Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘royalti’

HULU TERENGGANU 15 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan Terengganu akan menerima wang royalti minyak sebanyak RM744 juta daripada Petronas yang dijangka Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada Mac lalu sebanyak RM650 juta telah diterima kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya bayaran keseluruhan yang akan diterima tahun ini belum dapat dipastikan.

“Bayaran bagi bulan September ini saya tak tahu lagi berapa,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Bukit Diman, di sini, hari ini.

Sebelum ini Ahmad dalam kenyataan akhbar pernah berkata, kerajaan negeri percaya bayaran yang akan diterima hasil wang royalti minyak sekurang-kurangnya mencecah RM1.5 bilion

Menurutnya, kerajaan negeri menunggu jumlah pembayaran wang royalti minyak dari Petronas untuk mengetahui sama ada wang itu cukup untuk memenuhi bajet negeri 2009 yang berjumlah RM1.799 bilion.

Cabaran yang terpaksa dihadapi Terengganu selepas wang royalti dikembalikan adalah dari segi perancangan pembangunan dan kerajaan negeri tidak lagi boleh berharap kepada dana khas kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan negeri perlu melaksanakan segala perancangan pembangunan berasaskan bajet tahunan.

Mengenai tanggapan bahawa pentadbiran beliau dilihat agak perlahan dari segi pelaksanaan pembangunan fizikal negeri jelasnya, ia kerana semua perancangan perlu berdasarkan bajet.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 13 April – Kerajaan Terengganu digesa berjimat cermat ketika harga minyak yang jatuh ke paras sekitar AS$45 ( RM157.5) setong sekarang mungkin mengurangkan pendapatan kerajaan melalui royalti minyak.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri perlu merancang perbelanjaan dengan sebaik-baiknya.

Katanya, penjimatan dalam penggunaan utiliti, penganjuran majlis rasmi dan pelaksanaan aktiviti yang kurang efektif boleh digunakan bagi tujuan yang membantu kestabilan pembangunan negeri.

“Kita yakin jika kerajaan dan rakyat sekarang faham keadaan ini dan bekerjasama mengawal perbelanjaan, kita akan menangani kesan kemelesetan ekonomi yang sedang dihadapi sekarang,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tengku Sri Panglima Raja juga menyarankan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merancang teliti usaha memudah proses penyaluran wang subhah, iaitu wang yang dihasilkan daripada aktiviti yang tidak diketahui status halal atau haram.

Dalam hal ini, katanya, Maidam harus bekerjasama dengan Islamic Banking and Finance Institute Malaysian Sdn. Bhd. yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia bagi menasihati pengurusan unit amanah dalam aktiviti pelaburan mereka termasuk pelaburan membabitkan wang subhah.

“Maklumat terperinci perlu dibekalkan bagi memudahkan cara penyaluran wang tersebut.

“Maidam perlu mengadakan kaunter mesra rakyat, mewujudkan talian hotline atau memberi insentif kepada syarikat yang menghulurkan wang subhah kepadanya,” katanya.

Beliau menambah, wang subhah boleh digunakan bagi apa juga tujuan termasuk dalam aktiviti dan program pembangunan negeri.

Katanya, Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri negeri termasuk Maidam sendiri telah diputuskan sebagai badan penerima wang subhah daripada Pengurus Dana Unit Amanah Syariah.

Ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan yang bersidang awal tahun ini.

Tengku Sri Panglima Raja juga menggesa kerajaan negeri bersikap terbuka khususnya dalam menerima kritikan yang membina.

Katanya, fleksibiliti dalam memberi perkhidmatan amat penting kerana keperluan rakyat berubah dari semasa ke semasa.

“Tema merakyatkan pentadbiran dan pembangunan perlu dihayati dan jika strategi pengurusan adalah berpaksikan kepada rakyat, maka sepatutnya kita memfokuskan rakyat sebagai tumpuannya,” katanya.

Read Full Post »