Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Pulau Taman Burung’

HULU TERENGGANU 16 Jun – Seorang penyelia projek Pulau Taman Burung di Tasik Kenyir di sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah bot di tasik itu, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Halmi Shukri Hashim, 28, dalam perjalanan untuk mengambil rakannya di sebuah pulau berdekatan.

Sehingga pukul 6 petang ini, mangsa masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejak petang semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 2.15 petang, Halmi Shukri dalam perjalanan ke sebuah pulau yang terletak kira-kira 10 minit dari taman burung itu dengan sebuah bot.

Rakannya, Bakri Mohd. Noor, 30, berkata, dia meminta Halmi Shukri membawanya ke pulau berkenaan bagi membolehkan dia membuang air besar.

“Kira-kira 15 minit kemudian, saya terdengar Halmi datang dengan bot untuk mengambil saya.

“Apabila saya tiba di tebing pulau, saya hanya melihat bot itu bergerak berpusing-pusing dan Halmi tiada dalam bot tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bakri berkata, dia kemudian terjun ke dalam tasik untuk mencari rakannya dan mengambil bot namun tidak berjaya.

“Saya kemudian menjerit meminta bantuan tiga rakan yang berada di Pulau Taman Burung dan mereka pun berenang ke pulau di mana saya berada.

“Kami kemudian berusaha untuk mencari Halmi namun gagal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Unit Selam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Pegawai Bomba Kanan II Yusmizan Yusof ketika dihubungi berkata, Balai Bomba Kuala Berang di sini dimaklumkan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.45 petang semalam.

“Sebanyak 10 anggota dikerahkan membantu mencari mangsa namun operasi terpaksa dihentikan kira-kira pukul 6 petang semalam kerana cuaca gelap.

“Operasi disambung semula pukul 8 pagi ini namun sehingga sekarang (6 petang) mangsa masih belum ditemui,” ujarnya.

Read Full Post »