Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Melayu’

Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu.


KEMAMAN 10 Julai (Utusan Malaysia)- Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah sentiasa merindui keluarga angkatnya di sini malah meminta mereka menziarahinya di Belanda ketika dia sakit teruk akibat leukemia sehingga membawa kepada kematian.

Menurut saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, Natrah sering meluahkan perasaannya itu menerusi e-mel atau telefon semasa berhubung dengan adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.

“Saya mendapat berita kematiannya menerusi telefon pukul 8 malam tadi daripada anak saya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.

“Ketika itu saya terkejut dan sangat sedih kerana dia pergi jua menghadap Tuhan, memang banyak kenangan saya dengan dia semasa di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.

Rokayah merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed.

Menurutnya, kenangan yang dia tidak lupa apabila Allahyarham masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.

Malah jelasnya, Natrah amat gemarkan makanan tradisional Melayu iaitu ketupat palas.

“Pada tahun 1997, dia balik ke Kemaman bersama suami warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda.

“Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam, satu malam tidur di rumah saya. Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya,” ujarnya.

Natrah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda kelmarin pada usia 72 tahun akibat leukemia.

Beliau menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asalnya dari Belanda.

**********************

Posting berkaitan:

Advertisement

Read Full Post »

BESUT 5 Jun – Kehidupan seharian kaum Tionghua dan Siam yang tinggal dalam kawasan perkampungan Melayu di Jabi, Setiu merupakan satu keunikan dan perlu menjadi contoh dalam meningkatkan lagi hubungan erat serta perpaduan antara kaum di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Ramlan Ali berkata, walaupun memiliki adat, budaya dan agama yang berlainan namun tidak menghalang mewujudkan satu komuniti yang hebat.

Oleh itu, katanya, keunikan yang ada dalam hubungan antara tiga kaum itu perlu dikekalkan selain usaha untuk meningkatkan persefahaman diteruskan dari masa ke semasa.

Menurutnya, komuniti Siam dan Tionghua di Kampung Batu Balai Renek yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi itu merupakan salah satu lambang perpaduan unik di negeri ini.

Ramlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian semasa berucap merasmikan Dewan Komuniti Ti Ratana Sri Renek di Kampung Batu Balai Renek dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengerusi MCA Bahagian Setiu, Wee Beng Hai dan Pengerusi MCA Bahagian Besut, Lee Chan Fook serta ahli jawatankuasa MCA negeri Terengganu.

Ramlan berkata, selaras dengan konsep Satu Malaysia, kerajaan akan terus memberikan perhatian kepada kaum itu walaupun jumlah mereka tidak ramai.

Beliau berkata, apa yang penting ialah kesediaan kaum itu sendiri untuk berubah dengan cara memberikan perhatian kepada aspek pendidikan anak-anak mereka supaya tidak terpinggir dari kejayaan.

”Usaha juga boleh dilakukan dengan menambah bilangan penduduk yang tinggal di perkampungan ini dan memastikan setiap pasangan yang berkahwin tinggal menetap di perkampungan ini,” katanya.

Read Full Post »

KAMPUNG RAJA (Sinar Harian) – Kedamaian jiwa yang ditemui dalam Islam telah membuka hati satu keluarga Cina di Kampung Renek, dekat Jabi untuk menganut agama ini.

Mohd Rafie Heng Abdullah, 56, bersama isteri, Noor Aini Wong Abdullah, 51, dan lima anak mereka, Nur Patin Nabila Mohd Rafie, 29; Nur Hani Imsyiras, 27; Mohd Aidil Suffian, 23; Mohd Shahmi, 19; dan Nor Azleen, 14, memilih meninggalkan agama asal mereka untuk menyembah Allah SWT.

Kata Mohd Rafie, mereka memeluk Islam pada 2003, setelah dia dan isteri tertarik kepada Islam sejak kanak-kanak lagi kerana sering bergaul dengan orang Melayu.

Bagaimanapun, ketenangan jiwa dalam Islam sendiri telah berjaya membuka pintu hati mereka sekeluarga untuk menukar agama, dan keputusan besar itu dibuat atas kerelaan hati masing-masing.

“Hati kami terbuka untuk menerima agama ini dan saya telah banyak mengetahui asas Islam sebelum ini, termasuk pernah belajar berpuasa walaupun ketika itu belum Islam,” kata Mohd Rafie, seorang kakitangan di Pusat Latihan Pengembangan Pembangunan (PLPP) Tok Dor.

Setelah keputusan memeluk Islam dibuat, Mohd Rafie berbincang dengan anaknya dan paling menggembirakannya, mereka juga setuju memilih Islam dengan rela hati tanpa paksaan daripada Mohd Rafie serta isterinya.

Mereka sekeluarga ditemui ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Besut di Pejabat Agama Daerah, di sini.

Mohd Rafie juga adalah salah seorang Ahli Jawa-tankuasa (AJK) pertubuhan itu.

Mesyuarat itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad yang juga penaung Perkim Besut manakala pengerusinya, Anuar Hassan.

Sementara itu kata Mohd Rafie, sejak bergelar Muslim, hidupnya sekeluarga semakin tenang dan teratur biarpun mengakui banyak kelemahan diri yang perlu diatasi dan ilmu perlu dipelajari.

Tiga anaknya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta termasuk anak sulungnya sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (Phd).

Read Full Post »

Penggunaan pesawat ringan Tacnam bagi program sijil penerbangan pada semester pengajian di kampus cawangan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Terengganu di Ajil, Hulu Terengganu. – GAMBAR KIST


Selain memperkenalkan program itu bagi memenuhi kehendak pasaran, KIST juga ingin memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam melahirkan juruterbang Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif KIST Cawangan Terengganu, Zaidi Jusoh berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu memperkenalkan program-program kritikal yang menepati keperluan pasaran kerja di negara ini.

”Ketika pembukaan KIST di Kelantan, program syariah dan psikologi peringkat sijil dan syariah ditawarkan dan kemudian program sains kesihatan pada 2005.

”Kami tidak mahu menawarkan kursus pengajian yang tidak menepati keperluan pasaran kerja dan yang sudah banyak ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, KIST telah menerima surat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 2 April lalu untuk menawarkan kelas berkenaan.

”Kami kini di peringkat akhir untuk pelaksanaan penawaran kelas penerbangan,” ujarnya.

Beliau menambah, Akademi Penerbangan KIST atau KISTAA kini dalam peringkat perbincangan akhir dengan pihak Malaysia Airport Berhad (MAB) Terengganu berhubung penggunaan kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu sebagai pusat latihan.

”Kita akan mendapatkan tapak di LTSM untuk mengadakan kelas penerbangan di sana selain pembinaan beberapa kemudahan termasuk hangar pesawat,” jelasnya.

Zaidi berkata, KIST telah memperuntukan kira-kira RM10 juta untuk pelaksanaan program itu.

”Peruntukan tersebut juga akan meliputi pembelian kira-kira lima pesawat ringan Tacnam dari Itali,” katanya.

KIST memilih pesawat Tacnam dalam melatih pelajar berbanding Cessna seperti pusat latihan penerbangan swasta lain kerana ia lebih tahan lasak.

”Pemilihan pesawat Tacnam juga dibuat kerana menggunakan minyak petrol jenis mogas. Ini semua diambil kerana selepas mendapat nasihat perunding dan tenaga pengajar KIST,” tambahnya.

Zaidi berkata, proses pembelian pesawat terdiri daripada satu enjin dan dua enjin itu kini dalam peringkat akhir.

”Pesawat Tacnam satu enjin mampu membawa dua penumpang manakala empat orang mampu menaiki pesawat dua enjin berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, sebanyak empat tenaga pengajar telah dilantik untuk mengendalikan kelas penerbangan tersebut.

”Kita masih dalam proses melantik lebih ramai tenaga pengajar yang kebanyakannya terdiri daripada pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Beliau berkata, KISTAA dijangka beroperasi pada pertengahan September ini dan pengambilan pelajar akan bermula pada Oktober ini.

”Kita akan mengambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang terutama dalam pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk mengikuti kursus ini.

”KISTAA akan membuat pengumuman mengenai pengambilan pelajar dalam tempoh terdekat ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kursus pengajian yang ditawarkan adalah mengikut silibus standard yang telah ditetapkan DCA.

”Ia akan terdiri daripada dua komponen utama iaitu latihan teori atau lebih dikenali sebagai ground school dan latihan penerbangan,” katanya.

Katanya, berbeza dengan sekolah latihan penerbangan lain, KISTAA akan menyelitkan kursus kerohanian dalam latihan penerbangan tersebut.

”Silibus kursus penerbangan ini masih dirancang dan kita merancang untuk menjadikan subjek kerohanian sebagai sebahagian daripada kursus penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, KIST Cawangan Terengganu turut menawarkan empat kursus pengajian sains kesihatan.

”KIST di sini yang mula beroperasi pada Januari lalu menawarkan empat program diploma iaitu Sains Senaman dan Sukan; Kesihatan Persekitaran; Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Psikologi,” katanya.

Beliau berkata, seramai 100 pelajar kini mengikuti keempat kursus berkenaan di kampus yang berkonsepkan resort tersebut.

”Kampus di kawasan seluas 42.3 hektar ini akan dinaik taraf dengan pembinaan sebuah kompleks 11 tingkat yang akan menempatkan makmal, dewan dan kelas.

”Kita akan dapat menampung lebih ramai kehadiran pelajar dengan pertambahan kemudahan tersebut,” jelasnya.

**********************

Keratan akhbar:

http://www.kist.edu.my/v2/akhbar/13mei2009.html

Maklumat lanjut KIST: Laman Web KIST http://www.kist.edu.my/v2/index.html

Read Full Post »