Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘segok’


WAN Abdul Razak dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, semalam.

Bekas kakitangan DCA lebam di mata, telinga kiri dan mata

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Seorang pesara cedera dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat ditanduk seekor lembu yang naik minyak selepas melahirkan anak di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, Marang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Wan Abdul Razak Wan Ngah, 73, dikatakan cuba mengalihkan seekor anak lembu yang baru dilahirkan, sebelum beliau ditanduk sehingga rebah dan dipijak ibu lembu berkenaan

Isteri mangsa, Atikah Ibrahim, 63, yang cuba membantu suaminya turut ditanduk dan terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di HSNZ.

Seorang jiran yang menyedari kejadian itu, menyelamatkan suami isteri terbabit dengan mengalihkan anak lembu yang baru tiga jam dilahirkan ke tempat lebih jauh daripada mangsa.

Wan Abdul Razak yang juga bekas kakitangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata, dia menarik lembu miliknya yang membuat bunyi bising di kawasan rumah dan tiba-tiba lembu itu bertindak menyerangnya kerana marah selepas anaknya dialihkan.

“Saya tidak ada pilihan dan terpaksa melawan walaupun ditanduk pada bahagian mata, telinga kiri dan badan,” katanya sambil bersyukur ketika ditemui di HSNZ di sini, semalam.

Sementara itu, Atikah berkata, dia memberanikan diri menarik tali pada hidung lembu berkenaan apabila melihat haiwan ternakan itu menyerang suaminya.

“Sewaktu saya menarik tali, lembu berkenaan terus menanduk belakang serta memijak kaki saya,” katanya.

******************************

Berita sebelum ini:

https://alamakademik.wordpress.com/2009/06/07/pesara-kerajaan-kena-segok-lembu/

Read Full Post »

Seorang pesara kerajaan dan isterinya, cedera selepas disegok (tanduk) seekor lembu peliharaannya yang “naik minyak” di kawasan rumahnya di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung, di sini kelmarin.

Mangsa, Wan Abdul Razak Wan Ngah, 73, cedera pada muka, mata dan telinga kini di rawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, manakala isterinya, Atikah Ibrahim hanya cedera ringan di kaki dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Kejadian berlaku jam 8.30 pagi ketika Wan Abdul Razak hendak mengalih lembu betinanya yang baru melahirkan anak dari kawasan rumahnya ke kebun sebelah apabila tiba-tiba lembu tersebut mengganas dan menyerangnya.

****************************

TokTeh-kaitkelapa

*Segok adalah istilah yang diterimapakai di dalam Kamus Dewan.

Laporan di atas disediakan oleh Wan Jailani Wan Abdul Razak yang merupakan anak mangsa yang bertugas di akhbar Berita Harian, Kuala Lumpur.

Gambar Wan Abdul Razak (Tok Teh) mengait nyior (kelapa) muda ketika cucu-cucu pemilik Alam Akademik berkunjung ke rumahnya di Kampung Binjai Bongkok seminggu lalu.

Read Full Post »