Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pemuliharaan penyu’

SETIU 14 Mei – Kerajaan negeri akan memajukan kawasan di sekitar jeti pelancong yang terbiar di Pantai Merang di sini sebagai Taman Pemuliharaan Penyu dan Ekosistem Marin.

Taman tersebut dijangka menelan belanja RM500,000 dan akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk tujuan penyelidikan serta pemuliharaan spesies itu.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kerajaan mengambil langkah itu daripada membiarkan kawasan tersebut terbiar.

Katanya, kerja-kerja pembinaan taman itu akan dilakukan dalam masa terdekat melibatkan kawasan seluas dua hektar.

”Apabila taman ini beroperasi ia bukan sahaja menjadi pusat penyelidikan serta pemuliharaan, malah mampu menarik orang ramai serta pelancong asing ke kawasan itu.

”Orang ramai berpeluang melihat penyu selain menghidupkan semula lokasi jeti pelancong itu yang terbiar sejak 10 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Jidin berkata, buat permulaan Jabatan Perikanan negeri akan melepaskan lima ekor penyu dari Rantau Abang, Dungun di taman berkenaan.

Menurutnya, Pantai Merang yang terletak tidak jauh dari taman itu sebelum ini adalah kawasan pajakan telur penyu dan ternyata ia begitu sesuai untuk tujuan penetasan serta pemuliharaan haiwan itu.

**************************

Berita berkaitan:

Air muara cetek, jeti sepi – https://alamakademik.wordpress.com/2009/05/15/air-muara-cetek-jeti-sepi/

Advertisement

Read Full Post »

DUNGUN 21 April – Amalan makan telur penyu masih menjadi salah satu halangan terhadap kejayaan usaha pemuliharaan penyu bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negara.

Ketua Program Penyu Terengganu-WWF, Rahayu Zulkifli berkata, telur penyu telah dijadikan tarikan sejak zaman-berzaman untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, ini menyebabkan pelancong yang datang menjadikan aktiviti membeli telur penyu terutama di Pasar Besar Kedai Payang sebagai salah satu aktiviti ‘wajib’ ketika berkunjung ke Terengganu.

”Apa yang berlaku sekarang ialah, penjualan telur penyu masih berlaku di Terengganu terutama telur penyu yang dibawa masuk dari negeri lain tetapi pembelinya datang dari seluruh negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong-royong membersihkan pantai di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah di sini baru-baru ini.

Untuk mengekang masalah itu, jelasnya, WWF Malaysia melaksanakan Kempen Egg > Life iaitu bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa setiap telur penyu yang dimakan mengandungi satu nyawa anak penyu.

Dengan cara itu, jelasnya, penjualan serta amalan makan telur penyu dapat dihentikan.

Menurutnya, kempen berkenaan yang dilancarkan di ibu pejabat WWF di Selangor Ahad lepas akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan sebagai sokongan terhadap usaha pemuliharaan penyu.

Katanya, antaranya ialah menyokong undang-undang yang mengharamkan perdagangan serta pemakanan semua jenis telur penyu, aspek perundangan yang lebih komprehensif.

”Mereka yang menurunkan tandatangan menyokong kempen ini juga berikrar tidak akan memakan telur penyu atau melibatkan diri dalam perdagangan penyu,” ujarnya.

Jelasnya, WWF Malaysia menyasarkan untuk mengumpul 40,000 tandatangan sebagai permulaan ke arah usaha pemuliharaan penyu yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Read Full Post »