Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘penagih’

Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Hanneeyzah Bariah Baharin

am@hmetro.com.my

HULU TERENGGANU: “Nak kahwin macam mana, suami masih ada,” kata Mek Wook Kundor yang berang dengan dakwaan pihak tertentu konon dia akan berkahwin lain kerana suaminya, Mat Noor Che Musa, kini ditahan di Pusat Pemulihan Penagih Narkotik (Puspen) di Sungai Besi, Kuala Lumpur, selama dua tahun selepas disahkan positif heroin.

Ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat di sini, semalam, Mek Wook kesal dakwaan itu kerana ia tidak benar sedangkan dia sanggup menunggu suaminya itu kembali kepadanya.

Menurutnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas yang boleh menjatuhkan maruahnya.

Katanya, dia tidak pernah menyebut sepatah perkataan pun untuk berkahwin lagi, sebaliknya tegas memberitahu masih menyayangi Mat Noor hingga akhir hayat kerana lelaki itu sentiasa dalam ingatannya dan tidak pernah berkasar dengannya.

“Kita orang Islam dan Melayu, ada undang-undang dan adat. Mana boleh buat kerja suka hati tanpa ikut saluran betul.

“Saya tidak reda sedikit pun apa yang dikatakan orang kerana ia bukan dari mulut saya,” katanya sambil mengetap bibir kerana terlalu marah mendengar berita berkenaan.

Mek Wook berkata, dia masih menyayangi Mat Noor kerana lelaki itu sanggup menjaganya ketika susah dan senang serta sentiasa mendoakan kesejahteraan suaminya itu.

Sepanjang Ramadan ini, Mek Wook tidak pernah ketinggalan menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran selain mengaji al-Quran dan berzikir.

“Saya hanya berbuka puasa berseorangan di rumah secara ala kadar. Kadang-kadang anak saudara, Noraini Yusof, 56, menghantar lauk tetapi ada ketikanya berbuka di rumah jiran bagi menghilangkan rasa sunyi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mek Wook yang mencetuskan kontroversi empat tahun lalu kerana berkahwin dengan lelaki yang layak digelar cucu ketika usianya didakwa 103 tahun, bukan wanita tertua di negara ini selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri mengesahkan warga emas itu baru berusia 84 tahun.

Mengikut daftar JPN negeri, warga emas yang menjadi tumpuan ramai kerana pernah berkahwin 22 kali itu dilahirkan pada 11 April 1925 manakala rekod wanita tertua di negara ini yang pernah dicatatkan dan disahkan JPN negeri dipegang Safiah Yusof, dipercayai berusia lebih 120 tahun dan berasal dari Kuala Berang.

Pengarah JPN negeri, Abu Bakar Abd Rahman ketika dihubungi berkata, banyak faktor untuk menentukan usia sebenar Mek Wook yang mendakwa berusia lebih 100 tahun kerana JPN mendaftarkan kelahiran seseorang individu berdasarkan maklumat diberi.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan kesihatan dan fizikal Mek Wook yang masih tegap, pihaknya percaya kemungkinan dia berusia 84 tahun seperti direkodkan berasas dan munasabah.

Bagaimanapun, menurutnya, JPN negeri bersedia mengendalikan proses mengenal pasti usia sebenar Mek Wook seperti dilakukan terhadap Safiah dan kelebihan warga emas itu yang masih mampu bercakap dipercayai akan memudahkan usaha menentukan kesahihan usianya.

“Jika kami lihat fizikal Mek Wook yang masih mampu berjalan tanpa bantuan selain boleh bercakap dengan terang dan lancar, kami tidak menolak kesahihan usianya 84 tahun itu. Bagaimanapun, kemungkinan usianya lebih 84 tahun juga benar berdasarkan pertimbangan dalam beberapa perkara termasuk kelaziman orang dulu yang sering lewat mendaftarkan kelahiran anak.

“Namun, kami bersedia dan boleh menentukan usia sebenar Mek Wook melalui perbualan dan semakan beberapa dokumen. Oleh kerana dia masih mampu bercakap dan ingatannya masih baik, proses menemubual mengenai sejarah hidupnya mungkin mudah berbanding Allahyarham Safiah yang sudah tidak mampu mengingat dan bercakap, sebaliknya hanya diwakili ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu Mek Wook yang pertama kali menunjukkan kad pengenalannya kepada media semalam berkata, dia hanya memberitahu maklumat sekadar yang ingat dan tahu kepada JPN.

Anak saudaranya, Noraini pula mendakwa usia Mek Wook melebihi 84 tahun kerana ibu mentuanya, Fatimah yang juga adik wanita itu berusia 85 tahun.

*************

Posting sebelum ini:

Read Full Post »