Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pelajar’

SETIU 11 Mei (Utusan Malaysia)- Yayasan Terengganu (YT) diminta menaikkan kadar bayaran Skim Bantuan Persediaan Pelajar di negeri ini yang mengikuti program ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta daripada RM1,000 kepada RM2,000 seorang.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, kadar bayaran bantuan itu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri menerusi YT perlu dinaikkan memandangkan kos serta keperluan pengajian semakin mahal.

Menurutnya, perkara itu mungkin tidak menjadi masalah bagi pelajar yang berkemampuan tetapi ia amat menyulitkan bagi pelajar daripada keluarga miskin.

“Bagi golongan miskin, jumlah ini tidak mencukupi kerana ada di kalangan ibu bapa pelajar terpaksa meminjam wang dengan orang lain untuk diberikan kepada anak mereka yang baru belajar di universiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan majlis penutup Program Anak Angkat Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kampung Langkap di sini semalam.

Program tiga hari anjuran YT dan Permata itu diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kampung Langkap.

Skim Bantuan Persediaan Pelajar diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak 2001 dan ia turut meliputi pelajar pengajian diploma dengan jumlah bantuan RM750 seorang manakala sijil serta sekolah berasrama penuh (RM350-RM500).

Ia diagihkan kepada para pelajar terbabit bagi meringankan beban perbelanjaan termasuk membeli barangan keperluan pengajian bagi mereka yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh serta IPT di negara ini.

Mohd. Jidin berkata, adalah wajar kerajaan negeri menimbang semula kadar bantuan itu mengikut keperluan semasa supaya pelajar di negeri ini tidak mempunyai masalah dari segi kewangan.

“Bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak memudahkan pelajar yang berkelayakan mengikuti pengajian mereka di pusat pengajian yang ditawarkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah YT, Zakaria Yusof ketika ditemui di majlis itu berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya mengagihkan RM18 juta sebagai bantuan persediaan ke sekolah berasrama penuh dan IPT.

Menurutnya, pada tahun ini bayaran bantuan itu dijangka meningkat kepada RM20 juta kerana bilangan pelajar yang berjaya mengikuti pengajian ke IPT semakin meningkat.

“Semua bayaran bantuan itu dikeluarkan mengikut kategori tertentu antara RM350 hingga RM1,000 bagi setiap pelajar,” katanya.

Advertisements

Read Full Post »

« Newer Posts