Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Singapura’

KUALA TERENGGANU 15 Julai (Bernama) – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kecewa dengan sikap penduduk di bandar raya itu yang masih tidak menjaga kebersihan sehingga boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian serius kerana setiap tahun kedatangan pelancong ke Terengganu termasuk di bandar raya itu, sentiasa meningkat.

“Peniaga restoran, pasar minggu, pasar malam dan pemandu didapati masih mengabaikan kebersihan dengan membuang sampah di merata-rata sedangkan aspek itu perlu diberikan perhatian yang serius,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan pertama Firefly dari Singapura ke sini, yang membawa bersama 50 penumpang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), petang semalam.

Sementara itu, Ahmad berharap kedatangan pelancong ke Terengganu akan meningkat terutama dari Singapura selepas Firefly kini mengadakan penerbangannya ke sini.

Beliau berkata, penerbangan terus dari Singapura itu merupakan penerbangan antarabangsa yang pertama ke Terengganu dan ia mampu melonjakkan industri pelancongan negeri.

Penerbangan dua hala Firefly Singapura-Terengganu itu mengambil masa sejam 20 minit dengan tambang serendah RM88 bagi perjalanan sehala.

Beliau berkata, kerajaan Terengganu memberi subsidi untuk syarikat penerbangan itu termasuk cukai penumpang, pendaratan dan pakir selama tiga tahun dalam usaha menggalakkan lebih banyak penerbangan antarabangsa terus ke LTSM.

“Dengan pengecualian cukai itu, kerajaan Terengganu terpaksa menanggung kos sehingga RM3 juta bagi tempoh tiga tahun,” katanya.

Untuk rekod, lebih 3.5 juta pelancong, yang sebahagian besarnya dari Singapura, China dan Eropah melawat Terengganu tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Firefly, Eddy Leong berkata sambutan terhadap penerbangan terus itu ke Terengganu sangat menggalakkan apabila pihaknya menerima tempahan tiket sehingga 60 peratus walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini. – BERNAMA

Advertisement

Read Full Post »

Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu.


KEMAMAN 10 Julai (Utusan Malaysia)- Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah sentiasa merindui keluarga angkatnya di sini malah meminta mereka menziarahinya di Belanda ketika dia sakit teruk akibat leukemia sehingga membawa kepada kematian.

Menurut saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, Natrah sering meluahkan perasaannya itu menerusi e-mel atau telefon semasa berhubung dengan adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.

“Saya mendapat berita kematiannya menerusi telefon pukul 8 malam tadi daripada anak saya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.

“Ketika itu saya terkejut dan sangat sedih kerana dia pergi jua menghadap Tuhan, memang banyak kenangan saya dengan dia semasa di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.

Rokayah merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed.

Menurutnya, kenangan yang dia tidak lupa apabila Allahyarham masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

Malah jelasnya, Natrah amat gemarkan makanan tradisional Melayu iaitu ketupat palas.

“Pada tahun 1997, dia balik ke Kemaman bersama suami warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda.

“Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam, satu malam tidur di rumah saya. Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya,” ujarnya.

Natrah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda kelmarin pada usia 72 tahun akibat leukemia.

Beliau menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asalnya dari Belanda.

**********************

Posting berkaitan:

Read Full Post »

MARANG (Sinar Harian) – Menyedari kurangnya pendedahan dan pameran mengenai sejarah kemerdekaan negara, seorang peguam muda bertekad membuka Galeri Malaya 1941 untuk turut sama berkongsi detik bersejarah negara.

Menariknya, galeri yang dibuka di Pekan Bukit Payong, berhadapan dengan Balai Polis Bukit Payong ini adalah galeri berkisar mengenai kejadian dan detik suka duka perjuangan negara yang berlaku dari tahun 1941 sehingga 1942.

Pemiliknya, Anuar Adam, 40, berkata, pembukaan galeri ini diharap menjadi tarikan baru di Bukit Payong, berikutan belum ada tempat khusus untuk pelancongan di kawasan itu.

“Sebelum ini, pelancong hanya lalu sahaja di Bukit Payong dan lebih gemar ke Sekayu atau Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

“Tetapi, saya harap pembukaan galeri ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong, terutama dari Britain, Australia, Amerika dan Jepun,” katanya.

Menurut Anuar, galeri ini tidak menumpukan kepada kekejaman penjajah, sebaliknya menekankan aspek semangat, perjuangan dan taktik digunakan,” katanya.

Paling menarik adalah model pertempuran di Bukit Candu, Singapura pada 14 Februari 1942 dan model pendaratan tentera Jepun di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa pada 7 Disember 1941.

Selain itu, pengunjung juga boleh melihat keadaan Tambak Johor yang sebelum ini pernah diputuskan dan akan diperlihatkan dengan sudut tayangan video peperangan, tentera yang menyerah kalah dan ratusan gambar bersejarah.

“Saya menghabiskan masa selama dua tahun mendapatkan bahan pelbagai sumber daripada Internet dan buku daripada pelbagai negara, antaranya adalah dari Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom” katanya.

Selain itu, dia juga mengambil masa yang agak lama untuk melengkapkan galerinya dengan pelbagai bendera yang bersejarah, antaranya bendera Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Selat, Union Jack, Bendera Jerman (semasa pemerintahan Nazi), Jepun, Tentera Laut Jepun (Rising Sun), Tentera Laut British (Royal Navy), Briged India, bendera Johor dan bendera Australia.

“Sasaran saya, pelajar dari seluruh negara dan saya harap mereka menghayati semangat perjuangan pejuang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mendapatkan kemerdekaan negara kita.

“Selain itu, saya mengharapkan pihak muzium atau kerajaan negeri memberi sokongan terhadap usaha ini terutama dari segi promosi dan kewangan,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengunjungi, bayaran paling minimum dikenakan iaitu RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Galeri ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pada jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Read Full Post »