Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Mengabang Telipot’


AMIR SYAFIQ menceritakan bagaimana beliau berpaut pada boya setelah tersedar daripada pengsan di laut berhampiran Mengabang Telipot kelmarin.

KUALA TERENGGANU (Kosmo) – “Saya bersyukur kerana diberi peluang hidup kali kedua.”
Demikian cerita seorang jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat di Wakaf Tapai, Marang yang tiba-tiba pengsan di laut kira-kira 1.5 batu nautika dari kawasan Tanjung Gelang, Mengabang Telipot, Batu Rakit di sini kelmarin.

Mencerita detik cemas itu, Amir Shafiq Kamaruddin, 26, dari Negeri Sembilan berkata, semasa kejadian pada pukul 6 petang kelmarin, beliau bersama rakannya, Alwi Ismail, 43, menjalankan kerja-kerja menyelenggara peralatan penyelaman di tengah laut.

“Selepas selesai tugas itu, saya cuba mendapatkan jet ski tetapi pandangan tiba-tiba menjadi gelap menyebabkan saya tidak sedarkan diri.

“Apabila saya tersedar saya terus berpaut pada boya dan ketika itu saya sudah tidak nampak Alwi atau jet ski yang kami naik sebelum ini,” kata beliau yang ditemui di akademi itu di Kuala Berang di sini semalam.

Amir Shafiq pengsan dipercayai kerana cuaca yang terlalu panas semasa melakukan kerja-kerja menyelenggara peralatan menyelam di laut.

Berikutan itu, katanya, berbekal pengalaman yang ada dan jaket keselamatan yang dipakai, beliau hanya mampu melihat jika ada bot melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, jelas beliau, nasibnya malang kerana tidak ada sebuah bot ketika itu.

**************************

12 jam terapung di laut

KUALA TERENGGANU (Harian Metro): “Tidak semua orang memperoleh peluang untuk hidup kali kedua. Saya pula umpama mati hidup semula selepas lebih 12 jam terapung di laut dengan hanya bergantung kepada jaket keselamatan dikenali Personal Floating Device (PFD).

“Tiada apa yang saya fikirkan ketika itu kerana gelap gelita dan hanya mempraktikkan segala pengalaman dipelajari dalam akademi (Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai) untuk terus hidup dan tidak dihanyutkan arus ke tengah laut,” kata Amir Shafik Kamaruddin, 26, jurulatih akademi bomba yang ditemui selamat selepas dikhuatiri lemas kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Ketika ditemui sebaik dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam tadi, Amir yang bersyukur dengan kejadian itu, berkata segala-galanya bermula ketika dia bersama seorang rakan menyelenggara peralatan menyelam di kawasan kira-kira 1.5 batu nautika dari pantai Tanjung Gelang, Mengabang Telipot, dekat Batu Rakit, kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, dia cuba menghampiri jet ski selepas selesai bertugas bersama rakannya, Alwi Ismail, 43, sebelum pandangannya menjadi gelap menyebabkan dia tidak sedarkan diri dipercayai berpunca cuaca panas ketika berada di laut.

“Beberapa minit kemudian apabila tersedar, saya dapati sudah berada di tengah laut dan jauh dari lokasi asal menyebabkan saya tidak mampu berenang dan hanya membiarkan diri terapung dibawa arus,” katanya.

Katanya, walaupun selepas sekian lama terapung, dia yakin akan terselamat kerana percaya Alwi akan mendapatkan bantuan selain mengharapkan kehadiran nelayan tempatan, namun tiada bot melalui kawasan itu sehingga dia terlihat boya digunakan pukat nelayan.

“Ketika itu sudah jam 5 pagi dan sebaik menemui boya berkenaan, saya segera memautnya kerana percaya pasti ada nelayan yang akan menaikkan pukat mereka semula,” katanya.

Menurutnya, telahannya tepat apabila sebuah bot nelayan yang melalui kawasan pantai Merang, Setiu, kira-kira jam 7 pagi semalam menemuinya dalam keadaan lemah.

Sementara itu, rakannya, Alwi Ismail, 43, dari Kampung Panji di sini, berkata dia mengambil masa hampir 20 minit untuk meyakinkan penduduk kampung mengenai kejadian itu.

“Saya hanya berseluar pendek, tidak berbaju dan selipar serta berlari menemui penduduk kampung yang keberatan membantu. Saya menyedari kehilangan rakan itu apabila timbul di permukaan hanya menemui jet ski manakala Amir Shafiq dan jaket keselamatan saya lesap.

“Selepas gagal mencarinya, saya cuba menunggu jika ada bot nelayan melalui tempat kejadian, tetapi usaha itu gagal,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, katanya, dia nekad berenang ke pantai bagi menghubungi majikannya selain mendapatkan bantuan dan yang bermain dalam fikirannya ketika itu ialah keselamatan rakannya dan keluarga yang bakal ditinggalkan jika kejadian buruk berlaku.

“Saya bimbang dimarahi dan dituduh tidak bertanggungjawab serta tanggapan keluarga Amir kerana meninggalkannya seorang diri di tengah laut, namun saya seolah-olah ‘mati akal’ untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, hanya seorang remaja bermotosikal yang sudi menghantarnya ke kenderaan kira-kira lima kilometer dari tempat dia mendarat bagi membolehkannya mendapatkan bantuan pasukan penyelamat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pauzan Ahmad berkata, Alwi berenang kira-kira tiga jam untuk tiba ke tepi pantai, kira-kira jam 10 malam sebelum menghubungi pengurusan akademi memaklumkan kejadian itu kepada anggota bomba dan penyelamat.

Read Full Post »