KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) — “Pakat mari ramai-ramai” (datanglah beramai-ramai), kata Mohd Fairus Lizam Mohd Zaid, mengajak pengunjung menghayati keunikan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man di sini.
Mohd Fairus Lizam, 29, berkata beliau sendiri mulanya keberatan untuk berkunjung kerana kesibukan kerja, tetapi akhirnya “tebeng ke diri” (memaksa diri) untuk ke sana selepas beberapa kali dipujuk isterinya.
Teryata, katanya, ia menjadi satu pengalaman yang menakjubkan dan membuka minda terhadap ketamadunan Islam.
“Ia merupakan tempat yang menarik untuk dilawati kerana banyak monumen sejarah dunia Islam terdapat di sini, lagipun kalau kita nak pergi sendiri melawat tempat-tempat asalnya, kita tidak mampu,” katanya.
Taman itu terletak di sebuah pulau kecil di Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong di sini yang terkenal dengan industri keropok lekor.
Ia menempatkan 21 monumen senibina tamadun Islam seperti Kubah As Sakhra di Palestin, Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Al-Hambra Citadel (Sepanyol), Taj Mahal (India), Menara Kalyan (Uzbekistan), Masjid Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Mesir), Masjid Qairawan (Tunisia), Masjid Allepo Citadel (Syria) dan Masjid Kul Syarif (Russia).
Selain itu, taman berkenaan turut menempatkan pusat konvensyen serta Masjid Kristal yang menjadi kontroversi semasa kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Tetapi bagi Mohd Fairus Lizam, TTI bukan sekadar tempat riadah bagi keluarga malah berfaedah kepada generasi muda terutama untuk mengetahui keagungan tamadun Islam.
Beliau yang berasal dari Ajil dekat sini, berkata jika dianjurkan program menarik sepanjang tahun, tidak mustahil TTI dapat mengerakkan industri pelancongan Terengganu yang sekaligus mencambahkan industri lain untuk manfaat penduduk setempat.
Pandangan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu diakui Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Malaysia Terengganu, Shahrir Naelis Amir yang menjangkakan sektor perhotelan khususnya di bandaraya Kuala Terengganu akan mengalami pertumbuhan lebih pesat tahun ini.
Beliau berkata pertumbuhan itu didorong oleh penambahan produk pelancongan yang mampu dipakejkan oleh pengusaha hotel di negeri itu.
Sebagai contoh, beliau yang juga Pengurus Felda Residence berkata pihaknya akan mengeluarkan pakej “Kebudayaan Islam di Terengganu” yang merangkumi kunjungan ke TTI dan Masjid Kristal selain budaya masyarakat setempat khususnya kepada pelancong Islam Asia dan Eropah.
Beliau berkata peratusan penginapan di hotel dijangka meningkat 72 hingga 75 peratus tahun ini berbanding 68 peratus tahun lepas.
Purata bermalam pelancong dijangka turut meningkat kepada 3.5 malam bagi pelancong domestik sementara 5 malam bagi pelancong asing berbanding 3.1 (domestik) dan 4.6 (asing) pada 2008.
Pengarah Tourism Terengganu Suhaimi Abu Hassan Shari berkata TTI seluas 23 hektar itu telah menarik 1.6 juta pengunjung sejak ia dibuka Februari tahun lepas.
Beliau berkata perkembangan itu dilihat menarik pengusaha hotel dan berdasarkan maklum balas yang diterimanya, 11 lagi hotel termasuk yang bertaraf dua hingga tiga bintang akan beroperasi menjelang akhir tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan hotel di Terengganu ialah 241.
Beliau berkata daripada jumlah itu, enam hotel akan dibina di bandaraya Kuala Terengganu yang setakat ini mempunyai 52 hotel termasuk hotel bajet. Pada masa ini terdapat 230 hotel di seluruh negeri ini dengan 7,813 bilik.
Pembinaan hotel-hotel berkenaan bukan hanya mampu menambah 3,379 bilik bagi penginapan pelancong malah memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, katanya.
Beliau berkata berdasarkan statistik, hampir 600,000 pelancong dalam dan luar negara menginap di hotel-hotel seluruh negeri itu sepanjang Januari hingga Jun tahun lepas.
Jumlah itu meningkat berbanding hampir 500,000 pelancong dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Meskipun menjadi bahan kontroversi, kunjungan ke Kuala Terengganu yang kini digelar bandaraya warisan pesisir air menjadi tidak lengkap jika tidak ke Masjid Kristal.
— BERNAMA
Read Full Post »