Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘PAS’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Pas Terengganu menyifatkan kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa lalu disebabkan sikap angkuh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang enggan mengambil perhatian terhadap pandangan dan idea pembangkang meskipun ia berasas.

:Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Dr Alias Razak yang meluahkan rasa kesal berhubung kejadian itu berkata, beliau sendiri pernah membangkitkan isu tahap keselamatan stadium berkenaan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei tahun lalu.

:Menurut beliau, pembangkang mempersoalkan perkara itu apabila melihat masih ada pekerja berada di atas bumbung stadium pada saat-saat akhir, sehari sebelum majlis perasmian dilakukan.

:Bagaimanapun katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad ketika memberi jawapan kepada pertanyaannya, yakin bahawa ia selamat digunakan.:

:“Selain melihat pekerja masih lagi bekerja pada saat-saat akhir, keadaan bumbung juga nampak ‘lendik’ (kurang kukuh) menyebabkan saya bertanyakan keadaan stadium ini kepada kerajaan pada sidang DUN tahun lalu.

:“Stadium ini berada di dalam kawasan saya, jadi saya memang tahu keadaannya namun kerajaan langsung tidak peduli teguran saya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal kepada Sinar Harian, semalam.

:Selasa lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak runtuh menyebabkan 60 peratus strukturnya musnah.

:Stadium yang menjadi lokasi utama temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru disiapkan setahun lalu mampu memuatkan 50,000 penonton dan merupakan stadium terbesar di Pantai Timur.

:Menurut Dr Alias, kerajaan se-lalu mengambil mudah apa yang pihak pembangkang suarakan di dalam sidang DUN, padahal ia demi kepentingan bersama terutama rakyat.

:“Bagaimana sekiranya ketika kejadian itu berlaku ada aktiviti dijalankan di dalam stadium itu,” katanya.

:Beliau berkata, kejadian malang itu juga menjadi pengajaran terbaik kepada kerajaan BN pada masa akan datang agar tidak sekali-kali membuat kerja sambil lewa demi mengejar nama dan kemasyhuran hingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat.

:“Jika tidak sempat siap, kita kena terima hakikat jangan paksa siapkan dengan ala kadar tanpa kelulusan selain tidak ada Sijil Layak Menduduki (CF) sebab banyak nyawa akan terkorban nanti dan sekarang ia sudah berlaku,” katanya.

Advertisement

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberikan penjelasan segera berhubung keruntuhan bumbung utama di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, kira-kira 15 kilometer dari sini yang berlaku pagi Selasa (2 Jun).

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah dalam kenyataan awal kepada Harakahdaily melahirkan rasa terkejutnya di atas kejadian yang amat memalukan itu. Ia malah dianggap tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai lebih RM200 juta itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Stadium yang merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu baru siap dibina lebih setahun lalu. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu dilaporkan runtuh. Kejadian itu disedari berlaku pagi Selasa, tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

“Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Apatah lagi sebelum ini pun sudah beberapa kes keruntuhan bangunan yang baru siap telah berlaku di negeri ini,” kata Wan Sukairi.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa kes serupa yang dilaporkan berlaku sebelum ini. Ia termasuklah dua kejadian berasingan melibatkan keruntuhan bumbung dewan besar sebuah sekolah menengah dan siling dalam kelas di sebuah sekolah di Marang.

Turut dilaporkan juga sebelum ini, beberapa struktur dalaman Bazar Warisan di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang baru siap tidak sampai setahun turut rosak dan runtuh.

Sehubungan itu, Wan Sukairi tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, sehingga menyebabkan keruntuhan bumbungnya itu.

“Bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap ‘progress’ mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?,” soalnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian, terutama sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.- mns_

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) — Hujan dijangka turun pada Sabtu ini, di mana lebih 80,000 pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dijadual membuang undi mereka bagi memilih wakil di Parlimen.

Berita ini tidak begitu baik bagi parti-parti yang bertanding kerana ini mungkin menjejaskan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi.

“Kita menghadapi pertandingan sengit, tanpa diperkatakan lagi betapa pentingnya untuk kita memastikan jumlah yang ramai untuk keluar mengundi. Tetapi ini sudah pasti menjejaskan jumlah mereka yang keluar mengundi jika hujan,” kata seorang pekerja bilik operasi Barisan Nasional (BN) di Pasir Panjang, di sini.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi, hujan dijangka pada petang sementara cuaca diramal mendung pada pagi.

Hanya mahu dikenali sebagai Azahara, kebimbangan beliau bukan tanpa asas terutamanya pengundi atas pagar sering tidak peduli bagi sesiapa pun mereka undi yang dianggapnya sebagai tidak penting.

“Bagi pengundi kumpulan ini, mereka tidak peduli siapa yang akan mewakilinya walaupun sedikit sebab, dalam kes ini, hujan, sudah cukup untuk menghalang mereka daripada meninggalkan rumahnya,” jelas beliau.

Sentimen beliau dikongsi pembangkang, yang menegaskan jentera pilihan raya perlu memastikan pengundi atas pagar akan keluar mengundi Sabtu ini.

“Kita tahu pengundi kita akan keluar. Ia hanya pengundi atas pagar yang membimbangkan kita dan sudah tentu dalam pertandingan sengit ini, kita perlukan mereka,” kata seorang pemerhati dalaman parti yang bersetuju bahawa hujan mungkin bermakna mereka tinggal di rumah untuk pengundi atas pagar yang mewakili kira-kira 20 peratus daripada 80,229 pengundi.

Keyakinan yang berbeza, cakap-cakap mengatakan bahawa pengundi pembangkang telah berpecah kerana ramai yang tidak berpuashati dengan calon pilihan.

Sambil mengakui bahawa PAS ada sedikit masalah dalam meyakinkan pengundi, terutamanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menerima calonnya Mohd Abdul Wahid Endut, beliau mendakwa bahawa perkara itu telah dilupakan.

Banyak diperkatakan bahawa sesetengah pengundi pembangkang mungkin melupakan sama sekali untuk mengundi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa satu pungutan suara dibuat oleh PAS di tiga kawasan pilihan raya negerinya, pengundi meminati Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sebagai calon mereka, tetapi parti itu mencalonkan ADUN Wakaf Mempelam bagi lima penggal Mohd Abdul Wahid Endut bertanding menentang calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Penganalisis politik percaya bahawa pilihan raya kecil ini sengit kerana parti-parti yang bertanding cuba menarik pengundi Cina dan atas pagar.

Pada pilihan raya 8 Mac lepas, kira-kira 80 peratus daripada 80,325 pengundi di kawasan pilihan raya itu keluar mengundi.

Kedua-dua parti yang bertanding bersetuju bahawa penduduk tempatan kini tidak lagi ke tempat ceramah.

“Jika anda memandu di sekitar kawasan pilihan raya itu pada waktu malam, anda boleh lihat bahawa jumlah mereka yang hadir pada ceramah ini tidak ramai, tak meriah,” kata Azhar menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang hadir pada ceramah pembangkang ialah orang luar.

“Mereka dari kawasan pilihan raya jiran. Jika mereka dengar ada pemimpin tinggi datang ke bandar ini, mereka akan hadir untuk dengar ceramah,” kata beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Muttalib Embong bersetuju bahawa pilihan raya kecil ini, orang kurang ghairah untuk datang mendengar ceramah.

“Tidak seperti mereka di pantai Barat, orang di sini lambat untuk bergerak,” kata beliau.

Bagaimanapun sesetengah mengatakan bahawa penduduk tempatan mula merasa bosan mendengar ceramah kerana penceramah sering bercakap mengenai isu-isu lama.

“Saya lebih suka tinggal di rumah, tonton TV daripada menghabiskan masa dengar retorik. Malahan sering hujan dan esok satu hari bekerja lagi,” kata seorang lelaki berusia 30-an, sementara sahabatnya lebih berminat untuk mendapatkan maklumat daripada internet dan portal berita.

— BERNAMA

Read Full Post »