Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘rompak’

BESUT 12 Jun (Utusan Malaysia) – Pasangan guru bersama enam anak mereka diikat sebelum rumah mereka digeledah oleh sekumpulan tiga perompak dalam satu kejadian di Kampung Limbongan dekat sini awal pagi semalam menyebabkan kerugian kira-kira RM13,000.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, pasangan, Zulkifly Yusof, 44, dan isterinya Nor Khairiyah Abdullah, 46, dikejutkan oleh dua orang suspek yang memasuki bilik tidur mereka yang tidak berkunci.

Zulkifly ketika ditemui berkata, dia terjaga setelah dua orang yang menutup kepala menggunakan baju T yang hanya menampakkan mata dan hidung mengacukan pisau pemotong daging ke lehernya.

Menurutnya, salah seorang suspek mengarahkannya supaya tidak berbuat bising dan bertanyakan guru itu tempat simpanan wang sambil mengikat tangan dan isterinya menggunakan kabel pengecas telefon.

Menurutnya, ketika itu anak bungsunya, Nor Farah Hanani, 5, yang tidur bersama dalam bilik itu lena dan tidak diapa-apakan oleh suspek.

”Salah seorang suspek menggeledah semua bilik di tingkat bawah manakala seorang lagi berkawal dalam bilik tidur,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi suspek naik ke tingkat atas dan mengejutkan anak kedua mangsa, Mohd. Fauzo Tajuddin, 20, dan mengikat tangannya.

Zulkifly juga dibawa ke tingkat atas untuk mengejutkan anak sulungnya, Nor Farah Nadiah, 21, dalam sebuah bilik yang berkunci dan pencuri merentap rantai serta gelang yang dipakainya.

Menurutnya, tiga lagi anaknya yang berumur antara 11 hingga 15 tahun yang tidur di sebuah lagi bilik tidak dapat dikejutkan kerana berkunci.

Dia sekeluarga kemudian dibawa ke sebuah bilik di belakang rumah itu dan dibiarkan kira-kira 15 minit sebelum keluar untuk menelefon rakan di sebuah pondok telefon berhampiran selepas yakin suspek telah beredar.

Menurut Zulkifly, suspek melarikan wang tunai kira-kira RM4,000, barang kemas bernilai RM4,000 dan tujuh telefon bimbit serta barangan lain yang kesemuanya berjumlah RM13,000.

Read Full Post »