Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘MDS’

PERMAISURI (Sinar Harian)- Orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam di Perhentian Bas dan Teksi Bandar Permaisuri di sini, mengalami kesukaran apabila pihak Majlis Daerah Setiu (MDS) tidak menyediakan kemudahan surau di situ sejak ia mula beroperasi awal tahun ini.

Rata-rata pengguna berpendapat, kemudahan itu perlu diadakan kerana ia bukan sahaja untuk keselesaan mereka, tetapi juga demi imej positif kepada pihak berkuasa tempatan di daerah ini dan mereka berharap perubahan dapat dilakukan dengan segera.

“Walaupun baru dibuka, masih banyak yang perlu diadakan di sini seperti menambah ruang menunggu, perkhidmatan tandas awam lebih teratur dan paling utama adalah ke-mudahan surau,” kata Kamarudin Muda, 41, ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Kata pengguna dari Hulu Seladang ini, keselesaan pengguna perlu diambil kira dan penyediaan perhentian bas yang cantik, bersih serta lengkap bukan sahaja menepati kehendak orang awam, malah memberikan imej positif kepada PBT di daerah itu.

Menurutnya, MDS perlu berinisiatif untuk membina surau kerana sebagai pengguna dia sedih melihat orang ramai terpaksa menunaikan solat di tempat lain termasuk terpaksa berjalan ke masjid yang terlatak kira-kira 200 meter dari situ.

Sementara itu, seorang peniaga yang baru menjalankan perniagaan di situ awal minggu ini, Nurul Aini Ismail, 23, pula melihat isu ketiadaan kemudahan surau sebagai masalah yang perlu diberikan perhatian dan diselesaikan segera.

”Adalah lebih baik pihak berkenaan menyediakan kemudahan itu.

“Sekurang-kurangnya pengguna tidak terlepas bas semasa bersolat di surau berdekatan termasuk di Masjid Bandar Permaisuri sejauh 200 meter dari sini,” katanya.

Sinar Harian menghubungi Setiausaha Yang Dipertua MDS, Anuar Nik Mohd Noor bagi mendapatkan jawapan dan beliau menjelaskan, pihak MDS sudah mengenal pasti tapak bagi membina kemudahan itu dan projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Advertisement

Read Full Post »