Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘SK Merang’

KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) — Seorang guru tidak menyangka hobi memancing di lautan di waktu lapang menyebabkan beliau terpaksa bertarung dengan maut hampir 21 jam setelah bot yang dinaiki kehabisan minyak sebelum ia dilanda ribut dan dihanyutkan arus petang Rabu.

Abd Karim Salam, 51, guru Sekolah Kebangsaan Merang Setiu yang menaiki bot kecil dihanyutkan kira-kira 60 batu nautika dari Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit, sehingga ke perairan Pulau Kapas sebelum diselamatkan oleh sekumpulan nelayan yang juga merupakan rakan-rakannya.

Katanya beliau pada mulanya keluar memancing bersama dua rakannya yang lain menaiki bot berasingan di persekitaran Pulau Yu pada pukul 7.30 pagi, namun kira-kira pukul 3 petang bot yang dinaikinya dilanda ribut dan kehabisan minyak.

“Saya hubungi rakan melalui telefon bimbit untuk meminta tolong. Rakan saya yang keluar bersama memancing ketika itu sudah selamat kembali ke Pengkalan Maras,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Maras di sini Jumaat.

“Namun akibat ribut dan ombak yang kuat, bot saya dihanyutkan arus dan apabila mereka menghubung mereka saya sekali lagi, saya gagal memberikan maklumat tepat mengenai kedudukan saya kerana kabus tebal,” katanya.

Abdul Karim yang kelihatan masih keletihan dan trauma akibat kejadian itu dengan pakaian yang masih basah di badan berkata, sepanjang tempoh hanyut dilaut itu, beliau hanya berbekalkan lima keping biskut dan sebotol air sahaja.

Katanya beliau ditemui oleh rakan-rakannya di kawasan perairan Pulau Kapas kira-kira pukul 11 pagi ini.

Sementara itu rakannya Abdul Karim Ali Saleh, 60, berkata beliau mula risau selepas menyedari Abdul Karim masih tidak sampai ke pantai sedangkan ketika itu ribut sudah mulai melanda.

“Saya keluar bersama Abdul Karim memancing dan tiba di pantai (Pengkalan Maras) pukul 1 petang sebelum ribut. Kira-kira pukul 4 petang beliau menghubungi telefon bimbit saya untuk memberitahu botnya kehabisan minyak. Selepas itu saya hubungi rakan-rakan yang lain dan beberapa buah bot keluar mencarinya sehingga pukul 2 pagi namun gagal kerana dia tidak dapat memberikan lokasi yang tepat,” katanya.

Katanya tiga bot meneruskan usaha mencari kira-kira pukul 7 pagi ini dan mereka berjaya menemui bot Abdul Karim berhampiran perairan Pulau Kapas dengan Abdul Karim terbaring lesu keletihan dan kelaparan di dalam bot.

— BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »