Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pencemaran’

HULU TERENGGANU 12 Jun (Bernama) – Lebih 3,000 penduduk dari tiga buah kampung berhampiran Sungai Pueh dekat sini dihimpit kebimbangan apabila sungai yang selama ini menjadi sumber air mereka kini diancam masalah pencemaran dipercayai berpunca dari sebuah kilang memproses kelapa sawit tidak jauh dari situ.

Pencemaran itu dipercayai berpunca daripada limpahan sisa kilang yang memasuki sungai itu menyebabkan airnya yang dahulu jernih bertukar menjadi gelap dan kotor.

Menurut seorang penduduk, Mohamad Fauzi Abdullah, 29, dari Kampung Kuala Pueh, pencemaran itu telah menyebabkan banyak ikan dan udang yang mati sejak dua hari lepas sehingga menimbulkan bau busuk.

“Sungai Pueh selama ini menjadi punca air kepada penduduk dari tiga buah kampung berhampiran iaitu Kampung Kuala Pueh, Kampung Tapah, Kampung Rancangan Felcra Bukit Kepah, malah turut menjadi tumpuan kaki pancing kerana mempunyai banyak ikan dan udang.

“Namun sejak pencemaran itu berlaku, ramai pemancing terpaksa mencari kawasan baru dan sehubungan itu saya memohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius,” katanya di sini hari ini.

Katanya, beliau telah pun menghubungi Jabatan Alam Sekitar Daerah untuk memaklumkan tentang masalah itu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil.

Mohamad Fauzi yang bertugas sebagai seorang guru di Selangor berkata, beliau juga menghubungi Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong Rozi Mamat berhubung masalah itu namun gagal dan diberitahu oleh pembantunya bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat esok.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Rusli Che Husin ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah itu dua hari lepas.

-BERNAMA

Read Full Post »

SALAH satu sudut pemandangan indah di Pulau Perhentian yang mampu menarik pelancong asi

BESUT 27 Mei (Utusan Malaysia) – Rakyat Terengganu masih tidak mempunyai kesedaran tinggi dalam menjaga dan memulihara alam sekitar.

Pengarah Jabatan Taman Laut Negeri Terengganu, Bahrinah Bahrim berkata, keadaan itu boleh dilihat berdasarkan sambutan terhadap beberapa kempen kesedaran yang dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan termasuk jabatan tersebut.

”Saya dimaklumkan beberapa kempen kesedaran tidak mendapat sambutan meluas daripada penduduk.

”Kempen-kempen tersebut hanya mendapat sambutan daripada orang yang sama sahaja,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pihaknya juga mengeluarkan notis amaran kepada nelayan supaya tidak menggunakan bubu untuk menangkap ikan.

”Ini kerana penggunaan bubu mengancam hidupan laut kerana ia bukan sahaja menangkap ikan tetapi menyebabkan beberapa hidupan terancam seperti penyu terperangkap,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi untuk membanteras penggunaan bubu dalam tempoh terdekat ini.

”Kita akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih menggunakan bubu kerana jabatan sebelum ini telah pun memaklumkan mengenai pengharaman alat menangkap ikan itu,” katanya.

****************************************

Berita berhubung Pulau Perhentian sebelum ini:

Read Full Post »

LONGGOKAN sampah yang dikumpulkan di atas pelantar sebelum dikutip oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. – utusan / Irman Hashim

BESUT 27 Mei (Utusan Malaysia)- Pulau Perhentian merupakan salah satu ‘syurga’ pelancongan buat para penyelam menikmati keindahan alam di dasar laut negara ini.

Bagaimanapun, keindahan dasar laut semakin tercemar ekoran sistem pembuangan sampah yang dilaksanakan di pulau berkenaan.

Ini kerana proses pembuangan sampah tersebut melibatkan pengumpulan sampah di atas beberapa pelantar yang ditempatkan di laut sebelum dikutip oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengurus Projek Kesedaran Pemuliharaan Pulau (PIPA), Steven Lim berkata, kutipan yang dilakukan adakalanya tidak tepat pada waktunya sehingga sampah bertimbun di atas pelantar tersebut.

”Apabila hujan atau laut bergelora, sampah tersebut akan jatuh ke dalam laut dan mencemari dasarnya.

”Bayangkan betapa banyak sampah akan masuk ke dalam laut jika ia tidak dikutip lebih daripada dua atau tiga hari,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja mencemarkan keindahan alam semulajadi di Pulau Perhentian malah boleh menjadi ancaman pada hidupan laut.

Jelasnya, setiap kali beliau mengendalikan beberapa program membersihkan dasar laut anjuran pelbagai agensi dan syarikat swasta, kesan pencemaran sampah itu boleh dilihat.

”Selepas dianjurkan satu aktiviti pembersihan dasar laut, kita akan lihat sampah yang sama apabila aktiviti berkenaan diadakan sekali lagi.

”Sampah-sampah itu merupakan sampah yang ditempatkan di atas pelantar tersebut,” ujarnya.

Justeru, Steven meminta PBT berkaitan mencari pendekatan baru untuk memastikan keadaan itu tidak berlarutan.

Seorang penyelam, Haris Awang, 40, ketika ditemui berkata, sampah sarap di dasar laut mencemar persekitaran yang indah di pulau berkenaan.

”Lebih buruk pelantar tersebut ditempatkan kira-kira 20 meter dari tempat orang ramai melakukan aktiviti snorkeling.

”Ini akan memberi gambaran buruk kepada pengunjung terutama pelancong asing,” katanya.

****************************************
Berita berhubung Pulau Perhentian sebelum ini:

Read Full Post »