Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘par ruyung’

NIBONG – Nostalgia manis seorang warga emas di rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya bakal berakhir apabila rumah papan berusia lebih 100 tahun itu difahamkan akan dirobohkan tidak lama lagi.

Rumah tradisional bercirikan seni bina Pagar Ruyung yang hanya menggunakan pasak kayu tanpa sebarang paku besi itu akan digantikan dengan sebuah rumah baru bercirikan seni bina lebih moden.

Pemiliknya, Hasiah Sulong, 78, yang masih sihat ketika ditemui berkata, rumah itu dibina moyangnya dikenali sebagai Che Leh yang dipercayai membina rumah itu pada akhir abad ke-18.

“Arwah bapa saya menceritakan bahawa tok ki saya sering belayar. Dia yang dikatakan berasal dari Pagar Ruyung, Indonesia ketika itu singgah di muara Sungai Kuala Dungun lalu membina penempatan di sini sebelum membina sebuah rumah untuk dijadikan tempat berlindung.

“Oleh kerana dia adalah orang Pagar Ruyung, jadi budaya masyarakat di sana dibawa ke sini. Hasilnya, rumah yang dibina mirip kepada seni bina negara seberang itu. Oleh itu, tiada sebarang paku digunakan pada rumah ini, rekaannya juga unik dan jarang kita melihat rumah seperti ini di sini,” katanya.

istana pagar ruyung

Gambar hiasan: Istana Pagar Ruyung di Sumatra

Isteri bekas pekerja lombong bijih di Bukit Besi yang pernah menjalani kehidupan semasa zaman penjajahan Jepun itu meluahkan, dia amat sedih selepas mengetahui rumah pusaka peninggalan arwah moyangnya itu akan dirobohkan.

“Banyak kenangan di rumah ini. Di sinilah saya lahir, dibesarkan malah melangsungkan perkahwinan. Tetapi, apa boleh buat, saya tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Jika ada pihak yang boleh memeliharanya, ia adalah satu artifak yang boleh dijadikan bahan sejarah untuk tatapan generasi akan datang. Apa yang makcik tahu, rumah ini sudah dijual kepada seseorang,” kata isteri kepada arwah Mohd Ismail, yang juga seorang nakhoda kapal.

Advertisements

Read Full Post »