Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pengunjung’

Pendapatan bagi suku pertama tahun ini RM2.12 juta

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini, terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Terengganu dan ia terbukti dengan catatan seramai 233,295 pengunjung setakat tiga bulan pertama tahun ini.

Pengerusi TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zakaria Awang, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 35 peratus adalah pengunjung tempatan, manakala 50 peratus ialah pelancong dari luar Terengganu dan 15 peratus lagi terdiri daripada pelancong asing seperti Singapura dan Timur Tengah.

Beliau berkata, dengan jumlah pengunjung seramai 233,295 setakat suku pertama tahun ini, TTI mencatatkan pendapatan keseluruhan bernilai RM2.12 juta dengan kadar keuntungan bersih RM111,000 dan pihaknya yakin jumlah itu akan terus meningkat melalui pelbagai usaha pihak pengurusan menambah tarikan pengunjung ke TTI.

Katanya, berdasarkan prestasi membanggakan TTI sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Terengganu mendorong pihak pengurusan menambah baik kemudahan dan menyediakan tarikan termasuk menempatkan lima ekor unta dan memperkenalkan makanan Arab bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Alhamdulillah, selepas genap setahun PMINT mengambil alih pengurusan TTI kedatangan pelancong amat menggalakkan. Ini terbukti apabila TTI mencatatkan seramai 182,739 pengunjung dan 50,566 pelawat Taman Monumen dari Januari hingga Mac lalu. Jadi, sempena menyambut ulang tahun TTI ini, kita menawarkan beberapa program dan tarikan baru untuk pelancong yang datang ke sini.

“Menu nasi Arab bersama aneka lauk seperti kambing panggang segar, bebola daging kufta, humus dan ayam boleh dinikmati oleh pelancong di kafeteria B’beting pada harga berpatutan. Nasi Arab ini juga akan dimasukkan sebagai menu dalam pakej disediakan untuk mana-mana syarikat atau organisasi yang menyewa dewan di sini untuk mengadakan seminar, mesyuarat atau persidangan.

“Kita juga akan menempatkan lima ekor unta jinak di taman ini yang dijangka tiba akhir bulan ini. Kita berharap tarikan baru ini dapat meningkatkan lagi kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negara ke TTI,” katanya pada sidang media ulang tahun pertama TTI di sini.

Beliau berkata, sepanjang Februari hingga Disember tahun lalu, sejumlah 2.02 juta pengunjung melawat TTI, termasuk 20 peratus pelancong asing.

Katanya, pihaknya tidak menetapkan sasaran tinggi berbanding tahun lalu kerana jumlah 2.02 juta pengunjung itu sebahagian besarnya daripada penganjuran beberapa acara besar di TTI, termasuk Pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa dan Perkampungan Hadhari.

Beliau berkata, melihatkan kedatangan pelancong asing yang masih kecil, pihak pengurusan akan melipatgandakan usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung dari Thailand dan Singapura ke TTI.

Zakaria berkata, sempena musim cuti sekolah bermula akhir bulan ini, TTI turut menyediakan pelbagai program berbentuk ilmiah dan hiburan khas untuk pengunjung antaranya Jejak Khalifah, Giant Games, Sketch & Guess, Spelling Bee Challenge, TTI Family Quiz dan persembahan hiburan oleh kumpulan Sinar Budaya setiap malam.

Read Full Post »