SETIU 29 Jun (Utusan Malaysia)- Kerajaan Terengganu akan menambah peruntukan sebanyak RM60 juta lagi untuk pelaksanaan e-book di sekolah-sekolah di negeri itu tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, penambahan tersebut terpaksa dilakukan berikutan langkah kerajaan mengagihkan kepada murid tahun empat dan lima tahun depan.
Katanya, setakat ini, seramai 7,000 daripada 23,191 murid tahun lima telah menerima e-book.
”Bakinya akan dilakukan secara berperingkat sehingga bulan depan,” katanya selepas majlis penyerahan e-book kepada 614 murid dan guru dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jadi di Sekolah Kebangsaan (SK) Apal di sini hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 70 murid SK Apal, manakala SK Kerandang (105), SK Jabi (84), SK Renek (59), SK Tempinis (73) dan SK Anak Ikan (39).
Ini diikuti sebanyak SK Tok Dor (12), SK Kampung Baru Tok Dor (21), SK Bukit Tempurung (49) dan SK Bukit Jeruk (36), SK Oh (24), SK Felda Selasih (25) dan SK Kuala Kubang (17).
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan semua murid memilikinya.
Program e-book yang dilancarkan oleh Menteri Besar pada 26 Mei lalu membabitkan murid tahun lima, manakala pengagihan bagi murid tahun empat, tiga, dua dan satu akan dilakukan tahun depan.
Dengan pelancaran e-book itu, ia menjadikan Terengganu kini menyertai Portugal dan Venezuela iaitu negara di dunia yang menyediakan kemudahan itu kepada murid bagi menggantikan sepenuhnya penggunaan buku teks di sekolah.
Pelaksanaan e-book dengan akses internet kepada setiap murid sekolah rendah adalah usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pencapaian pendidikan bagi menyediakan tenaga kerja dalam era k-ekonomi.
Program e-book ini sudah pasti akan menjadi tumpuan bukan sahaja di negeri lain, namun turut menjadi perhatian negara lain.
Sebanyak 25,000 unit e-book yang dilengkapi perisian buku-buku teks sekolah rendah serta perisian tambahan termasuk al-Quran, doa dan amalan solat.