Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Merang’

SETIU 13 Julai (Utusan Malaysia) – Keunikan alam semula jadi di kawasan pantai di daerah ini mendorong sebuah syarikat swasta membina sebuah hotel bernilai RM122 juta di Pantai Merang di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd. Adib berkata, hotel yang menyediakan 190 bilik itu akan dikendalikan oleh Desa Perantau Sdn. Bhd.

Menurut beliau, hotel berkenaan akan dibina di atas tanah seluas dua hektar yang disewa daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan.

Katanya, pembinaan hotel itu berhampiran dengan Terengganu International Equestrian Park (TIEP) Lembah Bidong di sini, dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

”Pembinaan hotel ini dijangka dapat mempertingkatkan sosial ekonomi masyarakat setempat.

”Hotel ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada 200 penduduk tempatan dalam pelbagai bidang perhotelan sekali gus dapat menjana industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hotel Eksklusif di Pantai Merang di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Za’abar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Diraja Sultan Mizan yang wakili oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Mohd. Fadzli Yusof dengan Desa Perantau Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengarah Urusannya, Zainab Yusof.

Za’abar berkata, kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi produk-produk pelancongan terutama sukan lasak seperti kuda lasak dan Piala Monsun.

”Terengganu mempunyai pelbagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong terutamanya pelancong asing ke negeri ini setiap tahun.

”Ini dapat meningkatkan pendapatan sampingan masyarakat setempat selain mempromosi negeri ini di luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjangka peningkatan kedatangan pelancong tahun ini kepada empat juta orang berbanding 3.53 juta pada tahun lepas.

”Kedatangan pelancong asing ke negeri ini meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka tertarik dengan kegiatan pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan,” katanya.

Read Full Post »

MERANG (Sinar Harian) – Orang ramai yang ditemui Sinar Harian mengakui suasana di kam-pung ini tidak ubah seperti di Indonesia atau Bangladesh kerana dipenuhi warga asing dari kedua-dua negara itu.

Mereka berpendapat, biarpun warga Indonesia dan Bangladesh yang menyewa serta tinggal di kampung itu tidak membuat kacau atau melakukan jenayah, kehadiran mereka tetap menimbulkan suasana kurang menyenangkan.

“Saya fikir pihak berkuasa boleh berbuat sesuatu. Memantau atau membuat pemeriksaan. Jika mereka tidak mempunyai sebarang dokumen mungkin sesuatu yang buruk boleh berlaku pada masa depan,” kata Faridah Abdullah, 46, ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Rakannya, seorang pe-niaga, Maimun Mamat, 42, tidak menafikan, timbul perasaan kurang senang dan tidak selesa dengan kehadiran warga asing itu terutama pada cuti hujung minggu kerana masing-masing tidak bekerja.

“Kita tidak ada pilihan lain kecuali melihat sahaja suasana ini. Saya rasa selagi mereka tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, mahu atau tidak, kita terpaksa menerima keadaan ini,” katanya.

Maimun berkata, apabila kilang atau pengusaha ladang di kawasan berdekatan melibatkan kawasan Taman Kekal Pengeluar Makanan (TKPM) Rhu Tapai tidak memerlukan lagi khidmat mereka, barulah kebanjiran golongan berkenaan akan berkurangan.

Sinar Harian turut menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pantai Merang, M Abdul Jusoh, 56, bagi mengulas perkembangan itu.

:Beliau menyedari perkembangan itu namun sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang aduan mengenai masalah yang ditimbulkan warga asing itu.

:“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang aduan mengenai gangguan yang ditimbulkan walaupun ada penduduk berpendapat kehadiran mereka sedikit sebanyak mengganggu emosi mereka,” katanya.

Read Full Post »