Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Pandu Puteri’

Tuanku Nur Zahirah ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri di Kuala Terengganu, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 14 Jun (Utusan Malaysia) – Negeri-negeri di Pantai Timur mencatatkan kes HIV/Aids tertinggi di negara ini dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas.

Kelantan, Pahang dan Terengganu menduduki senarai lima negeri teratas dalam kes jangkitan penyakit itu dalam tempoh berkenaan.

Kes HIV/Aids paling tinggi dicatatkan ialah di Kelantan iaitu 346 kes diikuti Johor (269), Selangor (223), Pahang (166) dan Terengganu (140).

Ini diikuti Kedah (117), Wilayah Persekutuan (70), Perak (71), Sarawak (84), Sabah (55), Melaka (37) dan Perlis (27).

Angka ini didedahkan oleh Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dalam kertas kerja bertajuk Kesedaran HIV/AIDS.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Persidangan Pesuruhjaya Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di sebuah hotel di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa perkara dikesan sebagai faktor utama jangkitan HIV/Aids antaranya penempatan berhampiran sempadan dan kewujudan banyak industri perkilangan

Kertas kerja itu menyebut, mereka yang dikenal pasti dijangkiti HIV/Aids ialah yang bekerja sebagai nelayan dan terlibat dalam industri perkilangan serta mereka yang bekerja dalam sektor swasta.

Beliau berkata, mereka yang dijangkit HIV/Aids tidak mempunyai suara dalam masyarakat dan menjadi mangsa stigma serta diskriminasi sehingga memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

”Golongan berkenaan memerlukan sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan agar tidak lagi terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral,” ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko dan tekanan terhadap penghidap HIV/Aids termasuk kaunseling, rawatan serta pemulihan untuk memastikan mereka dapat hidup dalam bermasyarakat seperti insan yang lain.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 14 Jun (Utusan Malaysia)- Sebanyak 350 pemimpin Persatuan Pandu Puteri dari seluruh negara yang berhimpun di bandar raya ini bagi menghadiri Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung persatuan itu didedahkan dengan tarikan pelancongan dan budaya hidup masyarakat negeri ini.

Ini kerana, budaya pengelolaan persidangan persatuan itu setiap tahun menjadikan segmen untuk mengenali budaya negeri-negeri yang menjadi tuan rumah sebagai salah satu acara.

Pada tahun ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara tersebut dari 1 hingga 5 Jun lepas dan ini memberi peluang kepada Terengganu untuk memperkenalkan keindahan budaya dan keunikan pantai dan lautnya.

Menurut Ketuanya, Zaini Mohd. Nor, para perwakilan dibawa melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man yang menempatkan 21 replika monumen Islam dan Masjid Kristal.

”Mereka juga dibawa melawat Muzium Negeri Terengganu yang merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, katanya, perwakilan juga berpeluang menyaksikan tenunan songket melalui lawatan ke Permint Sutera Semai di Chendering iaitu satu-satunya pusat tenunan sutera di negara ini.

Menurutnya, peserta juga tidak ketinggalan dibawa melawat Yayasan Tuanku Nur Zahirah yang merupakan pusat tenunan songket kontemporari dan tidak ketinggalan mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang.

Persidangan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menekankan agar persatuan turut sama menyumbangkan idea konstruktif dalam membangunkan negara dan negeri Terengganu.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pula berkenan merasmikan kemuncak acara iaitu Mesyuarat Agung persatuan itu.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 pelajar seluruh negara yang merupakan anugerah tertinggi yang diberikan dalam persatuan.

Turut berkenan memeriahkan perasmian Mesyuarat Agung persatuan ialah dua bekas Raja Permaisuri Agong iaitu Tengku Ampuan Intan Zaharah dan Tengku Ampuan Bariah.

Read Full Post »

Tuanku Nur Zahirah bersalaman dengan pemimpin Pandu Puteri Malaysia di Kuala Terengganu, semalam. – BERNA

KUALA TERENGGANU 4 Jun (Utusan Malaysia) – Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah hari ini berkenan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia 2008/2009 di sini.

Raja Permaisuri Agong tiba di Hotel Primula Beach Resort di sini kira-kira pukul 11.15 pagi diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang merupakan Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri dan Ketua Pesuruhjaya persatuan itu, Datin Zalilah Mohd. Taib.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri.

Pada majlis tersebut, Tuanku Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Asia Pasifik kepada 27 pemimpin persatuan itu dan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 renjer remaja.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas kepada Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan di atas kejayaan mengadakan aktiviti yang mengharumkan nama persatuan itu.

Dalam titah ucapan perasmian, Tuanku Nur Zahirah yang merupakan Penaung persatuan itu bangga kerana Persatuan Pandu Puteri telah berjaya menarik 79,847 ahli termasuk 5,138 anggota sukarelawan.

Tuanku Nur Zahirah berharap persatuan itu menggalakkan usaha berterusan untuk menyemai dan memupuk perpaduan serta semangat sukarelawan di kalangan ahli dengan melibatkan mereka dalam pelbagai projek khidmat masyarakat.

”Persatuan juga telah mewujudkan satu aktiviti baru untuk kanak-kanak pra sekolah iaitu pengenalan kepada Bahagian Pandu Puteri Pra Tunas.

”Justeru, anak-anak yang terlibat dalam aktiviti Pandu Puteri dalam usia begitu muda sudah berada di landasan yang melatih mereka tentang ketahanan mental dan fizikal supaya lebih bersedia menghadapi cabaran globalisasi,” titahnya.

Read Full Post »