Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘roboh’


STADIUM Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Bolehkan acara sukan diadakan selepas bumbung SSMZA runtuh

KUALA TERENGGANU: Kerja merobohkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) untuk dijadikan dataran dan tempat letak kereta di tengah bandar raya ini ditangguhkan bagi membolehkan prasarana itu digunakan untuk penganjuran pelbagai acara sukan, selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Kompleks Sukan Gong Badak ditutup.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Razali Kassim, berkata walaupun stadium berusia 42 tahun itu kelihatan usang, ia masih utuh dan boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di SSMZA.
Beliau berkata, struktur stadium itu masih dalam keadaan baik walaupun cat kelihatan terhakis dan tiang besi serta kipas berkarat kerana keseluruhan binaan itu menggunakan konkrit, batu, simen dan besi yang masih kuat dan kukuh.

“Bagi aktiviti sukan dalaman yang sesuai diadakan di Stadium Tertutup, tetapi bagi perlawanan bola sepak dan beberapa aktiviti sukan terbuka yang dirancang di SSMZA, kita akan pindahkan ke SSINS.

“Kita terpaksa tangguhkan projek merobohkan SSINS untuk dijadikan dataran dan taman dalam bandar serta tempat letak kereta yang pada mulanya dijangka bermula tahun depan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

SSINS yang dibina di tengah bandar raya Kuala Terengganu dan dirasmikan bekas Pemangku Raja, Tengku Mahmud Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada 27 Ogos 1967 pernah melakar sejarah apabila Terengganu buat julung kali menjuarai Piala FAM pada 1969.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Selasa lalu, sebahagian bumbung di bahagian timur SSMZA yang baru setahun siap dibina runtuh, menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM25 juta. Bumbung stadium yang keseluruhannya bernilai RM38 juta itu dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang atau ‘space frame’ rekaan dan binaan kontraktor dari Korea Selatan.

Razali berkata, atas faktor keselamatan, jeriji besi yang dipasang MBKT sebelum ini di bahagian atas tempat duduk penonton di SSINS dibuka selepas mengesan kekurangan dan kelemahan pemasangan alatan itu, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama apabila stadium itu dipenuhi pengunjung.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di SSINS mendapati, beberapa pekerja sebuah syarikat pembinaan tempatan sibuk melakukan kerja pembersihan dan mengecat sebahagian struktur stadium merangkumi tempat duduk utama, tiang, tembok dan bumbung.

Tinjauan juga mendapati, sebahagian besar komponen stadium itu iaitu tempat duduk, bumbung, tiang dan tembok sedia ada masih kukuh, bagaimanapun, beberapa kerosakan seperti penutup longkang dan jalan yang memisahkan tempat duduk utama dengan padang retak dan pecah.

Razali berkata, kerja pembersihan dan mengecat itu dilakukan berikutan beberapa acara membabitkan istana termasuk Piala Sultan Terengganu Cabaran Endurance 2009 kelmarin dan pertunjukan tatu sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang akan diadakan pada 20 Julai depan.

Mengulas mengenai tahap keselamatan Pusat Akuatik MBKT di Batu Burok di sini, Razali berkata, selepas pengurusannya diserahkan kepada MBKT kira-kira sebulan lalu, pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya membaiki kelemahan dan kerosakan yang ada.

Katanya, walaupun beberapa kecacatan ketara dikesan di pusat akuatik itu, ia tetap dibuka kepada orang awam, bagaimanapun, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan kapasiti pengguna yang boleh menggunakan kemudahan berkenaan.

“Kita akui memang banyak kelemahan pada kolam renang itu, tetapi kita tidak boleh menutupnya daripada digunakan orang awam kerana sudah terima banyak tempahan terutama untuk atlit kita mengadakan latihan renang sempena Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 di Melaka nanti,” katanya sambil menambah prasarana itu dipantau dan akan dibaiki oleh JKR secara berperingkat.

Read Full Post »