Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Pantai Timur’

(Harian Metro) Di negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu aktiviti mencandat sotong adalah kegiatan ekonomi nelayan sejak dulu. Pesisiran laut yang luas dan pulau berselerak di sekitarnya menjadikan aktiviti mencandat sotong dapat dilakukan.

Kini kegiatan ekonomi tradisional berkenaan muncul sebagai satu produk pelancongan yang unik dan menggamit pelancong untuk berkunjung ke Terengganu bagi melihat sendiri apa yang dikatakan mencandat sotong.

Mengikut kebiasaan masyarakat nelayan Terengganu, setiap tahun dalam pertengahan April hingga Julai adalah tempoh mereka turun ke laut untuk mencandat sotong.

Dalam masa itulah rakyat Terengganu dapat melihat kelipan lampu bot nelayan yang mencandat sotong di sekitar pesisiran pulau pada waktu malam.Usaha kreatif kerajaan Terengganu patut dipuji kerana mengambil langkah positif dengan menjadikan aktiviti mencandat sotong untuk menarik pelancong terutama domestik.Ia sekali gus mampu menjana peluang ekonomi bagi rakyat Terengganu. Bulan Candat Sotong 2009 yang dilancarkan pada 2 Mei lalu menjadi platform untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu, Datuk Za’abar Mohd Adib, Bulan Candat Sotong 2009 dapat dijadikan produk tarikan pelancong, sekali gus membantu kerajaan negeri mencapai sasaran kunjungan pelancong untuk tahun ini.

Katanya, Bulan Candat Sotong 2009 akan dimeriahkan dengan Cabaran Candat Sotong dan Fiesta Musim Candat.

Kedua-dua program itu adalah pengisian sepanjang Bulan Candat Sotong 2009 yang kini diangkat sebagai ikon pelancongan utama di Terengganu setaraf Festival Pulau Pinang dan Pesta Lumut di Perak.

Inilah gambaran kesungguhan kerajaan Terengganu dalam usaha menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri itu.

Kini, usaha berkenaan semakin menampakkan kesan positif kerana Bulan Candat Sotong ditunggu-tunggu pelancong.

Sesungguhnya program Cabaran Candat Sotong dan Fiesta Musim Candat memberi peluang pelancong untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai cara dan peralatan digunakan dalam aktiviti mencandat sotong.

Kalau selama ini orang ramai hanya mengetahui melalui paparan maklumat dalam media atau buku, kini mereka boleh merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di samping mengetahui peralatan digunakan.

Ini sudah tentu pengalaman sangat berharga dan unik yang akan sentiasa terpahat dalam sanubari pelancong pada Bulan Candat Sotong berlangsung di Terengganu.

Malah, pelancong akan dibawa terus merasai pengalaman mencandat sotong pada waktu malam.

Aktiviti mencandat sotong yang dijadikan produk pelancongan sudah melonjakkan kegiatan ekonomi Terengganu dan rakyatnya turut merasai kesan positifnya.

Dengan jumlah kunjungan pelancong yang meningkat setiap tahun merancakkan industri homestay.

Kini dilaporkan setiap tahun dari Mei hingga Julai, perkampungan homestay di sekitar pesisiran pantai sentiasa penuh dan tidak dapat menampung permintaan tinggi daripada pelancong.

Disebabkan faktor itulah perkampungan homestay dibina bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Ini sangat positif bagi menjana pendapatan penduduk dan dengan kreativiti menganjurkan program mencandat sotong tentu akan menambahkan nilai kunjungan pelancong.

Limpahan nikmat hasil aktiviti pelancongan bukan saja membuahkan sumber ekonomi, tetapi menaikkan nama negeri itu di persada pelancongan negara.

Program mencandat sotong turut membawa kesan positif kepada industri pembinaan bot bersaiz kecil dan sederhana kerana perkhidmatan bot adalah komponen utama dalam aktiviti itu.

Bot itulah yang membawa pelancong ke laut dan merasai keseronokan mencandat sotong.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Jelani Hashim, berkata melalui aktiviti candat sotong, orang ramai akan menyewa sekitar RM700 untuk sebuah bot.

Katanya, ini memberi keuntungan kepada nelayan yang menyewakannya kepada pelancong.

Pelancong juga pasti akan berbelanja membeli peralatan mencandat, makanan sebagai bekalan dalam bot, penginapan dan pengangkutan di darat selain membeli ole-ole seperti keropok dan batik.

Dapatlah kita katakan usaha kerajaan Terengganu menjadikan mencandat sotong sebagai satu agenda utama pelancongan sangat tepat.

Kini, program mencandat sotong diaktifkan lagi dengan sokongan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Apa yang diperlukan ialah program diadakan di setiap daerah berpantai di Terengganu.

Tahun ini Cabaran Candat Sotong dimulakan di Marang (Pulau Kapas) kemudian diadakan di Dungun dan berakhir di daerah Kuala Terengganu.

Sepatutnya kawasan pesisiran laut daerah Setiu, Besut dan Kemaman wajar dieksploitasi semaksimum mungkin untuk memberi peluang pelancong luar mengenali daerah itu dengan lebih mendalam.

Mungkin ia menjadi kenyataan pada tahun akan datang jika kerajaan Terengganu dan pihak swasta dapat menyediakan perancangan program secara lebih terperinci.

Menurut Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan, Mohd Halimi Ibrahim, apa yang perlu dilakukan ialah meyakinkan pelancong asing bahawa Malaysia sebuah negara selamat untuk dikunjungi.

Tentu kita juga yakin semua aktiviti pelancongan termasuk program mencandat sotong tidak terganggu dengan fenomena wabak selesema babi.

Di samping itu, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri harus lebih agresif mempromosikan program mencandat sotong bukan hanya untuk pelancong domestik, tetapi juga ditumpukan kepada menarik pelancong asing.

Read Full Post »