Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘motosikal’

Projek dilaksana bendung lumba haram

KUALA TERENGGANU (Berita Harian): Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.1 juta bagi projek pembesaran litar lumba di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak di sini bagi membendung kegiatan perlumbaan haram terutama yang membabitkan samseng jalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang dipertanggungjawab merangka pelaksanaan projek itu, sudah menyerahkan kertas cadangan pembesaran litar lumba untuk motosikal dan kereta daripada 300 meter kepada 600 meter.

“Selain membesarkan litar, kita juga bercadang untuk menyediakan pelbagai kelengkapan lain termasuk tempat duduk untuk keselesaan peminat sukan bermotor.

“Pembinaan litar itu adalah antara cadangan jangka panjang yang dirumus kerajaan negeri bagi mengurangkan masalah kegiatan samseng jalanan yang menjadikan beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini sebagai gelanggang perlumbaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan kira-kira 500 warga bandar raya ini dalam acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer sempena Karnival Jacob’ s Walk Of Life di Pantai Batu Burok, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kraft Malaysia, Dieter Schuls dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar.

Abdul Rahin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kawasan Teluk Pasu, berkata kerajaan negeri bersetuju untuk membina litar itu bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan motosikal haram oleh samseng jalanan selepas mendapat pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri.

Katanya, masalah kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan golongan remaja terutamanya pada setiap malam minggu dan hari minggu di beberapa jalan utama di negeri ini mampu dikurangkan jika litar dibina.

“Kita mengambil contoh di Kuala Lumpur, gejala lumba motosikal haram kurang berlaku ketika litar lumba di Batu 3 disediakan sekitar tahun 1980, tetapi masalah lumba haram kembali berlaku dan beberapa jalan utama dijadikan sebagai gelanggang perlumbaan apabila litar itu ditutup kerana kawasan berkenaan terbabit dengan projek pembangunan,” katanya.

Read Full Post »