Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘muzium’

KUALA TERENGGANU (Sinar Harian) – Muzium Terengganu menganjurkan Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2009 pada 4 hingga 6 Julai lalu bagi memupuk sema-ngat cinta warisan sejarah dan budaya negeri ini.

Pengerusi Urus setia Induk, Pertandingan Melukis Citra Terengganu, Fairuz Karim berkata, pertandingan yang dibuka kepada seluruh warganegara ini menonjolkan citra negeri dalam bentuk lukisan sela-ras fungsi dan peranan mu-zium memperkasa warisan sejarah dan budaya negeri.

“Masih ramai masyarakat kita hari ini kurang peka, malah tidak tahu mengenai sejarah terdahulu, mungkin disebabkan kurang pendedahan dan pen-didikan sejarah.

“Sehubungan itu, Muzium Negeri berperanan menanam dan mendekatkan masyarakat dengan warisan sejarah ini melalui pelbagai aktiviti kesenian tradisi berunsur dan berlatarbelakangkan seja-rah negeri-negeri.

“Satu daripadanya, ka-mi memilih menganjurkan pertandingan melukis ini yang dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Karya Siap bertemakan Citra Terengganu (peristiwa dalam persejarahan Terengganu) dan kategori Karya Spon-tan bertema Citra Terengganu (warisan semula jadi dan budaya Terengganu),” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut Fairuz, pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan bu-kan hanya daripada rakyat negeri ini, tetapi dari luar Terengganu.

“Muzium Negeri berharap pertandingan ini dapat menyokong penghayatan sejarah dalam masyarakat dengan memberikan ak-ti-viti kepada mereka, selain program memperkasa mu-zium.

“Pertandingan ini juga platform pelukis di seluruh negeri menunjukkan bakat masing-masing, seterusnya melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang ini,” katanya.

Pertandingan diadakan di pekarangan Kompleks Muzium Terengganu dan dihakimi Profesor Awang Damit Ahmad dan Profesor Ponirin Amin.

**************************************

Posting berkaitan sebelum ini:


Advertisement

Read Full Post »

Mengecat mengikut ukiran asal perahu Payang Barat ketika kerja-kerja pemulihan dijalankan di Muzium Kuala Terengganu, baru-baru ini. – Ehsan Muzium Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU 19 Jun (Utusan Malaysia)- Perahu Payang Barat dan Bedar yang dahulunya banyak digunakan di Besut di negeri ini dan Patani (Selatan Thailand) sangat unik dan mempunyai corak dekoratif yang sangat menarik.

Selain memiliki keunikan, dua jenis perahu itu juga mempamerkan nilai seni yang sangat tinggi khususnya dari segi pembuatan dan hiasan corak pada badan perahu.

Bagaimanapun, kini kehebatannya kian pudar disebabkan keadaannya yang berada ditempat terbuka.

Selain, Perahu Payang Barat, Perahu Bedar pula terkenal dengan ciri rupa bentuk seperti sudu atau paruh itik.

Koleksi Perahu Payang Barat dan Perahu Bedar adalah warisan maritim yang penting di Terengganu kini dipamerkan di perkarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pihaknya giat menjalankan kerja-kerja pemuliharaan terhadap koleksi perahu itu bagi memastikan ia terus kekal sebagai tatapan generasi akan datang.

Katanya, skop kerja-kerja pemuliharaan ke atas koleksi perahu tersebut melibatkan kerja-kerja seperti membasuh keseluruhan badan perahu dan mengikis cat-cat asal yang mengelupas pada perahu.

“Selain itu pihak kami juga menutup lubang dan rekahan pada badan perahu dengan menggunakan gam kosam yang dicampurkan dengan habuk gergaji.

“Dan kerja-kerja mengecat semula dinding perahu serta corak dekoratif dengan warna yang serupa dengan warna asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, kerja-kerja konservasi ini mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya iaitu selama tiga bulan.

Katanya, ini disebabkan ketelitian kerja yang perlu ada bagi melukis corak dekoratif yang berwarna warni yang sudah pudar.

Perahu Payang merupakan perahu terbesar digunakan di Terengganu untuk menangkap ikan.

Operasi memukat adalah di kawasan laut dalam menggunakan pukat payang dengan awak-awak seramai kira-kira 15 orang.

Perahu ini dikenali sebagai perahu payang berdasarkan operasi memukat yang pada kebiasaannya menggunakan pukat payang berukuran 14.2 meter panjang, 2.27 meter lebar, 3.1 meter tinggi dan menggunakan dua layar.

Read Full Post »

ISTANA Tengku Long yang dibina sekitar tahun 1850M terletak di pinggir Sungai Terengganu merupakan satu warisan sejarah yang cukup bernilai. – utusan / wan ramli wan muhamad

KUALA TERENGGANU 2 Jun (Utusan Malaysia) – Istana Tengku Long yang terletak di pinggir Sungai Terengganu di sini, merupakan satu warisan sejarah bernilai yang menyimpan kisah cinta sehebat Taj Mahal di India di sebalik pembinaannya.

Sekiranya Taj Mahal dibina oleh Shah Jehan sebagai tanda cinta ke atas isterinya, Mumtaz Mahal, Istana Tengku Long juga dibina atas tujuan yang sama.

Mahligai itu merupakan lambang cinta Tengku Long kepada isterinya, Tengku Wook salah seorang kerabat Diraja Terengganu.

Tengku Long Tengku Ngah adalah Pesuruhjaya Besut yang kedua selepas mengambil alih tampuk pemerintahan daerah Besut (sebuah daerah yang bersempadankan negeri Kelantan) daripada pesuruhjaya pertama, Tengku Chik Haji pada tahun 1929.

Setelah beberapa lama memerintah daerah Besut, Tengku Long kemudiannya diganti oleh menantunya sebagai Pesuruhjaya Besut yang ketiga iaitu Tengku Sulong, suami kepada Tengku Kembang.

Sebelum dibangunkan semula di tapak Muzium Negeri di sini, Istana Tengku Long asalnya terletak lebih kurang 30.48 meter dari Sungai Besut, di Kampung Raja, Besut.

Menurut catatan Tan Sri Mubin Sheppard, istana ini dibina pada tahun 1850 M, tetapi kalau diteliti kepada tarikh yang terdapat pada salah satu ukiran di istana ia bertarikh pada tahun 1904 M.

Keluasannya 27.43 meter x 21.34 meter terdiri daripada kayu cengal yang keras dan dinding dihiasi oleh ukiran yang halus buatannya.

Walaupun jika dilihat dari luar istana ia tidaklah begitu mengagumkan, namun sekiranya anda memasuki ke ruang dalam dan menaiki empat anak tangga menuju ke balairong yang luas (ruang tengah), anda tentunya akan menyaksikan pelbagai jenis ukiran kayu yang merupakan suatu pameran daya cipta ahli ukir Melayu terunggul.

Setiap sekatan di antara ruang, mempunyai jala berhias di sekeliling keempat-empat dindingnya dan setiap keping ukiran yang berlainan.

Hiasan berukir di sekeliling bilik peribadi Raja adalah di antara yang paling halus sekali buatan termasuklah hiasan berpetak dengan empat lapisan ukiran daun serta dahan iaitu suatu hasil pertukangan yang amat luar biasa yang disebut ‘silap empat lapis’.

Ia juga mengandungi kepingan berukir yang menggabungkan tulisan khat dengan rekaan daun yang disebut ‘Ayat Nasrun’.

Selain itu terdapat juga reka corak yang digunakan pada dinding bangunan adalah berasal dari atau diilhamkan dari daun atau dahan pohon dan tumbuhan tempatan.

Hampir sebahagian besar ukiran di istana ini dibuat oleh seorang tukang dikenali dengan nama Long dan seorang tukang lain dikenali Hat.

Selepas leka menyaksikan keindahan seni ukiran kayu di istana bersejarah ini anda juga mungkin akan terpegun apabila menyaksikan betapa klasiknya konsep ruang dalam istana itu.

Hasil pengamatan Istana Besar ini yang mempunyai 13 ruang di mana di antara ruang yang terdapat ruang yang terpisah di luar istana iaitu bilik air, halaman dan Rumah Padi.

Surung yang terletak di bahagian hadapan berhampiran pintu masuk utama istana dan memanjang belakangnya dengan keluasan 24.15 meter persegi dan tinggi 2.6 meter dari atas tanah.

Ia digunakan untuk menjalankan tugas rasmi dan meraikan kunjungan tetamu kehormat yang naik melalui tangga besar yang menghubungkan bahagian surung dengan halaman luar.

Tetamu yang berkunjung akan naik mengikut tangga besar yang menghubungkan surung dengan halaman luar.

Mungkin kerana tetamu yang berkunjung adalah dihormati dan tinggi kedudukannya, tidak hairanlah ruang ini dihiasi dengan dinding yang penuh dengan ukiran (dari jenis tebuk tembus) yang berperanan menambahkan seri bagi ruang ini.

Pada sudut ini terdapat dinding yang penuh dengan ukiran bagi menambahkan lagi seri dan pengedaran udara yang baik.

Siling diperbuat daripada papan cengal yang menarik yang bertujuan untuk menyekat bahang panas daripada bumbung.

Ruang santapan mempunyai keluasan yang hampir sama dengan surung dan digunakan sebagai ruang tempat santapan bersama keluarga.

Aras lantainya adalah sama dengan surung serta dihubungkan dengan tengah serambi, ruang khas dan untuk ke surung ini terpaksa merentasi sepuluh buah pintu.

Mengenai ruang santapan pula ia digunakan sebagai tempat santapan rasmi atau semasa baginda santap bersama dengan keluarga atau tetamu yang berkunjung.

Di tengah-tengah ruang ini diletakkan sebuah meja makan yang cukup untuk 8 orang.

Terdapat juga beberapa buah perabot kayu yang digunakan untuk menyimpan buku dan perhiasan diraja.

Di bahagian atas ruang ini dibina siling yang serupa dengan ruang surung dan ditambah dengan dua buah tingkap magun, yang ditebuk di atas bumbungnya.

Ruang tengah terletak di tengah-tengah istana, mempunyai keluasan 9.14 meer x 12.2 meter yang digunakan bagi mengadakan keramaian seperti kenduri-kendara dan perkahwinan serta merupakan ruang yang tidak aktif.

Pada ruang ini ditutupi oleh dua bumbung limas dengan tiga buah alang. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat memandi mayat, tempat orang sakit dan tempat ibu-ibu yang baru bersalin.

Bahagian yang dikhaskan untuk kaum wanita menjalankan aktiviti memasak, membasuh, mempunyai keluasan 15.34 meter x 3.66 meter serta terdapat bumbung yang bertingkat di mana yang berada pada aras kemuncak terangkat sedikit ke atas yang berfungsi sebagai jalan keluar kepada asap serta pengaliran udara yang bersih.

Sementara itu Pengarah Muzium Negeri, Mohd Yusof Abdullah ketika ditemui memberitahu Istana Tengku Long digunakan oleh dua orang pemerintah iaitu Tengku Long dan menantunya, Tengku Sulong.

Katanya, binaan bangunan asal pada tahun 1904 hanya terdiri daripada surung, bilik santapan, bilik khas, bilik beradu, dapur dan pelantar, serambi di sekeliling ruang utama dan bilik bersiram.

”Binaan balai pada tahun 1925 dan siap pada tahun 1926 adalah sebagai persediaan bagi upacara bersunat Tengku Mohd. iaitu anakanda Tengku Long.

”Sebelumnya, terdapat balai yang digunakan sebagai mahkamah bagi mengadili perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang yang dicemar,” katanya.

Read Full Post »

Pameran di Muzium Terengganu sedia maklumat lengkap alat bunyi-bunyian

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Muzik peringkat awalnya dihasilkan secara semula jadi seperti bunyi tepukan tangan, hentakan kaki, ketukan kayu dan ia adalah satu unsur mainan yang berfungsi untuk memberi hiburan serta keseronokan.

Muzik juga mampu memberi ketenangan jiwa, selain berperanan mengurangkan ketegangan perasaan serta boleh menaikkan semangat dan muzik dianggap sebagai satu saluran berkesan untuk menanam semangat nasionalisme, nilai keagamaan dan moral.

Bagaimanapun, ramai anggota masyarakat terutama golongan belia dan remaja tidak tahu sejarah kewujudan muzik serta bahan digunakan masyarakat terdahulu untuk mengeluarkan bunyi-bunyian.

Justeru, orang ramai tidak seharusnya terkejut jika ada antara bahan digunakan sebagai peralatan muzik ialah tulang haiwan dan manusia serta tembaga.

Pengarah Muzium negeri, Mohd Yusof Abdullah, berkata manusia pada asasnya mula mempelajari irama melalui denyutan jantung ibu dan nada serta irama nyanyian ibu membuktikan manusia mula mendekati muzik sejak di alam bayi.

Katanya, badan manusia adalah instrumen muzik asas, tindak balas badan mampu menghasilkan bunyi seperti tepukan, hentakan atau pergerakan badan, suara seperti mana dilakukan sebahagian suku kaum di Afrika.

“Selain anggota badan, desiran alam semula jadi seperti desiran angin, ombak, geseran tumbuhan turut ditaksirkan sebagai muzik, geseran pokok tumbuhan di kombinasikan dengan desiran angin menghasilkan bunyi indah dan menghiburkan.

“Muzik digunakan secara meluas dalam upacara keagamaan, kebudayaan, perubatan dan pemujaan terutama dalam aktiviti kebudayaan dan alat muzik dicipta dengan menggunakan bahan alam yang mudah di peroleh di persekitaran sesuatu kaum seperti kulit, tumbuhan-tumbuhan, tulang serta tanduk haiwan,” katanya.

Mohd Yusof, berkata sejenis alat muzik yang wujud sejak di zaman batu dan kekal sehingga kini ialah seruling dan pernah ditemui tersimpan dalam ketulan air batu di Siberia dan di padang pasir di Afrika serta Amerika Syarikat.

Katanya, alat muzik yang ditemui itu diperbuat daripada tulang binatang dan mempunyai kaitan dengan pemikiran primitif di zaman prasejarah iaitu Homosapiens.

“Jika pada peringkat awal manusia bertindak balas dengan bunyi alamiah seperti angin, air, ombak serta kicauan burung, selepas itu mereka berekspresi dengan penggunaan tubuh badan seperti tepukan, hentakan kaki dan suara, selepas itu manusia mula mencipta alat muzik menggunakan bahan seperti gangsa dan tembaga,” katanya.

Mohd Yusof, berkata sebagai pendedahan kepada masyarakat terutama golongan remaja, lebih 500 jenis alat muzik dihasilkan masyarakat terdahulu terutama seruling dipamerkan sempena dengan pameran Evolusi Alat Muzik Malaysia selama dua bulan di Muzium Negeri Terengganu.

“Ada antara alat muzik yang dipamerkan itu diperbuat menggunakan bahan tanah liat, tulang serta tembaga dan peralatan itu sukar ditemui di pasaran masa kini,” katanya.

Penolong Kurator Muzium negeri, Mohd Saberi Muda, berkata pameran peralatan muzik yang kali pertama dipamerkan di negeri ini mendapat sambutan luar dugaan terutama daripada golongan remaja.

Katanya, mereka terpegun melihat pelbagai peralatan muzik yang pernah digunakan masyarakat terdahulu terutama seruling yang diperbuat daripada tanah liat serta tulang haiwan.

“Alat muzik yang pernah digunakan oleh pelbagai bangsa serta keturunan kita peroleh daripada orang perseorangan daripada seluruh negeri termasuk peralatan muzik digunakan masyarakat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Seorang pengunjung, Noor Asiyikin Shuib, 36, berkata sebelum ini masyarakat terutama golongan remaja hanya didedahkan dengan penggunaan peralatan muzik moden seperti gitar, piano, dram dan organ.

Bagaimanapun, katanya, peralatan muzik yang dipamerkan dan pernah digunakan di negara ini sejak tahun 1402 mempunyai banyak unsur sejarah termasuk asal usul serta bahan digunakan untuk menghasilkan alat muzik.

“Generasi masa kini hanya didedahkan dengan irama muzik yang menghasilkan alunan mengasyikkan menggunakan peralatan moden tetapi tanpa disedari, peralatan muzik digunakan masyarakat terdahulu juga mengeluarkan bunyian cukup mengagumkan,” katanya.

Akma Awang, 38, berkata berdasarkan pameran itu, masyarakat Melayu dipengaruhi agama Hindu dan ia sangat ketara dalam permainan wayang kulit terutama kisah berdasarkan mitos Ramayana dan Mahabhrata.

Katanya, alat muzik seperti gendang dan serunai juga mempunyai kaitan dengan alat muzik Hindu.

Read Full Post »