Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘sekolah rendah’

KEMAMAN (Sinar Harian)- Pembahagian komputer riba kepada 23,000 murid Tahun Lima di seluruh sekolah rendah di negeri ini akan diselesaikan sehingga penghujung bulan ini bagi memastikan hasrat kerajaan negeri melahirkan generasi baru celik teknologi maklumat (IT) tercapai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, pembahagian e-Book di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pertama kali diadakan bagi kawasan Kemaman membabitkan 722 penerima dari 10 buah sekolah, di sini.

“Kita akan selesaikan secepat mungkin, dijangka akhir bulan ini semuanya selesai dan murid boleh menggunakannya kerana semuanya sudah disediakan dengan lengkap.” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Penyerahan e-Book dan Bantuan Pakaian Seragam di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, Kijal.

Menurut Ahmad, melalui sistem ‘Virtual Class’, murid akan dibawa mendalami ilmu IT dengan pengawasan sepenuhnya oleh guru.

“Tidak timbul soal murid bermain ‘games’ menggunakan komputer riba ini, terpulang kepada kawalan guru dan ibu bapa.

“Melalui sistem ‘Virtual Class’, jutaan ringgit telah dibelanjakan dan kami akan sentiasa mengemas kini sistem itu dari masa ke semasa.

“Kerajaan negeri juga merancang membina kilang komputer milik sendiri pada tahun depan dengan peruntukan RM8 bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Menurut Ahmad, ia adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri bagi memberikan yang terbaik kepada murid tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Kerajaan negeri juga telah membelanjakan RM34 juta untuk tujuan ini, justeru, kita harus bangga kerana Terengganu satu-satunya negeri menggunakan kaedah ini selepas Venezuala dan Portugal,”katanya.

Ditanya mengenai isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak patut melengahkan siasatan ke atas dua ‘Datuk’ yang dikatakan terbabit dengan rasuah berhubung pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

“Saya ’no komen’, begitu juga dengan isu Chin Peng, saya tidak mahu mengulas panjang, bagi saya itu sejarah pahit yang menyebabkan ramai orang terkorban ketika zamannya.

“Dia memang seorang yang tidak bertanggungjawab,”katanya.

Read Full Post »