Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘mesyuarat agung’

KUALA TERENGGANU 14 Jun (Utusan Malaysia)- Sebanyak 350 pemimpin Persatuan Pandu Puteri dari seluruh negara yang berhimpun di bandar raya ini bagi menghadiri Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung persatuan itu didedahkan dengan tarikan pelancongan dan budaya hidup masyarakat negeri ini.

Ini kerana, budaya pengelolaan persidangan persatuan itu setiap tahun menjadikan segmen untuk mengenali budaya negeri-negeri yang menjadi tuan rumah sebagai salah satu acara.

Pada tahun ini, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu diberi kepercayaan untuk mengendalikan acara tersebut dari 1 hingga 5 Jun lepas dan ini memberi peluang kepada Terengganu untuk memperkenalkan keindahan budaya dan keunikan pantai dan lautnya.

Menurut Ketuanya, Zaini Mohd. Nor, para perwakilan dibawa melawat Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man yang menempatkan 21 replika monumen Islam dan Masjid Kristal.

”Mereka juga dibawa melawat Muzium Negeri Terengganu yang merupakan muzium terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Selain itu, katanya, perwakilan juga berpeluang menyaksikan tenunan songket melalui lawatan ke Permint Sutera Semai di Chendering iaitu satu-satunya pusat tenunan sutera di negara ini.

Menurutnya, peserta juga tidak ketinggalan dibawa melawat Yayasan Tuanku Nur Zahirah yang merupakan pusat tenunan songket kontemporari dan tidak ketinggalan mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang.

Persidangan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menekankan agar persatuan turut sama menyumbangkan idea konstruktif dalam membangunkan negara dan negeri Terengganu.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pula berkenan merasmikan kemuncak acara iaitu Mesyuarat Agung persatuan itu.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada 59 pelajar seluruh negara yang merupakan anugerah tertinggi yang diberikan dalam persatuan.

Turut berkenan memeriahkan perasmian Mesyuarat Agung persatuan ialah dua bekas Raja Permaisuri Agong iaitu Tengku Ampuan Intan Zaharah dan Tengku Ampuan Bariah.

Read Full Post »

KUALA TERENGGANU 27 Mei (Utusan Malaysia)- Lebih 2,000 ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dijangka berkumpul di Terengganu sempena sambutan ke-44 tahun persatuan itu hujung minggu ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan persatuan itu hari ini, program sambutan peringkat kebangsaan itu julung-julung kalinya diadakan di negeri ini dengan beberapa aktiviti disediakan untuk ahli-ahlinya.

Aktiviti sambutan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei ini bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Taman Tamadun Islam (TTI) meliputi forum, konvensyen serta makan malam perdana.

”Sambutan ini diakhiri dengan Mesyuarat Agung Perwakilan Kali ke-37 PSSCM yang akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu, aktiviti pada hari pertama sambutan adalah forum bertajuk ‘Silat Cekak – Budaya Warisan Negara’ . Pada hari kedua pula berlangsung konvokesyen PSSCM di Dewan Sultan Mizan, UMT.

Read Full Post »