata, kemenangan itu mungkin didorong oleh hobinya yang suka melayari internet dan membaca buku serta akhbar berbahasa Inggeris bagi meningkatkan keupayaan dan penguasaan dalam bahasa itu.

“Setiap kali saya jumpa perkataan yang susah, saya akan catat, cari makna dan hafal ejaannya.

“Selepas ini, saya perlu membuat persiapan rapi untuk mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik untuk memastikan kejayaan Terengganu,” katanya.

Gurunya, Yusnita Md Yunus, berkata pemilihan Aaron untuk mewakili sekolah ke pertandingan itu bersama tiga rakannya, Foo Siang Sen, 12; Adriana Amira Ngah Jamsani, 12 dan Jeremiah Thomas P Koshy, berdasarkan ujian saringan awal membabitkan 82 murid.

Sementara itu, Nurul Naazira berkata, beliau berhasrat menyumbangkan sebahagian wang hadiah dimenanginya kepada rakan sekolahnya yang miskin dan membelanja rakan serta guru yang banyak memberi dorongan, sokongan dan membantunya sepanjang menjalani latihan.

Syed Ahmad Hisyam pula berkata, kejayaannya adalah hasil usaha gigih, yang menjadikan akhbar NST sebagai bahan bacaan utama setiap hari selain kerap membuat latihan penulisan dalam bahasa Inggeris.

Pertandingan Cabaran SIR bertujuan meningkatkan penguasaan kemahiran bahasa Inggeris pada generasi muda terutama pelajar sekolah di negara ini.

Sebanyak sembilan sekolah menyertai cabaran SIR itu yang turut mendapat penajaan daripada restoran makanan segera, McDonald’s, yang menyumbang makan tengah hari percuma untuk peserta, guru dan ibu bapa.

Read Full Post »