Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘penyu’


KEADAAN bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak yang runtuh.

(Kosmo) PASUKAN Terengganu tidak ada pili- han lain selain terus bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada aksi Liga Super menentang KL Plus pada 16 Jun ini.

Keputusan itu dibuat selepas bumbung gelanggang utama mereka musim ini, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, Selasa lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, setakat ini perlawanan tersebut tetap akan diadakan meskipun keadaan stadium lama itu tidak berada pada tahap yang memuaskan.

Katanya, arahan telah diberikan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk membaik pulih stadium itu dengan kadar yang segera.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan beliau menerima permohonan persatuan untuk mengguna- kan stadium itu.

“Saya yakin stadium itu boleh digunakan kerana ia akan dibaik pulih sebaik sahaja tamat kejohanan kuda lasak, Sultan Cup 2009, Ahad ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Che Mat, beliau tidak bimbang dengan keadaan permukaan padang kerana proses untuk menanam semula rumput boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Begitu juga dengan tempat duduk tambahan untuk penonton yang dibuang atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, pagar yang memisahkan antara pemain dan penonton mungkin tidak sempat untuk dipasang semula selepas ia dibuang baru-baru ini.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, khidmat kawalan keselamatan akan dipertingkatkan.

Selain menggunakan khidmat anggota polis, beliau juga bercadang untuk mendapatkan bantuan Rela dalam menjaga keselamatan pemain dan penonton.

Tambahan pula katanya, kehadiran penonton mungkin tidak seimbang kerana pada perlawanan itu, Terengganu akan menentang KL Plus yang tidak mempunyai ramai penonton di negeri ini.

“Memang mustahil untuk kami bermain di stadium berkecuali seperti mana yang berlaku ke atas Kelantan yang beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selasa depan,” katanya.

Che Mat berkata, selain perlawanan yang membabitkan Terengganu, mesyuarat itu juga akan membincangkan masalah yang turut dihadapi T-Team.

Ini kerana T-Team akan berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Liga Perdana tiga hari kemudian.

Advertisements

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 1 Jun (Utusan Malaysia) – Kerajaan negeri akan menggunakan resolusi yang dicapai dari Bengkel Kerjasama Serantau Bagi Menangani Masalah Tangkapan Penyu untuk meningkatkan usaha pemuliharaan penyu dan tuntung laut di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong berkata, sebagai sebuah negeri yang sinonim dengan usaha pemuliharaan haiwan terancam, kerajaan negeri akan terus memastikan usaha itu terus diperhebatkan.

”Resolusi itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri sebaik sahaja bengkel selama tiga hari ini tamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bengkel itu di sini yang bermula hari ini dan berakhir Rabu ini anjuran bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Program Coral Triangle WWF, Yayasan Penyelidikan Marin dan Hainan Normal University di China.

Antara yang mengambil bahagian dalam bengkel itu ialah pakar penyu dan tuntung laut, Dr. Chan Eng Heng dan Eksekutif Yayasan Penyelidikan Marin di Sabah, Dr. Nicolas Pilcher.

Pada sidang akhbar selepas itu Nicolas berkata, kes-kes tangkapan penyu dan tuntung laut yang dilaporkan oleh media hanyalah sejumlah kecil daripada ‘perdagangan gelap’ melibatkan haiwan itu.

”Bot-bot yang digunakan dilengkapi peralatan untuk menangkap dan mengawet penyu.

”Kegiatan ini menggugat usaha pemuliharaan yang dijalankan oleh Malaysia, Filipina dan Indonesia,” ujarnya.

Oleh itu, beliau memberitahu, tujuan bengkel itu adalah untuk mendokumen secara kolektif kes-kes yang dilakukan oleh nelayan asing di perairan Laut Cina Selatan.

‘Ia juga untuk mendedahkan bagaimana dan di mana penyu diproses sebelum didagangkan.

”Selain itu, kajian ini akan mendedahkan komuniti yang bergantung hidup kepada penangkapan dan pemprosesan penyu dan bagaimana untuk mempersembahkan mata pencarian alternatif kepada mereka,” katanya.

****************************************

Berita berkaitan:

Read Full Post »

SETIU 14 Mei – Kerajaan negeri akan memajukan kawasan di sekitar jeti pelancong yang terbiar di Pantai Merang di sini sebagai Taman Pemuliharaan Penyu dan Ekosistem Marin.

Taman tersebut dijangka menelan belanja RM500,000 dan akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk tujuan penyelidikan serta pemuliharaan spesies itu.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kerajaan mengambil langkah itu daripada membiarkan kawasan tersebut terbiar.

Katanya, kerja-kerja pembinaan taman itu akan dilakukan dalam masa terdekat melibatkan kawasan seluas dua hektar.

”Apabila taman ini beroperasi ia bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan serta pemuliharaan, malah mampu menarik orang ramai serta pelancong asing ke kawasan itu.

”Orang ramai berpeluang melihat penyu selain menghidupkan semula lokasi jeti pelancong itu yang terbiar sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jidin berkata, buat permulaan Jabatan Perikanan negeri akan melepaskan lima ekor penyu dari Rantau Abang, Dungun di taman berkenaan.

Menurutnya, Pantai Merang yang terletak tidak jauh dari taman itu sebelum ini adalah kawasan pajakan telur penyu dan ternyata ia begitu sesuai untuk tujuan penetasan serta pemuliharaan haiwan itu.

**************************

Berita berkaitan:

Air muara cetek, jeti sepi – https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/15/air-muara-cetek-jeti-sepi/

Read Full Post »

DUNGUN 21 April – Amalan makan telur penyu masih menjadi salah satu halangan terhadap kejayaan usaha pemuliharaan penyu bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negara.

Ketua Program Penyu Terengganu-WWF, Rahayu Zulkifli berkata, telur penyu telah dijadikan tarikan sejak zaman-berzaman untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, ini menyebabkan pelancong yang datang menjadikan aktiviti membeli telur penyu terutama di Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu aktiviti ‘wajib’ ketika berkunjung ke Terengganu.

”Apa yang berlaku sekarang ialah, penjualan telur penyu masih berlaku di Terengganu terutama telur penyu yang dibawa masuk dari negeri lain tetapi pembelinya datang dari seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong-royong membersihkan pantai di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah di sini baru-baru ini.

Untuk mengekang masalah itu, jelasnya, WWF Malaysia melaksanakan Kempen Egg > Life iaitu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa setiap telur penyu yang dimakan mengandungi satu nyawa anak penyu.

Dengan cara itu, jelasnya, penjualan serta amalan makan telur penyu dapat dihentikan.

Menurutnya, kempen berkenaan yang dilancarkan di ibu pejabat WWF di Selangor Ahad lepas akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan sebagai sokongan terhadap usaha pemuliharaan penyu.

Katanya, antaranya ialah menyokong undang-undang yang mengharamkan perdagangan serta pemakanan semua jenis telur penyu, aspek perundangan yang lebih komprehensif.

”Mereka yang menurunkan tandatangan menyokong kempen ini juga berikrar tidak akan memakan telur penyu atau melibatkan diri dalam perdagangan penyu,” ujarnya.

Jelasnya, WWF Malaysia menyasarkan untuk mengumpul 40,000 tandatangan sebagai permulaan ke arah usaha pemuliharaan penyu yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Read Full Post »