Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pantai’

Oleh Shaarani Ismail

shaarani@bharian.com.my

Lokasi panas remaja memadu kasih kini terbongkar, pihak berkuasa pantau 24 jam sehari

KUALA TERENGGANU: Menyedari tempat mereka ‘ringan-ringan’ sudah terbongkar, beberapa lokasi panas untuk pasangan gelap memadu kasih kini lengang, tambahan pula Penguat Kuasa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menggiatkan pemantauan di pantai Tok Jembal, Teluk Ketapang dan Batu Buruk.

Pemantauan yang dijalankan 24 jam sehari juga menjadi antara faktor golongan terbabit tidak lagi melakukan perbuatan tidak senonoh kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Tinjauan Berita Harian bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat bersama-sama Unit Penguat Kuasa JHEAT bermula jam 11 malam hingga awal pagi kelmarin, mendapati beberapa lokasi yang dipercayai menjadi lokasi panas kini lengang.

Bermula dari Pantai Tok Jembal hingga ke Teluk Ketapang dan akhirnya ke Batu Buruk yang kelihatan hanya beberapa kumpulan remaja yang bersantai malah jumlah kereta berehat di sepanjang jalan dengan enjin tidak dimatikan juga tidak kelihatan seperti sebelum ini.

Mengulas keadaan itu, Khazan menjelaskan pihaknya menyedari banyak laporan diterima membabitkan kegiatan remaja berkelakuan tidak senonoh di kawasan berkenaan, justeru meningkatkan kegiatan pemantauan secara berterusan.

“Dalam banyak kes yang dikendalikan, pasangan ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh diberi kaunseling dan runding cara di pejabat JHEAT terdekat setiap kali operasi diadakan dan turut diminta hadir ke JHEAT untuk mengikuti program yang sudah dirancang.

“Walaupun tidak didakwa tetapi mereka diberikan pendekatan dakwah melalui kaunseling dan nasihat supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia masih tetap salah di sini agama,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini, katanya, JHEAT membuat tujuh tangkapan, termasuk permulaan ke arah zina, berkhalwat dan tidak berpuasa.

“Lima kes membabitkan tangkapan khalwat dan masing-masing satu kes tidak berpuasa di khalayak ramai dan persetubuhan haram, tambahnya.

Ketika ini terdapat 15 penguat kuasa JHEAT yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita bertugas mengikut syif memantau di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti dengan dibantu kira-kira 21 sukarelawan yang diberi tauliah dan kad kuasa untuk melakukan operasi cegah maksiat.

Read Full Post »


JETI pelancongan Pantai Merang gagal memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Jeti pelancongan tidak dapat digunakan kerana muara cetek

PERMAISURI: Sejak 1996 pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk membangun dan memajukan kawasan Pantai Merang, dekat sini sebagai pusat ekonomi dan pelancongan yang berdaya saing namun usaha itu terus melalui jalan buntu.

Lebih RM22 juta sudah dibelanjakan bagi membangunkan prasarana, termasuk jeti pelancongan dan pendaratan ikan, jalan, benteng pemecah ombak, kaunter tiket dan gerai bagi kemudahan pengunjung ke Pulau Redang, bagaimanapun, kemudahan itu tidak kekal lama, sebaliknya hanya mampu bertahan selama dua tahun berikutan lokasinya tidak sesuai.
Jeti yang dibina pula tidak dapat digunakan disebabkan masalah muara sungai cetek dan pembinaan benteng pemecah ombak didakwa tidak bersesuaian menyebabkan kawasan laluan bot pelancong ditimbusi pasir.

Keadaan itu menimbulkan masalah kepada pengusaha bot pelancong dan nelayan untuk melabuhkan bot mereka berikutan keadaan muara yang cetek dan terpaksa menggunakan pangkalan kampung bagi melabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.

Kesan daripada masalah itu, kawasan jeti berkenaan menjadi sepi dan kemudahan disediakan terus terbiar sehingga kini kerana tidak dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

BENTENG pemecah ombak tidak diselenggara dengan baik mencacatkan pemandangan Pantai Merang.

Meskipun usaha mendalamkan muara di kawasan jeti itu terus dilakukan untuk memudahkan bot nelayan keluar masuk tetapi keadaan tetap sama apabila timbusan pasir terus memasuki kawasan jeti menyebabkannya terus menjadi menjadi cetek.

Tinjauan Berita Harian mendapati, banyak kemudahan yang disediakan di kawasan itu kini terbiar dan rosak manakala pengusaha bot pelancong dan nelayan terpaksa menggunakan muara sungai kira-kira 500 meter dari jeti sebagai tempat menaik dan menurunkan pelancong yang mahu ke Pulau Redang.

Seorang penduduk, Abdul Razak Ibrahim, 54, berkata kesan daripada masalah itu pengusaha bot pelancong menghadapi masalah kerana jeti yang dibina tidak dapat digunakan untuk tujuan berkenaan.

Katanya, keadaan itu memberi gambaran yang tidak baik kepada pelancong kerana mereka terpaksa menggunakan jeti yang tidak selamat dan tidak selesa sehingga memberi impak negatif terhadap pentadbiran negeri yang didakwa gagal menyediakan kemudahan pelancongan.

KEMUDAHAN gerai yang disediakan terbiar dan rosak kerana tidak dijaga.

“Sebagai penduduk di sini, saya merasa malu dan berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membangunkan semula kawasan jeti yang terbiar untuk kemudahan orang ramai dan pelancong ke Pulau Redang ,” katanya.

Beliau mendakwa, pihak berkuasa sudah mengambil langkah mendalamkan muara itu dengan melakukan kerja menyedut pasir tetapi usaha itu tidak berpanjangan kerana mendapan akan berlaku semula setiap kali peralihan monsun atau musim tengkujuh.

Sehubungan itu, penduduk meminta kerajaan negeri mengkaji semula status jeti berkenaan dan mengambil tindakan untuk membangunkan semula kawasan itu kerana kos pembangunan di kawasan itu tinggi dan dianggap membazirkan duit rakyat.

“Projek Jeti Pelancongan Merang dianggap sebagai projek `gajah putih ‘ kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada penduduk setempat apatah lagi untuk pengusaha bot pelancong dan nelayan tempatan melabuh bot mereka,” katanya.

Penduduk, Ahmad Embong, 50, berkata, pengusaha bot pelancong terpaksa menggunakan jeti yang mereka bina sendiri di muara Sungai Merang manakala nelayan terpaksa melabuhkan bot mereka di tepi benteng muara sungai berkenaan.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan susulan untuk membangunkan kawasan jeti itu dan tidak terus membiarkan jeti itu terbiar dan berharap kawasan itu dapat dimajukan semula .

“Keadaan ini mencacatkan imej Pantai Merang yang sebelum ini memang terkenal sebagai sebuah lokasi pelancongan indah di negeri ini dan sering menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Read Full Post »

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) — Fenomena kehadiran ribuan sotong yang muncul di pesisiran pantai Batu Rakit, Terengganu sejak beberapa hari lalu tiada kaitan dengan ancaman tsunami, kata ketua Pengarah Bahagian Geofizik Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Rozaidi Che Abas.

Menurut beliau, keadaan itu kemungkinan berpunca daripada perubahan suhu air laut yang lebih sejuk di perairan cetek berbanding suhu di laut dalam yang menyebabkan sotong itu lebih selesa berada di pesisiran pantai.

Selain itu, Rozaidi berkata kehadiran sotong tersebut juga dapat dikaitkan dengan kesan perubahan arus laut yang membawa makanan haiwan laut itu ke kawasan kedalaman air laut yang kurang daripada sembilan meter.

“Kemunculan udang baring yang banyak terdapat di kawasan itu juga dapat menarik perhatian sotong untuk naik ke pantai dan memakannya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, keadaan ini hanya bersifat sementara dan bergantung kepada perubahan arus dan suhu laut itu sendiri.

“Jadi orang ramai tidak perlu bimbang dengan fenomena ini dan selamat untuk melakukan sebarang aktiviti pelancongan dan penangkapan ikan.

“Pihak Meteorologi akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai jika dapat mengesan sebarang tanda ancaman tsunami dan akan memaklumkannya melalui pihak media,” katanya.

Ahad lalu, penduduk berhampiran pantai Batu Rakit digemparkan dengan kemunculan sotong tersebut dan menimbulkan kebimbangan kepada segelintir penduduk terhadap ancaman tsunami.

— BERNAMA

Read Full Post »