Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘seni’

Mengecat mengikut ukiran asal perahu Payang Barat ketika kerja-kerja pemulihan dijalankan di Muzium Kuala Terengganu, baru-baru ini. – Ehsan Muzium Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU 19 Jun (Utusan Malaysia)- Perahu Payang Barat dan Bedar yang dahulunya banyak digunakan di Besut di negeri ini dan Patani (Selatan Thailand) sangat unik dan mempunyai corak dekoratif yang sangat menarik.

Selain memiliki keunikan, dua jenis perahu itu juga mempamerkan nilai seni yang sangat tinggi khususnya dari segi pembuatan dan hiasan corak pada badan perahu.

Bagaimanapun, kini kehebatannya kian pudar disebabkan keadaannya yang berada ditempat terbuka.

Selain, Perahu Payang Barat, Perahu Bedar pula terkenal dengan ciri rupa bentuk seperti sudu atau paruh itik.

Koleksi Perahu Payang Barat dan Perahu Bedar adalah warisan maritim yang penting di Terengganu kini dipamerkan di perkarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya giat menjalankan kerja-kerja pemuliharaan terhadap koleksi perahu itu bagi memastikan ia terus kekal sebagai tatapan generasi akan datang.

Katanya, skop kerja-kerja pemuliharaan ke atas koleksi perahu tersebut melibatkan kerja-kerja seperti membasuh keseluruhan badan perahu dan mengikis cat-cat asal yang mengelupas pada perahu.

“Selain itu pihak kami juga menutup lubang dan rekahan pada badan perahu dengan menggunakan gam kosam yang dicampurkan dengan habuk gergaji.

“Dan kerja-kerja mengecat semula dinding perahu serta corak dekoratif dengan warna yang serupa dengan warna asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, kerja-kerja konservasi ini mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya iaitu selama tiga bulan.

Katanya, ini disebabkan ketelitian kerja yang perlu ada bagi melukis corak dekoratif yang berwarna warni yang sudah pudar.

Perahu Payang merupakan perahu terbesar digunakan di Terengganu untuk menangkap ikan.

Operasi memukat adalah di kawasan laut dalam menggunakan pukat payang dengan awak-awak seramai kira-kira 15 orang.

Perahu ini dikenali sebagai perahu payang berdasarkan operasi memukat yang pada kebiasaannya menggunakan pukat payang berukuran 14.2 meter panjang, 2.27 meter lebar, 3.1 meter tinggi dan menggunakan dua layar.

Advertisements

Read Full Post »

RAZAK Senik menunjukkan patung wayang kulit yang dihasilkannya dari kulit kambing di Kampung Surau Panjang, Marang, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDDI

KUALA TERENGGANU 5 Jun – Bagi Razak Senik, 57, dari Kampung Surau Panjang di sini, kebolehan membuat patung wayang kulit dan permainan rodat di negeri ini menjadi kebanggaannya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pok Jak kini seakan-akan kamus bergerak permainan wayang kulit kerana menjadi satu-satunya seniman yang masih meneruskan kegiatan tersebut di negeri ini sehingga kini.

”Sampai Pok Jak dimarahi isteri kerana asyik buat patung wayang kulit,” katanya mengimbas kenangan lalu di Kampung Surau Panjang, dekat sini baru-baru ini.

Berbekalkan minat sejak kecil, Pok Jak menjadikannya sebagai peluang untuk mencipta bakat dalam pembuatan patung wayang kulit dan semua perkakasan yang digunakan selain patung untuk bermain wayang kulit adalah hasil kerja tangan beliau sendiri.

Bahkan, ada juga antara penggiat seni itu yang membeli patung dan perkakasan wayang kulit daripada beliau berikutan kehalusan dan kehebatan yang dihasilkannya.

Mengenai konsep seni reka patung buatannya, beliau memberitahu, ia lebih halus kalau dibandingkan dengan patung-patung wayang kulit dari negara jiran.

Katanya, patung tersebut terbahagi kepada beberapa jenis mengikut bentuk dan watak dalam permainan wayang kulit contohnya, jenis halus dan menunduk ke bawah dengan tubuh kecil, penuh sopan tetapi mempunyai kuasa dan kekuatan yang luar biasa.

Jelasnya, patung-patung yang berhidung besar dan meninggi pula menggambarkan watak kasar lagi sombong.

”Watak-watak raksasa dan jin pula lebih besar dan berwajah garang serta mengerikan,” ujarnya.

Apabila siap dibentuk atau selepas selesai permainan, kesemua patung wayang kulit disimpan dalam sebuah kotak kayu.

Menurutnya, patung-patung yang wataknya mempunyai kemuliaan seperti Semar, boleh dikenali melalui cara menyimpan dan menjaganya serta hiasan yang dikenakan pada tubuhnya.

”Patung-patung ini dililit dengan benang mentah pada bahagian kepala atau pinggangnya. Kadang-kadang bunga melur dililit bersama benang mentah itu,” ujarnya.

Menurutnya, letak patung wayang semasa dimainkan adalah mengikut keutamaan dengan jenis yang halus diletak di sebelah kanan tok dalang sementara jenis kasar pula tempatnya ialah di sebelah kiri.

Jelasnya, semasa bermain, patung-patung jenis halus yang melambangkan raja-raja atau dewa-dewi dipacak pada batang pisang sebelah atas sementara yang kurang berkuasa atau penting wataknya dipacak pada batang pisang bahagian bawah.

Mengenai jenis patung dalam wayang pula Pok Jak berkata, ia dapat dibahagikan kepada empat bahagian berdasarkan rupa bentuk ukiran patung.

Antara contoh-contoh termasuklah patung berwatak lemah lembut, lucu, bengis atau garang dan watak binatang.

Bagi watak lemah lembut katanya, ia biasanya diberi kepada watak perempuan dan jika sesuatu episod memerlukan watak perempuan yang garang, tok dalang akan menghidupkan watak tersebut dengan kepandaian yang ada padanya.

Beliau memberitahu, kebanyakan watak perempuan terdiri daripada puteri raja, isteri raja, dan juga bidadari dari kayangan.

Mengenai watak Sita Dewi, Pok Jak berkata, ia merupakan satu watak penting, walaupun tidak mempunyai kesaktian, namun sebagai isteri raja yang masyhur, watak itu dilengkapi dengan perhiasan istimewa.

Selain itu, gambaran watak lelaki dalam jenis ini mewakili watak manusia dan ia diukir dengan halus dan berbentuk kecil, pakaian yang elok serta perhiasan yang halus dan banyak.

Menurutnya, watak yang tergolong dalam kumpulan ini ialah Seri Rama, Laksamana Nadia (putera raja) dan beberapa raja yang memerintah negeri.

”Seri Rama mempunyai kulit putih kuning dan cahayanya hijau. Walaupun Seri Rama mempunyai watak yang lemah lembut tetapi kekuatannya sukar ditandingi manakala Laksamana Nadia pula merupakan adik dan penolongnya.

Mengenai kedudukan watak bengis dan garang katanya, perbezaan watak itu dengan watak lain terutamanya watak baik adalah berdasarkan bentuk tubuh dan sifat lahiriah yang besar dan kasar ukirannya dengan mulut ternganga, bertaring dan bermata besar.

”Selalunya muka watak jenis ini sedikit mendongak untuk menunjukkan keangkuhan dan kesombongan, kalau menunduk pula sangat menunduk sehingga mencecah ke dada,” ujarnya.

Menurutnya, watak-watak utama dalam wayang kulit yang tergolong dalam watak garang tetapi baik hati adalah ialah Hanuman iaitu anak Seri Rama yang berbadan manusia dan bermuka kera.

Katanya, agak menarik dalam aspek watak wayang kulit ialah tidak ada watak perempuan yang garang dan walaupun watak perempuan itu anak atau isteri kepada raksasa, ia tetap digambarkan dengan elok.

Mengenai watak lucu pula, Pok Jak memberitahu, patung biasanya diukir dengan berbagai-bagai sifat yang menggambarkan humor seperti Wak Long, Pak Dogol, Mat Diah dan Samat.

Read Full Post »

GALERI Seni Warisan Terengganu di Kuala Terengganu turut mempamerkan hasil songket, batik, kraf tangan negeri ini


KUALA TERENGGANU 10 Mei (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri Terengganu sememangnya berhasrat memastikan pelbagai produk warisan seni tidak pupus ditelan zaman.

Menyedari hakikat itulah kewujudan Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang, di sini, menjadi salah satu bukti betapa seriusnya kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita yang sekian lama terpendam.

Dengan kewujudan galeri itu diharap generasi muda yang menjadi pewaris seni warisan negeri dapat mengenali tentang kehebatan dan keindahan produk seni silam sekaligus menarik minat untuk mereka terus menyumbang ke arah kesinambungan warisan gemilang.

Galeri yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) itu bakal menjadi pusat utama rujukan, pameran, pengurusan dan bimbingan rekaan kepada pengusaha kraf.

Terengganu International Design Excellence (TIDE) dilantik sebagai penasihat, perunding, pemantau dan kurator kepada penyelidikan, pameran di galeri yang diwujudkan itu.

Ia juga berperanan membantu kerajaan negeri membangunkan seni kraf di Terengganu.

GSWT menyediakan sudut-sudut pameran kepada pengusaha-pengusaha kraf di Terengganu khususnya bahan kraf seperti songket, batik, busana muslimah, tembaga, ukiran, anyaman dan sebagainya.

Sudut-sudut pameran itu berkonsepkan kecemerlangan rekaan yang berinspirasikan kekayaan alam dan warisan tradisi negeri Terengganu.

Pengurus Besar YPUT, Azmi Razib berkata, kewujudan galeri itu membolehkan pelbagai hasil produk kreatif pengusaha dipamerkan sekaligus mempertingkatkan industri pelancongan negeri.

Katanya, sudut pameran ini juga berperanan sebagai pencetus inspirasi kepada pengusaha dan juga generasi pelapis akan datang.

”Kecemerlangan pengusaha kraf Terengganu khususnya di dalam bidang rekaan begitu membanggakan.

”Ini merupakan hasil gigih kerajaan negeri melalui YPU dan TIDE di dalam membimbing dan melatih serta memberi pendedahan tentang perkembangan rekaan kepada pengusaha secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Azmi berkata, agensi-agensi yang terlibat didalam kecemerlangan rekaan ini adalah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).

Katanya, agensi lain ialah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Persatuan Pengusaha Pembatik Terengganu dan Terengganu International Design Excellence (TIDE).

Antara objektif penubuhannya adalah menjadikan Galeri Seni Warisan Terengganu sebagai tempat pameran produk-produk terbaik pengusaha untuk dipamerkan kepada pembeli samada dari dalam atau luar negeri.

”Menjadikan GSWT sebagai tempat rujukan rekaan dan tempat pertemuan antara penguasaha dengan pelanggan,” katanya.

Dari segi pengisian pameran pula Galeri Seni Warisan meliputi sudut pameran songket, demontrasi, pameran batik, pameran kraf tembaga dan sudut pameran kraf ukiran.

Pameran bertema merupakan pameran yang dibuat mengikut tema-tema tertentu seperti pameran berkaitan kekayaan hidupan laut, elemen tradisi dan flora serta Terengganu.

Pameran tokoh kraf Terengganu merupakan pameran yang mengetengahkan hasil kreatif dan jasa individu kelahiran Terengganu di dalam pelbagai bidang kraf seperti batik, songket, ukiran, tembaga, anyaman dan bidang kraf yang lain.

Dengan adanya pameran ini, tokoh-tokoh kraf ini akan lebih dikenali oleh masyarakat dan menjadi inspirasi kepada generasi baru penguasaha kra tempatan.

Pameran inovasi dan eksperimentasi amatlah penting bagi membuka minda pengusaha.

Kebanyakan pengusaha telah begitu arif dan mahir dengan teknik dan rekaan tradisi.

Walau bagaimanapun berasaskan daripada perkembangan cita rasa pasaran semasa, barangan kraf ini perlu ada perubahan gaya dan nilai tambah estetika bagi menyesuaikan dengan kehendak pasaran.

Elemen-elemen tradisi dikekalkan dan diubah suai agar ianya dapat disuai padankan dengan kegunaan semasa.

Pameran-pameran ini merupakan pameran inovasi yang berasaskan tradisi Terengganu.

Pameran eksperimentasi pula merupakan pameran kraf yang menggunakan kaedah penghasilan batik secara kontemporari.

Sudut pameran koleksi Piala Seri Iman merupakan pameran hasil karya daripada peserta-peserta yang telah menyertai dan memenangi pertandingan Piala Seri Iman dari tahun 2005 hingga 2008.

Bahan-bahan yang diperaga merupakan koleksi penyertaan para peserta bagi kategori rekaan batik

Sudut pameran bagi rekaan fesyen menampilkan rekaan formal dan kasual busana muslimah komtemporasi untuk lelaki dan wanita.

Selain daripada itu, sudut ini juga mengenengahkan koleksi rekacorak batik kontemporasi berasaskan tradisi dan juga barangan kraf berasaskan batik hasil rekaan para peserta.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 10 Mei (Utusan Malaysia) – Langkah kerajaan negeri mewujudkan Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang, di sini, membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap golongan pengusaha kraf yang sekian lama membangunkan produk tersebut.

Galeri seumpamanya dijangka akan diwujudkan di setiap daerah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kerajaan menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dan Terengganu Design Excellence (TIDE) akan terus berusaha mempromosikan galeri sehingga menjadi pusat utama pameran dan penyelidikan dalam bidang berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, bantuan dari segi kewangan dan latihan keusahawanan akan turut diberi kepada pengusaha bagi memastikan golongan terbabit memanfaatkan ilmu yang diperolehi tanpa memikirkan penggantungan kepada kerja lain.

”Saya harap pengusaha bersungguh-sungguh dalam kerja mereka agar memperolehi kejayaan yang lebih gemilang untuk masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Kampung Ladang di pilih sebagai tapak galeri kerana ia seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang bercadang untuk menjadikan kampung itu sebagai pusat atau hub hasil seni Terengganu terutama kraftangan.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya sudah lama menyimpan hasrat tersebut kerana kampung itu menjadi kawasan pengeluar pelbagai barangan kraf sejak beratus tahun lampau.

Jika dilihat senario semasa, Kampung Ladang telah mencipta nama dengan beberapa tokoh seni terutama seni pembuatan tembaga yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Nama seperti Manisma Kraf telah sinonim dengan kraf tembaga yang begitu unik sekali dan bermutu tinggi.

”Kita juga seharusnya bangga apabila melihat hasil seni Terengganu terpapar diseluruh negara,

”Kepelbagaian kita adalah aset kita, selain daripada tempat dan destinasi yang indah dan menarik, produk ‘intrensic’ seperti keramahan rakyat dan budaya,warisan senibina juga mempunyai tarikan tersendiri malah semua ini merupakan produk unik yang ada pada negeri kita,” katanya.

Read Full Post »