Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘sisa’

HULU TERENGGANU 12 Jun (Bernama) – Lebih 3,000 penduduk dari tiga buah kampung berhampiran Sungai Pueh dekat sini dihimpit kebimbangan apabila sungai yang selama ini menjadi sumber air mereka kini diancam masalah pencemaran dipercayai berpunca dari sebuah kilang memproses kelapa sawit tidak jauh dari situ.

Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada limpahan sisa kilang yang memasuki sungai itu menyebabkan airnya yang dahulu jernih bertukar menjadi gelap dan kotor.

Menurut seorang penduduk, Mohamad Fauzi Abdullah, 29, dari Kampung Kuala Pueh, pencemaran itu telah menyebabkan banyak ikan dan udang yang mati sejak dua hari lepas sehingga menimbulkan bau busuk.

“Sungai Pueh selama ini menjadi punca air kepada penduduk dari tiga buah kampung berhampiran iaitu Kampung Kuala Pueh, Kampung Tapah, Kampung Rancangan Felcra Bukit Kepah, malah turut menjadi tumpuan kaki pancing kerana mempunyai banyak ikan dan udang.

“Namun sejak pencemaran itu berlaku, ramai pemancing terpaksa mencari kawasan baru dan sehubungan itu saya memohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius,” katanya di sini hari ini.

Katanya, beliau telah pun menghubungi Jabatan Alam Sekitar Daerah untuk memaklumkan tentang masalah itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil.

Mohamad Fauzi yang bertugas sebagai seorang guru di Selangor berkata, beliau juga menghubungi Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong Rozi Mamat berhubung masalah itu namun gagal dan diberitahu oleh pembantunya bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat esok.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Rusli Che Husin ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah itu dua hari lepas.

-BERNAMA

Read Full Post »