Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘muat-turun’

Perisian khas akan dibuat elak muat turun benda tak manfaat

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Pelajar yang dikesan menyalahgunakan buku elektronik atau e-book, tidak akan dibenarkan membawa pulang komputer riba mini itu, sebaliknya akan disimpan guru dan hanya digunakan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan pelajar menggunakan e-book yang diberi untuk tujuan tidak bermanfaat dan memberi pengaruh negatif kepada mereka.

“Kita sudah arahkan guru untuk pantau aktiviti murid dan jika ada pelajar didapati menyimpan benda tidak elok, dia tidak akan dibenar membawa pulang e-book ke rumah sebaliknya disimpan oleh guru dan hanya dikeluarkan untuk digunakan pelajar berkenaan ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

“Sekarang ini ramai murid yang terlalu ‘advanced’ dengan komputer, kita bimbang mereka akan muat turun banyak benda yang tidak bermanfaat. Jadi kepada mereka yang menyalahgunakan e-book kita tidak akan bertolak ansur,” katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, semalam.

Ahmad Razif berkata, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan e-book, kerajaan negeri sedang membangunkan perisian khas yang akan dimuat turun ke dalam semua buku elektronik (e-book) yang diberikan kepada 23,000 murid Tahun Lima di negeri ini.

Katanya, melalui perisian khas itu, guru yang menyelia penggunaan e-book pelajar dapat memantau dan mengunci laman web tertentu yang kerap diakses murid terutama ketika waktu persekolahan.

“Bagaimanapun, pembangunan perisian berkenaan dijangka membabitkan peruntukan yang agak tinggi dan memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

“Daripada kajian yang dijalankan, kerajaan menjangkakan sebanyak RM30 juta diperlukan bagi membangunkan perisian itu sebelum boleh dimuat turun kepada semua 23,000 murid Tahun Lima seluruh negeri yang menerima kemudahan itu ketika ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau berharap ibu bapa dan guru dapat memantau penggunaan e-book di kalangan pelajar bagi memastikan mereka tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberi itu.

*******************************

Artikel berkaitan sebelum ini:

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 28 Julai (Utusan Malaysia)- Kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan penggunaan buku elektronik (e-Book) pada tahun depan meskipun ia disalahgunakan oleh segelintir murid baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, langkah itu perlu kerana penggunaan e-Book bukan sahaja membantu meningkatkan pendidikan bahkan membawa kebaikan kepada sektor ekonomi negeri.

”Rancangan penggunaan e-Book sejak dari mula menerima tafsiran salah dan pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk menyatakan ia membazir.

”Sepatutnya semua pihak perlu memberi sokongan kerana perkara ini tidak mudah dibuat selain memberikan faedah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di Dewan Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir di sini semalam.

Jumaat lalu, kegiatan sekumpulan murid tahun lima di sebuah sekolah di Gong Badak yang memuat turun video dan gambar porno pada e-Book mereka terdedah apabila ia dikesan oleh pihak sekolah.

Ahmad Razif berkata, penggunaan e-Book di sekolah telah membuka banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

”Pada masa akan datang, lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan di kilang pemasangan dan sekolah-sekolah apabila e-Book dilaksanakan secara menyeluruh.

”Kita juga akan membuka kios-kios untuk membaiki komputer di sekitar bandar di negeri ini bagi memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini,” ujarnya.

Read Full Post »

Peralatan dihantar selepas pengisian silibus dimuat turun

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15,000 unit komputer riba atau buku elektronik (e-book) pertama dari Shanghai, China tiba di Terengganu semalam, dan akan diagihkan kepada murid Tahun Lima di negeri ini dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pengisian silibus pembelajaran selesai dimuat turun.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata baki 8,000 unit e-book akan sampai dalam bentuk komponen dan akan dipasang sendiri oleh tenaga mahir tempatan yang sudah dilatih di kilang e-book di Kompleks Perindustrian Gong Badak di sini, yang akan mula beroperasi pada akhir Mei ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu sebelum e-book diedarkan, semua guru yang mengajar murid tahun lima akan diberikan taklimat serta kursus mengenai penggunaan e-book yang memuatkan semua mata pelajaran dalam bentuk digital.

Katanya, pengisian e-book juga diberi nilai tambah kerana ia turut memuatkan 30 juzuk al-Quran, termasuk silibus lengkap pembelajaran fardu ain.

“Alhamdulillah, 15,000 e-book pertama sampai di kilang kita yang berharga RM8.5 juta dan kini sudah 90 peratus siap pembinaannya. E-book ini akan diagihkan menjelang akhir Mei ini kepada murid tahun lima dan baki 8,000 lagi akan dipasang sendiri oleh tenaga kerja kita yang sudah terlatih.

“Kita juga memberi nilai tambah dalam pengisian e-book apabila murid boleh mengaji 30 juzuk al-Quran, mempelajari cara solat lima waktu dan solat jenazah yang betul secara digital. Malah, kita akan isikan juga Skor A supaya murid boleh mengulang kaji contoh soalan peperiksaan tahun sebelumnya,” katanya selepas merasmikan Program Pendidikan Terengganu Terbilang 2009 (PPTT) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Beliau berkata, dengan pengisian e-book yang diberi nilai tambah silibus fardu ain, kerajaan negeri juga bercadang mengadakan kelas agama di sesi petang persekolahan seperti diamalkan kerajaan negeri Johor, bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu agama.

E-book seberat 1.1 kilogram berharga RM1,000 seunit adalah antara pelan pendidikan jangka panjang kerajaan negeri dalam mendedahkan pelajar dengan teknologi maklumat dan komunikasi, serta meningkatkan kecemerlangan pelajar di negeri ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah menerima permintaan dan sedang berunding dengan beberapa pihak termasuk dari luar negara yang berminat untuk membeli e-book yang terbukti berdaya tahan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui syarikat milik penuhnya, Top IT Industries Sdn Bhd diberikan hak untuk memasar dan mengedar e-book hingga ke pasaran Asia Tenggara.

Read Full Post »