Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Pangkalan Gawi’

Kompleks sedia pelbagai kemudahan termasuk pusat pembenihan, galeri dan akuarium

KUALA TERENGGANU: Ikan kelah mempunyai harga pasaran yang tinggi hingga RM80 sekilogram dan apabila sudah dimasak gulai lemak tempoyak, harga hidangan boleh mencecah hingga RM300, tetapi ramai sanggup membayarnya kerana teruja untuk menikmati isinya yang sungguh lazat.

Lantaran itu juga, kaki pancing sanggup meredah jeram atau sungai di merata tempat termasuk ke beberapa lubuk utamanya di sekitar Tasik Kenyir untuk memperoleh ikan berkenaan.

Ganjaran kepada kaki pancing adalah apabila berjaya membawa pulang kelah dengan jumlah yang banyak dan ada menjualnya kepada peraih yang setia menunggu di pangkalan bot terutama di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, untuk dijual kepada restoran dan peminat ikan eksotik berkenaan.

Bagaimanapun, berikutan ramai kaki pancing mencari ikan kelah itu kawasan Tasik Kenyir sejak lebih 20 tahun lalu menyebabkan populasi spesies ikan itu susut dengan ketara dan kini semakin sukar untuk diperoleh, malah wujud kebimbangan, ikan ini mungkin tinggal nama saja pada masa depan.

Menyedari masalah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengambil inisiatif dan usaha proaktif untuk mendapatkan benih ikan itu daripada pembekal luar dan melepaskannya di beberapa kawasan santuari kelah yang sudah dikenal pasti di Tasik Kenyir bagi meningkatkan bilangan serta membolehkan pelawat melihat sendiri sambil bermain dengan ikan itu.

Tiga kawasan santuari dalam tasik buatan terbesar di dunia itu ialah di Sungai Cacing, Sungai Petang dan paling terbaru Sungai Lebam, yang mana pembukaannya sudah dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said baru-baru ini.

Pengenalan santuari ketiga di Sungai Lebam bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk melihat sendiri ikan kelah dalam habitat semula jadinya.

Ketengah mengambil langkah tegas dengan melarang kaki pancing masuk ke kawasan tiga sungai berkenaan untuk menjalankan aktiviti memancing bagi memastikan ikan kelah dan spesis lain dapat membiak.

Kompleks santuari itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pusat penyelidikan, pusat pembenihan, galeri dan akuarium.

Di lubuk ikan kelah berkenaan, pengunjung berpeluang melihat ikan itu dengan lebih dekat dan memberi makan sambil membelai ikan berkenaan.

Santuari Sungai Petang terletak 21 kilometer dari Pangkalan Gawi dan mengambil masa 40 minit perjalanan menggunakan bot laju dan 16 km dari Empangan Hidro Elektrik Sultan Mahmud, Jenagor.

Sungai itu sepanjang 20 kilometer termasuk 10 kilometer dalam Taman Negara, membabit kawasan air 407 hektar, terbentuk menerusi percantuman 91 anak sungai dan dikelilingi oleh banjaran bukit. Sebahagian besar punca air sungai itu berasal dari Gunung Padang yang mempunyai ketinggian 1,314 meter dari paras laut.

Selain ikan, kawasan ini juga kaya dengan flora dan fauna termasuk tumbuhan herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, kerbau berlaga, belimbing tanah dan meriam membangun.

Pada majlis pembukaan santuari Sungai Lebam, Ahmad berkata, santuari itu akan dibuka kepada orang ramai mulai tahun depan dan pengunjung dilarang memancing di semua kawasan berkenaan bagi memastikan ikan kelah dapat membiak dengan banyak untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, Ketengah merancang untuk mengenakan sedikit bayaran kepada pengunjung yang ingin memberi makan dan bermain dengan ikan kegilaan pemancing itu.

“Ketiga-tiga santuari itu akan beroperasi secara bergilir bagi mengelak ikan di kawasan itu mati berikutan pendedahan atau interaksi berlebihan dengan manusia,” katanya.

Ahmad berkata, pembukaan santuri kelah terbaru itu akan menjadi satu lagi daya tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke Tasik Kenyir kerana belum wujud tempat lain yang menawarkan peluang sedemikian.

Read Full Post »

FERI yang siap dibina dimuatkan di atas treler untuk dihantar ke Tasik Kenyir bagi kegunaan program ‘Island Hoping’ di limbungan kapal Kaymarine, Bukit Tumbuh, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 17 Jun (Utusan Malaysia)- Para pengunjung Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tidak lama lagi akan dapat menikmati keindahan tasik buatan manusia itu dengan menaiki feri.

Feri berkenaan yang dijangka beroperasi dalam tempoh terdekat merupakan sebahagian daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dikenali sebagai ‘Island Hopping’.

Dalam program itu, feri tersebut akan berfungsi sebagai pengangkutan untuk membawa pengunjung ke 10 pulau berkonsepkan taman tema di Tasik Kenyir.

Pengerusi syarikat pembuat kapal tempatan, Kaymarine Sdn. Bhd., Datuk W. Md. Albakri Md. Noor berkata, feri jenis ponton berkenaan dibina menggunakan konsep terbuka di mana penumpang boleh melihat keluar dan menyaksikan pemandangan alam sekitar.

”Pembinaan feri ini juga menggunakan reka bentuk yang dihasilkan oleh syarikat ini sendiri.

”Ia direka seperti sebuah bas dengan pemandunya berada di hadapan feri,” katanya.

Beliau berkata, feri tersebut terdiri daripada dua bahagian iaitu atas dan bawah.

Katanya, bahagian bawah menempatkan tempat duduk untuk 52 orang manakala sembilan orang boleh berada di bahagian atas.

”Bahagian atas ini akan membenarkan penumpang untuk menyaksikan pemandangan Tasik Kenyir,” ujarnya.

Beliau berkata, feri dibina sedemikian di atas permintaan kerajaan negeri yang mahu feri itu menampung kedatangan penumpang sebuah bas pada satu-satu masa.

Beliau menambah, enjin feri dengan kelajuan 15 knot pula akan ditempatkan di luar kerangka feri.

”Enjin yang digunakan mesra alam kerana ia menggunakan minyak petrol dan bukannya diesel selain ia tidak membuang minyak digunakan ke dalam air,” jelasnya.

Tambahnya, jenis enjin yang digunakan oleh feri berkenaan amat bersesuaian untuk membawa penumpang dari pulau ke pulau di Tasik Kenyir tersebut.

”Kelajuan 15 knot tidak laju dan tidak pula perlahan dalam membawa penumpang kerana ia akan memberi peluang untuk penumpangnya menikmati keindahan di Tasik Kenyir dari atas feri,” ujarnya.

Beliau menjangka menyerahkan dua feri jenis ponton untuk kegunaan program ‘Island Hopping’ di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada Khamis ini.

”Kita akan menyerahkan dua buah feri ini kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang akan bertindak sebagai penyelaras operasi program Island Hopping itu,” katanya.

W. Md. Albakri berkata, feri sepanjang 14 meter itu yang mula dibina pada awal tahun ini, telah siap dibina dalam tempoh enam bulan.

Katanya, kos pembinaan dua buah feri tersebut menelan belanja sebanyak RM1.8 juta.

Beliau menambah, ketika ini pihaknya sedang menguji bot tersebut di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir.

”Antara yang akan diuji ialah kelajuannya sama ada ia mampu mencapai 15 knots dengan membawa muatan penuh,” ujarnya.

********************************************

Berita sebelum ini:


Read Full Post »