
BESUT (Sinar Harian)– Sepasang suami isteri yang bekerja sebagai guru mengalami kerugian kira-kira RM13,000 apabila barang kemas dan wang tunai milik mereka disamun tiga lelaki bersenjata tajam dalam kejadian pecah rumah di Pesiaran Limbongan, Jalan Pantai Bukit Keluang, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi ketika mangsa, Zulkifly Yusof, 44; dan isterinya, Norkhairiah Abdullah, 46; bersama anak bongsu mereka, Nurfarah Hanani, 8; sedang berada dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah dua tingkat itu sebelum dikejutkan salah seorang lelaki tidak dikenali bertindak mengacukan sebilah pisau pada muka Zulkifly.
Menurut Zulkifly, sebaik sedar dari tidur, dia mendapati lampu biliknya menyala dan dua lelaki yang bertutup muka mengarahkannya dan isteri diam serta meminta dia menunjukkan tempat barang berharga disimpan.
“Saya dan isteri diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit manakala tiga lagi anak saya yang tidur di bilik tingkat atas rumah turut diikat termasuk anak kedua saya Mohd Faiz, 20, diikat dengan tali pinggang,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Beliau berkata, suspek dipercayai seramai tiga orang itu turut menggeledah bilik tidur di rumahnya sebelum bertindak melarikan diri setengah jam kemudian.
Menurutnya, salah seorang suspek terbabit yang membawa senjata tajam sentiasa mengawalnya manakala dua lagi rakan mereka menyelongkar setiap penjuru rumah.
“Mereka masuk ke dalam rumah saya melalui pintu depan rumah kerana pintu itu terbuka dan terdapat kesan umpil pada pintu jeriji,” katanya.
Ketika kejadian, kesemua enam anaknya berada dalam rumah.
Menurut beliau, anak sulungnya Norfarah Nadiah, 21, yang sedang cuti belajar turut diikat manakala rantai leher dan gelang tangannya direntap salah seorang suspek.
“Saya menurut sahaja kehendak mereka kerana bimbangkan keselamatan ahli keluarga memandangkan lelaki tersebut mem-punyai senjata. Antara ba-rang yang turut dicuri ialah tujuh unit telefon bimbit milik saya dan ahli keluarga lain termasuk wang tunai berjumlah RM4,000,” katanya yang mengalami masalah jantung.
Kata Zulkfily, suspek berbadan kecil, tegap dan dipercayai bukan rakyat Indonesia walaupun mereka cuba bertutur dialek Indonesia, berkemungkinan untuk mengelirukan pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan polis telah melancarkan gerakan memburu suspek.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengetahui mengenai kejadian itu supaya tampil memaklumkan kepada pihak polis atau menghubungi menerusi talian 09-6956222.