Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘pameran’

KUALA TERENGGANU 22 Jun – Kerajaan negeri yakin industri andaman mampu memberikan pulangan lumayan asalkan mereka yang terbabit pandai mencari ruang dan mengambil peluang melalui pelbagai kemudahan teknologi masa kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaabar Mohd. Adib berkata, peluang itu termasuk mempromosikan produk mereka melalui emel, facebook dan blog yang boleh disebarkan ke seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, mereka diingatkan tidak lupa pada asas dan akar umbi dengan mengekalkan ciri dan nilai warisan seni seperti pelamin perkahwinan tradisi yang terbukti mempunyai 1,001 nilai falsafah dalam keghairahan mencari keuntungan dan rangkaian perniagaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa membuka ruang untuk perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan dan organisasi dalam usaha mengetengahkan pertumbuhan pelbagai kesenian dan warisan budaya negeri.

”Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri agar seni dan budaya yang murni dijaga dan dikekalkan agar generasi akan datang terus dapat menghayati kehalusan seni serta budaya tinggalan orang terdahulu.

”Amatlah malang sekiranya warisan seni yang dibanggakan hilang untuk dipertontonkan kepada generasi masa kini, masyarakat luar khususnya barat mengenai kehebatan, keunggulan serta kreativiti pemikir orang-orang terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pameran Warna-Warna Pelaminan Malaysia di Serambi Mandalika, Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri diadakan sehingga akhir bulan ini dalam usaha memperlihatkan pelbagai pelamin masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Zaabar berkata, pameran itu menampilkan satu dimensi khusus mengenai seni pelamin dalam majlis perkahwinan yang melibatkan adat istiadat sebahagian besar suku kaum di seluruh negara.

Katanya, melalui pameran itu, pengunjung dapat melihat dan mengenali bentuk, warna serta susun atur sesebuah pelamin daripada pelbagai kaum termasuk Iban, Baba dan Nyonya.

Beliau juga berharap pameran itu dapat dijadikan sebagai permulaan menyemai kembali benih-benih seni orang-orang terdahulu untuk dilihat oleh generasi masa kini yang kurang mengetahui mengenai nilai sejarah dan budaya.

Read Full Post »

Pameran di Muzium Terengganu sedia maklumat lengkap alat bunyi-bunyian

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Muzik peringkat awalnya dihasilkan secara semula jadi seperti bunyi tepukan tangan, hentakan kaki, ketukan kayu dan ia adalah satu unsur mainan yang berfungsi untuk memberi hiburan serta keseronokan.

Muzik juga mampu memberi ketenangan jiwa, selain berperanan mengurangkan ketegangan perasaan serta boleh menaikkan semangat dan muzik dianggap sebagai satu saluran berkesan untuk menanam semangat nasionalisme, nilai keagamaan dan moral.

Bagaimanapun, ramai anggota masyarakat terutama golongan belia dan remaja tidak tahu sejarah kewujudan muzik serta bahan digunakan masyarakat terdahulu untuk mengeluarkan bunyi-bunyian.

Justeru, orang ramai tidak seharusnya terkejut jika ada antara bahan digunakan sebagai peralatan muzik ialah tulang haiwan dan manusia serta tembaga.

Pengarah Muzium negeri, Mohd Yusof Abdullah, berkata manusia pada asasnya mula mempelajari irama melalui denyutan jantung ibu dan nada serta irama nyanyian ibu membuktikan manusia mula mendekati muzik sejak di alam bayi.

Katanya, badan manusia adalah instrumen muzik asas, tindak balas badan mampu menghasilkan bunyi seperti tepukan, hentakan atau pergerakan badan, suara seperti mana dilakukan sebahagian suku kaum di Afrika.

“Selain anggota badan, desiran alam semula jadi seperti desiran angin, ombak, geseran tumbuhan turut ditaksirkan sebagai muzik, geseran pokok tumbuhan di kombinasikan dengan desiran angin menghasilkan bunyi indah dan menghiburkan.

“Muzik digunakan secara meluas dalam upacara keagamaan, kebudayaan, perubatan dan pemujaan terutama dalam aktiviti kebudayaan dan alat muzik dicipta dengan menggunakan bahan alam yang mudah di peroleh di persekitaran sesuatu kaum seperti kulit, tumbuhan-tumbuhan, tulang serta tanduk haiwan,” katanya.

Mohd Yusof, berkata sejenis alat muzik yang wujud sejak di zaman batu dan kekal sehingga kini ialah seruling dan pernah ditemui tersimpan dalam ketulan air batu di Siberia dan di padang pasir di Afrika serta Amerika Syarikat.

Katanya, alat muzik yang ditemui itu diperbuat daripada tulang binatang dan mempunyai kaitan dengan pemikiran primitif di zaman prasejarah iaitu Homosapiens.

“Jika pada peringkat awal manusia bertindak balas dengan bunyi alamiah seperti angin, air, ombak serta kicauan burung, selepas itu mereka berekspresi dengan penggunaan tubuh badan seperti tepukan, hentakan kaki dan suara, selepas itu manusia mula mencipta alat muzik menggunakan bahan seperti gangsa dan tembaga,” katanya.

Mohd Yusof, berkata sebagai pendedahan kepada masyarakat terutama golongan remaja, lebih 500 jenis alat muzik dihasilkan masyarakat terdahulu terutama seruling dipamerkan sempena dengan pameran Evolusi Alat Muzik Malaysia selama dua bulan di Muzium Negeri Terengganu.

“Ada antara alat muzik yang dipamerkan itu diperbuat menggunakan bahan tanah liat, tulang serta tembaga dan peralatan itu sukar ditemui di pasaran masa kini,” katanya.

Penolong Kurator Muzium negeri, Mohd Saberi Muda, berkata pameran peralatan muzik yang kali pertama dipamerkan di negeri ini mendapat sambutan luar dugaan terutama daripada golongan remaja.

Katanya, mereka terpegun melihat pelbagai peralatan muzik yang pernah digunakan masyarakat terdahulu terutama seruling yang diperbuat daripada tanah liat serta tulang haiwan.

“Alat muzik yang pernah digunakan oleh pelbagai bangsa serta keturunan kita peroleh daripada orang perseorangan daripada seluruh negeri termasuk peralatan muzik digunakan masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Seorang pengunjung, Noor Asiyikin Shuib, 36, berkata sebelum ini masyarakat terutama golongan remaja hanya didedahkan dengan penggunaan peralatan muzik moden seperti gitar, piano, dram dan organ.

Bagaimanapun, katanya, peralatan muzik yang dipamerkan dan pernah digunakan di negara ini sejak tahun 1402 mempunyai banyak unsur sejarah termasuk asal usul serta bahan digunakan untuk menghasilkan alat muzik.

“Generasi masa kini hanya didedahkan dengan irama muzik yang menghasilkan alunan mengasyikkan menggunakan peralatan moden tetapi tanpa disedari, peralatan muzik digunakan masyarakat terdahulu juga mengeluarkan bunyian cukup mengagumkan,” katanya.

Akma Awang, 38, berkata berdasarkan pameran itu, masyarakat Melayu dipengaruhi agama Hindu dan ia sangat ketara dalam permainan wayang kulit terutama kisah berdasarkan mitos Ramayana dan Mahabhrata.

Katanya, alat muzik seperti gendang dan serunai juga mempunyai kaitan dengan alat muzik Hindu.

Read Full Post »