Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘rakyat’

KUALA TERENGGANU 18 Jun (Utusan Malaysia)- Sikap ‘tak apalah’ yang masih menghantui pemikiran segelintir rakyat di negeri ini dikenalpasti sebagai salah satu punca isu kemiskinan di Terengganu masih belum mencapai penyelesaian meskipun pelbagai program dilakukan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, dalam menghadapi era globalisasi sekarang, mereka seharusnya mengubah sikap dengan berusaha mengejar kemajuan dan bukannya semata-mata menyerah bulat-bulat kepada takdir.

Beliau berkata, sikap ‘tak apalah’ sebenarnya bererti mereka menyerah bulat-bulat kepada takdir, sikap ini mesti diubah jika mahu berjaya,

”Jika semua masyarakat kata ‘tak apalah’ jika miskin, tak payahlah berusaha kerana ini takdir, maka selama itulah kehidupan mereka tidak akan berubah,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penyaluran bantuan Program Pembasmian Keluarga Bandar (PPKB) 2009 di Dewan Tunku Abd Rahman di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan RM73,068 kepada Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Toh Puan Zaimah Ab. Aziz bagi bayaran sewa rumah kepada 103 orang yang menghuni Perumahan Desa Keluarga di Chendering.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mat Razali berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM714,658 untuk pelbagai bantuan membabitkan sebanyak 362 penerima di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun ini.

Katanya, antara bentuk bantuan ditawarkan termasuklah bantuan sewa rumah, bantuan persekolahan, pengangkutan kerja dan sekolah.

”Sejak program itu diperkenalkan sebanyak 593 permohonan diterima manakala jumlah peruntukan diluluskan sehingga akhir tahun lalu adalah sebanyak 359 ketua isi rumah,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

Semua pihak disaran laksana agenda manfaat rakyat

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Tanggungjawab membangunkan negeri hendaklah dipikul secara berganding bahu oleh semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat, politik, badan sukarela dan orang perseorangan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat memanfaatkan rakyat.

Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderuzaman Sultan Mahmud, berkata semua pihak disaran memastikan proses pembangunan negeri tidak dicacatkan dengan sebarang perselisihan pendapat yang boleh menjejaskan rakyat.

Beliau berkata, jika terdapat perselisihan pendapat dan isu, ia hendaklah diselesaikan dengan segera melalui kaedah yang tidak memecahbelahkan rakyat seperti menerusi perbincangan dan rundingan supaya keharmonian dan keamanan dapat dikekalkan.

“Suasana kehidupan aman damai perlu dikekalkan. Kita sentiasa berdoa supaya pergaduhan dan kekacauan yang boleh merencatkan proses pembangunan negeri tidak akan berlaku di negeri ini yang mana akhirnya rakyat akan menerima akibatnya.

“Kita gembira apabila Menteri Besar dan kerajaan negeri memperkenalkan hala tuju pembangunan bertema ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang mana setiap aktiviti dilaksanakan oleh kerajaan mesti berpaksikan kepada rakyat.

“Konsep pembangunan ini diharap dapat diterapkan kepada semua pihak sama ada kakitangan kerajaan, ahli politik dan pihak berkepentingan serta rakyat demi memastikan agenda pembangunan negeri terus terlaksana,” katanya pada Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam meneruskan pelan pembangunan negeri, keseimbangan antara pembangunan fizikal dan spiritual perlu seimbang dan penekanan terhadap aspek penerapan nilai murni dan akhlak mulia di kalangan masyarakat perlu dilakukan.

Katanya, usaha ke arah membangunkan negeri tidak akan berjaya tanpa komitmen, penerimaan dan kesediaan bekerjasama daripada semua pihak termasuk rakyat.

Read Full Post »