Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Majlis Daerah Hulu Terengganu’

KUALA BERANG (Berita Harian): Pasar Raya Rakyat (T-Mall) yang akan dibina di bandar ini bakal menjadi mercu tanda perniagaan baru dan mengubah corak keusahawanan penduduk di daerah Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata pembinaan pasar raya dua tingkat berharga RM5 juta yang akan dikendalikan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu akan membantu rakyat memasarkan hasil keluaran pertanian, makanan dan produk kraf sekali gus menjana sumber ekonomi masyarakat tempatan.

Beliau berkata, reka bentuk bangunan dan tapak bagi pembinaan pasar raya berkenaan sudah di kenal pasti dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Pasar raya itu akan menjual barangan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan dan kos operasi akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Dua tapak bagi pembinaan pasar raya itu sudah dikenal pasti dan kita sedang menimbangkan untuk memilih lokasi terbaik iaitu yang paling mudah dan senang untuk diakses oleh orang ramai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Sahabat Usahawan Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Seramai 100 peserta terdiri daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), peniaga dan penjaja dari Hulu Terengganu menyertai program yang dianjurkan oleh YPU dengan kerjasama kerajaan negeri.

Hadir sama, Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Terengganu (DPMT), Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar dan Pengurus Besar YPU, Azmi Razik.

Rozi berkata, 70 peratus produk yang akan dipasarkan di T-Mall adalah berasaskan produk keluaran tempatan terutama dari PKS yang akan dibungkus dan dijenamakan semula menggunakan kepakaran YPU.

Katanya, produk PKS yang dipasarkan di T-Brand Shop iaitu kedai yang menjual produk Terengganu sepenuhnya yang dimiliki kerajaan negeri mendapat sambutan menggalakkan dan mencatat keuntungan memberangsangkan walaupun baru sebulan dibuka.

“T-Brand Shop yang dibuka di Kuala Berang mencatat jualan lebih RM1,000 sehari. Maklum balas yang diterima menunjukkan produk tempatan sememangnya mempunyai tempat tetapi perlu dipasarkan dengan betul dan meluas,” katanya.

Read Full Post »