Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘SK Keruak’

BESUT, 21 Jun (Bernama) — Kerajaan negeri Terengganu akan memastikan anak-anak negeri ini yang berumur 16 tahun ke atas tidak akan ‘buta komputer’ dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata bagi memastikan sasaran itu dicapai, kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan memulakan sistem e-book di sekolah rendah di negeri ini.

Buat permulaan komputer riba e-book dibekal secara berperingkat kepada 25,000 murid Tahun Lima, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pintar Malaysia Airlines (MAS) di Sekolah Kebangsaan Keruak, Hulu Besut, dekat sini hari ini. Turut hadir Pengerusi MAS Tan Sri Dr Munir Abdul Majid.

Ahmad berkata usaha itu dibuat kerana kerajaan negeri sedar bahawa pendidikan teknologi komputer perlu dikuasai jika ingin bersaing di peringkat global.

Beliau berkata setakat ini lebih 1,000 komputer e-book telah diagihkan kepada murid Tahun Lima di beberapa kawasan termasuk di Kijal dan Besut.

Ahmad berkata komputer itu akan diberi secara kekal kepada murid Tahun 5 dan mereka boleh menggunakannya sehingga memasuki sekolah menengah kerana perisian dalam komputer berkenaan telah disesuaikan dengan tahap pembelajaran sekolah rendah dan menengah.

Sementara itu, Munir berkata Sekolah Kebangsaan Keruak adalah sekolah ke-14 yang dijadikan anak angkat menerusi Program Pintar yang dimulakan MAS sejak tahun 2007.

Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 397 murid dari 34 sekolah rendah yang terlibat dalam program itu memperoleh 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), katanya ketika berucap pada majlis itu.

— BERNAMA

Read Full Post »