Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Rantau Abang’

DUNGUN: Nelayan di Rantau Abang di sini bersyukur dengan daya usaha proaktif kerajaan negeri yang melaksanakan kerja pembersihan tukun di perairan itu kerana ia sudah pasti memberi manfaat kepada mereka yang mana akan menambah pendapatan mereka pada masa depan.

Di kalangan nelayan, mereka mengakui penggunaan tukun tiruan banyak membantu menambah hasil tangkapan mereka kerana koloni ikan menjadikannya sebagai lubuk. Sejak tukun tiruan diperkenalkan lebih sedekad lalu, nelayan mengakui hasil tangkapan mereka meningkat.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keadaan mula berubah apabila hasil tangkapan sudah tidak sebanyak dulu dan perkara ini dikaitkan dengan fenomena persekitaran tukun yang tidak menggalakkan. Antaranya, keadaan tukun yang dikatakan sesak dengan bahan buangan dan terdedah dengan objek yang menakutkan ikan termasuk tinggalan pukat yang tersangkut.

Menyedari keadaan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rantau Abang menganjurkan program membersihkan dan menyelamatkan tiga kawasan tukun di perairan Rantau Abang, baru-baru ini.

Tindakan membersih tukun bertujuan memastikan kawasan itu mampu menarik lebih banyak ikan dan membolehkan nelayan memperoleh hasil tangkapan yang lebih baik.

Seramai 20 penyelam termasuk penduduk Kampung Rantau Abang menyertai program sehari itu dan berjaya memotong pukat nelayan yang tersangkut pada tukun di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata objektif program itu adalah menjalankan kerja pembersihan tukun di perairan Rantau Abang supaya mampu menarik lebih banyak ikan ke kawasan berkenaan.

Advertisement

Read Full Post »

SETIU 14 Mei – Kerajaan negeri akan memajukan kawasan di sekitar jeti pelancong yang terbiar di Pantai Merang di sini sebagai Taman Pemuliharaan Penyu dan Ekosistem Marin.

Taman tersebut dijangka menelan belanja RM500,000 dan akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk tujuan penyelidikan serta pemuliharaan spesies itu.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kerajaan mengambil langkah itu daripada membiarkan kawasan tersebut terbiar.

Katanya, kerja-kerja pembinaan taman itu akan dilakukan dalam masa terdekat melibatkan kawasan seluas dua hektar.

”Apabila taman ini beroperasi ia bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan serta pemuliharaan, malah mampu menarik orang ramai serta pelancong asing ke kawasan itu.

”Orang ramai berpeluang melihat penyu selain menghidupkan semula lokasi jeti pelancong itu yang terbiar sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jidin berkata, buat permulaan Jabatan Perikanan negeri akan melepaskan lima ekor penyu dari Rantau Abang, Dungun di taman berkenaan.

Menurutnya, Pantai Merang yang terletak tidak jauh dari taman itu sebelum ini adalah kawasan pajakan telur penyu dan ternyata ia begitu sesuai untuk tujuan penetasan serta pemuliharaan haiwan itu.

**************************

Berita berkaitan:

Air muara cetek, jeti sepi – https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/15/air-muara-cetek-jeti-sepi/

Read Full Post »

PESERTA menikmati jamuan yang disediakan selepas membersihkan kawasan pantai Ma’Daerah, baru-baru ini.


DUNGUN 21 April (Utusan Malaysia) – Setiap kali kedatangan musim penyu bertelur, Jabatan Perikanan Terengganu melaksanakan program gotong-royong membersihkan pantai pendaratan penyu sebagai persediaan untuk hidupan berkenaan mendarat.

Ia merupakan sebahagian daripada program pemuliharaan penyu selain rondaan di kawasan pantai setiap malam sepanjang musim itu bagi memastikan tiada berlaku pencerobohan dan kegiatan curi telur.

Terengganu mempunyai 49 pantai pendaratan penyu dan Pantai Ma‘Daerah adalah salah satu kawasan pendaratan utama bagi penyu agar, selain Geliga, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

Berdasarkan kepentingannya, Pusat Santuari Penyu Ma‘Daerah dimulakan operasi pada tahun 1999 dan setiap tahun program pembersihan pantai itu diadakan sebagai langkah menyediakan kawasan yang selesa dan bersih untuk penyu bertelur.

Untuk program tahun ini yang berlangsung baru-baru ini, jabatan tersebut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan penduduk kampung melalui Persatuan Khazanah Rakyat Ma‘Daerah (Mekar).

Kira-kira 800 orang terlibat menjayakan program itu termasuk daripada Dana Hidupan Liar (WWF) Malaysia dan badan korporat seperti BP Malaysia, BP Petronas Acetyls dan Awana Kijal Hotel, Spa and Beach Resort.

Program yang diketuai Pengarah Perikanan negeri itu, Munir Mohd. Nawi dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasek, Ir. Rosli Othman.

Munir ketika ditemui berkata, tujuan program berkenaan bukan hanya untuk membersihkan pantai, malah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar dan pemuliharaan penyu.

Menurutnya, gotong-royong berkenaan adalah sebahagian daripada program penerangan dan pendidikan yang dilaksanakan oleh Pusat Santuari Penyu Ma‘Daerah selain program penyu angkat dan sarang angkat.

Beliau memberitahu, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 60 sarang penyu agar telah dikesan di pantai Ma‘Daerah dan Kemaman sahaja.

Jelasnya, ini merupakan peningkatan antara lima hingga 10 peratus berbanding pendaratan penyu dalam tempoh yang sama tahun lalu.

‘‘Namun, penyu belimbing yang bertumpu di Rantau Abang langsung tiada pendaratan sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Beliau berkata, melalui program gotong-royong ini juga, peserta terutama penduduk kampung didedahkan dengan kesukaran yang dihadapi penyu semasa melakukan pendaratan untuk bertelur.

Katanya, ini sekali gus membantu mengekang tabiat makan telur penyu di kalangan penduduk negeri ini yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

‘‘Ada kalangan peserta memberitahu saya bahawa selepas menyertai program ini mereka ‘insaf’ dan tidak mahu lagi makan telur penyu.

‘‘Jadi, bagi saya program sebegini amat baik dan berkesan dalam memastikan kejayaan program pemuliharaan penyu terutama jika diterapkan di kalangan pelajar sekolah,” ujarnya.

Read Full Post »