Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘PBT’

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) — Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membuat pemeriksaan terhadap semua bangunan dan struktur baru yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mengelak sebarang kemalangan.

Beliau berkata PBT perlu memastikan bangunan seperti sekolah dan dewan menepati spesifikasi binaan dan selamat untuk digunakan.

“Segala kecacatan kepada bangunan hendaklah dilaporkan dan langkah-langkah membaikpulih perlu diambil segera untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengarahkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim supaya membuat pemeriksaan segera terhadap tiang struktur menara lampu limbah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana binaan di stadium berkenaan sudah terlalu lama dan ia bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

“Begitu juga dengan struktur atap grand stand Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan binaan lain dalam kawasan bandar raya yang agak sensitif dan menjadi tumpuan ramai (perlu dibuat pemeriksaan segera),” katanya.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kini kembali menjadi gelanggang untuk pelbagai acara atau kejohanan berikutan Stadium Sultan Mizan Zainail Abidin di Gong Badak runtuh tiga hari lepas (Selasa).

Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, sebahagian struktur bumbung di tempat duduk utama, termasuk pentas diraja Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang keseluruhan pembinaannya bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dekat sini, ranap.

Stadium yang boleh memuatkan 50,000 orang itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas dan yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang.

— BERNAMA

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan perlu segera mengatasi masalah ketidakseimbangan perjawatan di jabatan penilaian pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya yang bertaraf Majlis Daerah bagi memastikan mutu dan tahap perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata masalah yang dihadapi kebanyakan PBT bertaraf Majlis Daerah ketika ini ialah jawatan Ketua Bahagian Penilaian hanya disandang di kalangan pegawai kumpulan sokongan, berbanding PBT bertaraf Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya yang mempunyai pegawai kanan Gred 48 ke atas.

“Ketidakseimbangan perjawatan ini harus diberi perhatian serius kerana peranan PBT pada masa ini semakin luas dan mencabar,” katanya pada majlis mesyuarat bersama pegawai penilaian PBT di Kediaman Sri Iman di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Rosli Othman.

Mesyuarat tahunan itu diadakan bertujuan membincangkan isu semasa mengenai penilaian PBT dan pendedahan mengenai teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan majlis tempatan.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, walaupun pekerjaan dalam bidang penilaian di PBT tidak ‘glamour’ berbanding kerja fizikal lain seperti landskap dan perkhidmatan, jabatan penilaian sebenarnya memainkan peranan penting dalam menjana pendapat PBT.

“Mengikut maklumat diterima, 70 hingga 90 peratus hasil PBT datangnya daripada bahagian penilaian, manakala selebihnya bayaran lesen, letak kereta, kompaun dan pendaftaran pelan. Justeru, saya percaya mesyuarat ini mampu membantu mengatasi permasalahan dalam profesion ini dan meningkatkan kecekapan pengurusan dan pentadbiran PBT,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, penerapan semangat kerja berkumpulan perlu sentiasa diterap kerana kejayaan sesuatu pelan tindakan atau operasi bergantung kepada kerjasama antara setiap anggota kumpulan.

“PBT adalah agensi barisan hadapan yang berurusan dengan pelanggan secara langsung dalam memberikan perkhidmatan. Oleh itu, bidang tugas dan tanggungjawab PBT sangat meluas dan berkait rapat dengan keselesaan dan keharmonian masyarakat. Sesuai dengan peranan PBT, sistem penyampaian sangat dititikberatkan.

“Budaya kerja cemerlang dan sihat juga perlu ditanam dalam diri setiap kakitangan bagi memastikan setiap langkah diambil membawa keharmonian kepada seluruh warga dalam kawasan pentadbiran PBT,” katanya.

Read Full Post »